TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini adalah peluang keemas an kepada rakyat negeri itu untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti, bertanggungjawab dan prihatin rakyat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, mereka yang dipilih mewakili Perikatan Nasional adalah calon yang berkelayakan, berkelulusan, berpengalaman, berakhlak dan berhemah tinggi serta memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang wakil rakyat.

‘’Setiap calon terpilih telah menjalani dan melepasi proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salah laku, bebas daripada kes mahkamah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

‘’Kesemua calon akan menandatangani aku janji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan berikrar memikul tanggungjawab serta amanah bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Sambil bersyukur berikutan kesemua 56 calon Perikatan Nasional diterima untuk bertanding pada PRN tersebut, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, dengan keazaman yang tinggi untuk berkhidmat kepada bangsa Johor, beliau percaya pasukan Perikatan Nasional mampu merencana dan memacu pembangunan negeri ini menjadi sebuah negeri yang maju dan kemakmurannya dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ada seorang pun yang tertinggal atau terpinggir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here