POLIS Pulau Pinang telah mengenal pasti individu di dalam video yang tular di media dalam sosial yang memaparkan beberapa buah motosikal berkuasa tinggi ditunggang secara berbahaya di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya telah mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal yang merakam aksi berbahaya tersebut.

Jelas beliau, polis sedang mengesan penunggang-penunggang motosikal berkenaan bagi melengkapkan siasatan.

“Kita menerima satu laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Kamarul Rizal turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Hamizah Ahmad Rosli di talian 013-2064 682 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi kira-kira 45 saat yang memaparkan penunggang dua buah motosikal berwarna merah dan biru melakukan aksi mengangkat tayar hadapan atau ‘wheelie’ pada kelajuan tinggi di jambatan yang turut dikenali Jambatan Kedua Pulau Pinang itu tular di media sosial awal hari ini.

Dalam rakaman sama turut dipaparkan panel meter motosikal individu yang membuat rakaman yang menunjukkan kenderaan itu dipandu pada kelajuan lebih 280 kilometer sejam (km/j).

Malah, terdapat dakwaan di media sosial individu yang menaiki motosikal berkuasa tinggi itu merupakan pembantu kepada pendakwah terkenal namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here