Oleh RIZQI ZABIDI

SERAMAI 14 pemancing bersama empat kru dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka dilaporkan hampir karam di Pulau Beras Basah, Langkawi pukul 2 petang tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata pihaknya melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi hari ini mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan bot tersebut di kedudukan sekitar 9.4 batu nautika barat pulau itu.

Katanya, KM Tenggol, Blbot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 telah diatur gerak bagi operasi CARILAMAT sebaik menerima laporan daripada MRSC Langkawi berkaitan kejadian berkenaan.

“Maklumat kejadian juga turut disalurkan kepada agensi sahabat seperti Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) , Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti nelayan setempat.

“Sektor operasi diperluaskan daripada lima batu nautika hingga ke 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek timbul seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, penemuan barangan tersebut adalah pada jarak 4.8 batu nautika, barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang.

Katanya, sehingga kini pencarian masih dilakukan bagi mengesan bot terbabit.

Sementara itu Warta Rakyat difahamkan,o kejadian tersebut dilaporkan oleh wakil pemilik bot tersebut yang menerima laporan mengenai keadaan berkenaan dari seorang kru dalam bot itu.

Berikutan itu, KM Tenggol telah diarahkan ke lokasi namun tiada sebarang petunjuk ditemukan di situ.
Habis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here