Category: Semasa

  • 19 kontraktor ditahan kemuka penyata bank palsu RM49 juta

    19 kontraktor ditahan kemuka penyata bank palsu RM49 juta

    SERAMAI 19 kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana dipercayai mengemukakan penyata bank palsu bernilai kira-kira RM49 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

    Semua suspek yang berusia antara 24 hingga 53 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kota Kinabalu, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

    Astro Awani melaporkan, penyata bank palsu itu dikemukakan sebagai dorongan untuk memasuki tender beberapa buah sekolah di seluruh Sabah.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

    Tambahnya, kesemua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan sembilan wanita tersebut akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu dalam masa terdekat.

    “SPRM Sabah pada tahun 2020 telah menahan seramai 39 kontraktor yang dipercayai mempunyai modus operandi sama melibatkan nilai kontrak berjumlah lebih RM80 juta.

    “Susulan daripada tangkapan tersebut, sebanyak 132 pertuduhan telah berjaya dilaksanakan di Mahkamah Khas Rasuah di Sabah tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tegasnya, SPRM memandang serius berhubung kesalahan tersebut dan susulan daripada kes-kes berkenaan, beberapa aktiviti pencegahan telah dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan.

    “Antara usaha yang telah dilaksanakan ialah mengadakan beberapa sesi penerangan kepada pihak kontraktor seperti penganjuran seminar integriti bersama kontraktor hasil kerjasama antara Kementerian Kewangan Negeri Sabah dengan SPRM Sabah pada 25 Ogos 2020.

    “Selain itu, SPRM Sabah pada 27 Mac tahun lalu juga telah mengadakan Forum Anti Rasuah: Peranan Kontraktor Dalam Menangani Rasuah hasil kerjasama antara SPRM Sabah, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),” katanya.

    Dalam masa yang sama, Karunanithy turut mengingatkan golongan kontraktor supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu bagi tujuan memasuki mana-mana kontrak kerajaan kerana ia merupakan satu kesalahan.

  • Indeks Pemulihan COVID-19: Malaysia jatuh ke tangga ke-67

    Indeks Pemulihan COVID-19: Malaysia jatuh ke tangga ke-67

    MALAYSIA kini berada di tangga ke-67 dalam Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei bulan ini, jatuh mendadak dari kedudukan ke-10 pada Januari, ketika negara berdepan lonjakan kes baharu varian Omicron.

    Memetik laporan Malay Mail, dalam indeks penarafan global merangkumi 121 negara atau rantau itu, setakat 31 Januari lalu, Malaysia mencapai kedudukan terbaik pada tangga terbaik dengan beroleh 67 mata, sekali gus mengatasi negara-negara lain di Asia Tenggara termasuk Singapura.

    Namun, indeks terbaharu pada 28 Februari, Malaysia jatuh ke tempat ke-67 dengan 53 mata, berkongsi kedudukan dengan Liechtenstein, Nicaragua dan Switzerland.

    Kini, Malaysia berada di kedudukan di bawah Singapura yang berada di tangga ke-47 dengan 59 mata.

    Kecuali Kemboja yang berada di tangga ke-31, Malaysia masih mengatasi Filipina (tangga ke-85, 49 mata), Thailand (tangga ke-85, 49 mata), Vietnam (tangga ke-94, 47.5 mata), Laos (tangga ke-96, 47 mata) dan Indonesia (tangga ke-118, 39 mata).

    Seperti yang dinyatakan Nikkei Asia, kedudukan Malaysia dan Kemboja yang merosot adalah berpunca daripada gelombang baharu kes COVID-19 yang dicetuskan oleh penularan varian Omicron.

    Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei menyenaraikan negara-negara dan rantau-rantau dari segi pengurusan jangkitan, pelaksanaan vaksinasi dan mobiliti sosial.

    Penarafan yang lebih tinggi menunjukkan negara terbabit semakin hampir pulih dengan jumlah kes COVID-19 yang rendah, kadar vaksinasi yang lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang lebih longgar.

    Sumber data indeks berkenaan merangkumi Our World in Data, Google Covid-19 Community Mobility Reports, Oxford Covid-19 Government Response Tracker, Cirium dan penyelidikan Nikkei Asia

    Pada 2021, Malaysia mencapai kedudukan ke-114 dengan 29 mata (pada 30 Jun), kedudukan yang sama dengan 30 mata (31 Julai), kedudukan ke-115 dengan 34 mata (31 Ogos) sebelum naik ke tangga ke-102 dengan 41.5 mata (30 September) dan melonjak ke tangga ke-50 dengan 54.5 mata (31 Oktober).

    Selepas turun ke tangga ke-57 dengan 53.5 mata pada 30 November, kedudukan Malaysia sekali lagi melonjak ke tangga ke-13 dengan 66.5 mata (setakat 31 Disember) dan ke tangga ke-10 pada 31 Januari lalu.

    Semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 33,209 kes baharu COVID-19 dengan jumlah kumulatif 3,561,766 kes.

  • ATM perlu peruntukan tambahan selenggara aset diguna ketika banjir

    ATM perlu peruntukan tambahan selenggara aset diguna ketika banjir

    KEMENTERIAN Pertahanan memerlukan peruntukan tambahan bagi kerja-kerja penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang digunakan ketika operasi membantu mangsa banjir, kata Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

    Beliau berkata, ketiadaan aset khusus bagi kerja-kerja menyelamat menyebabkan aset pertahanan sedia ada, diguna pakai ketika operasi banjir.

    Katanya, penyelenggaraan berkala perlu dilakukan, bagi memastikan semua aset ATM bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

    “Apabila berlaku banjir berskala besar dan luar jangka seperti yang berlaku di Selangor dan Pahang baru-baru ini, aset ATM tidak mencukupi dan kita hanya guna apa yang ada.

    “ATM memerlukan bajet untuk penyelenggaraan aset yang sewajarnya bagi penugasan serta menghadapi bencana alam seterusnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jiwa Murni (PJM) Pemimpin dan ATM Bersama Rakyat di Felda Kemahang, di Tanah Merah hari ini. – BERNAMA

  • Muhyiddin tokoh penting usaha pulih ekonomi negara

    Muhyiddin tokoh penting usaha pulih ekonomi negara

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan tokoh penting dalam usaha memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat krisis pandemik COVID-19.

    Komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Muhyiddin sewaktu bergelar Perdana Menteri dahulu dan kini sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) disaksikan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Menurut beliau, usaha memulihkan ekonomi akibat kesan pandemik COVID-19 dimulakan Muhyiddin tidak lama setelah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020.

    Ahli Parlimen Jeli itu menambah, Mesyuarat Kabinet pertama yang dipengerusikan Muhyiddin memutuskan untuk memastikan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dipulihkan dan diperkasakan.

    “Maka banyak perkara dibincang berkait usaha memulihkan ekonomi dan inisiatif untuk rakyat yang dibincang dalam majlis ini yang saya urusetianya.

    “Hasilnya, lapan pakej dengan RM530 bilion dan banyak lagi inisiatif lain bagi pemulihan ekonomi negara dibincang di majlis ini bersama Tan Sri (Muhyiddin) dan Menteri Kewangan serta yang lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapa aluan sempena Majlis Dialog Pengerusi MPN dan Menteri-menteri Berkaitan Ekonomi di Johor Bahru hari ini.

    Ujar Mustapa, usaha-usaha ini termasuk inisiatif pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bantuan sara hidup, subsidi gaji kepada majikan dan tentunya Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang cukup mantap dilakukan ketika era pentadbiran Muhyiddin.

    “Ikutkan indeks daya tahan Bloomberg kita kini berada pada kedudukan tangga 18.

    “Semua ini adalah usaha pemulihan ekonomi yang mula digerakkan Tan Sri Muhyiddin dan anggota Kabinet lain,” jelasnya.

    Menurut beliau, majlis itu bermesyuarat seminggu sekali sehinggalah keadaan mulai stabil dengan mesyuarat kini diadakan secara bulanan.

    Katanya, selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri, ditubuhkan pula MPN yang dipengerusikan Muhyiddin dan ini satu lagi institusi penting bagi memulihkan ekonomi negara.

    “Ini institusi dan kaedahnya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), MPN dan peranan menteri berkaitan memikirkan segalanya bagaimana memulihkan ekonomi.

    “Alhamdulillah, perdagangan, pelaburan, pengangguran makin pulih. Cuma kini kita berdepan satu lagi isu baru iaitu krisis Rusia-Ukraine,” jelasnya.

    Katanya, ketika ini orang Felda gembira peningkatan harga sawit tetapi di pihak kerajaan berdepan satu sisi lain iaitu subsidi minyak masak.

    Menurut Mustapa, ini termasuklah peningkatan harga minyak mentah dunia yang pada masa sama ada kesan baik dan implikasi subsidi bagi pasaran runcit.

  • Sekolah menengah tiada penggiliran, PdPR dahulu 2 minggu

    Sekolah menengah tiada penggiliran, PdPR dahulu 2 minggu

    SEMUA pelajar sekolah menengah harian perlu hadir ke sekolah tanpa penggiliran bagi sesi persekolahan penggal pertama 2022/2023 mulai 4 April depan.

    Walau bagaimanapun, apabila penggal persekolahan dibuka pada 21 Mac ini, semua pelajar berkenaan akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu terlebih dahulu.

    Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd. Radzi Md Jidin menerusi video menerangkan pengoperasian sekolah sesi akademik 2022/2023 yang dimuat naik ke Facebook, hari ini.

    Bagi pengoperasian di sekolah rendah pula, Mohd. Radzi memaklumkan, hanya murid Tahun 3, 4 dan 5 akan hadir ke sekolah secara penggiliran di sekolah yang mempunyai murid melebihi 600 orang.

    Menurut beliau, murid berkeperluan khas (MBK) di sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI); prasekolah; Tahun 1, 2, 6 dan semua murid penerima rancangan makanan tambahan (RMT) hadir tanpa penggiliran.

    Mohd Radzi memaklumkan, ketetapan itu juga terpakai kepada murid sekolah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan antarabangsa.

    “Bagi sekolah yang mempunyai jumlah murid kurang daripada 600 orang, semua murid sekolah rendah harian dan swasta termasuk sekolah ekspatriat serta antarabangsa hadir tanpa penggiliran.

    “Sekolah rendah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan antarabangsa dengan enrolmen melebihi 600 orang pula boleh mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk beroperasi sepenuhnya,” katanya dalam video tersebut.

    Mengulas mengenai pengoperasian bagi sekolah berasrama sepenuhnya, Mohd Radzi memberitahu, semua pelajar kecuali yang baru memasuki Tingkatan 1 dibenarkan masuk ke asrama bermula 4 April.

    Katanya, murid Tingkatan 1 yang berjaya memasuki sekolah berasrama sepenuhnya boleh memilih untuk menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian berdekatan kediaman.

    Mohd. Radzi berkata, perkara itu akan berterusan sehingga tarikh kemasukan ke sekolah berasrama penuh bagi murid Tingkatan 1 diumumkan KPM.

    “Bagi sekolah swasta berasrama sepenuhnya yang mempunyai kapasiti menguruskan keseluruhan murid, sekolah boleh beroperasi sepenuhnya termasuk murid baharu Tingkatan 1.

    “Sesi pembelajaran di Kolej Vokasional pula akan berlangsung tanpa penggiliran manakala di Kolej Matrikulasi, semua murid akan hadir tanpa penggiliran mengikut takwim akademik masing-masing.

    “Ini bermakna bagi sistem empat semester, murid semester 2 dan 4 akan hadir sementara bagi sistem dua semester, hanya murid semester 2 akan hadir,” jelas beliau.

  • Lelaki mengaku tidak bersalah bunuh dua wanita Indonesia

    Lelaki mengaku tidak bersalah bunuh dua wanita Indonesia

    SEORANG pekerja ladang kelapa sawit pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Sibu, atas pertuduhan membunuh dua wanita warga Indonesia yang mayat mereka ditemukan terapung di Sungai Samong, Daro bulan lepas.

    Ahmad Robin, 31, didakwa membunuh Pandang Sarang di sebuah ladang kelapa sawit pada jam 11 pagi, 11 Februari lepas dan Muli Laha di sebuah ladang kelapa sawit lain di Daro pada jam 11 malam hari sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding pada Jumaat, selepas pengakuan tertuduh direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin, pendakwaan memanggil saksinya untuk memberi keterangan.

    Sijaya, 50, suami Pandang Sarang, memaklumkan mahkamah bahawa pada jam 7.20 pagi hari kejadian, mangsa memberitahunya mahu ke pasar Daro bersama-sama Muli Laha dan seorang lagi wanita warga Indonesia bernama Tene dengan menumpang kereta tertuduh.

    “Isteri saya ada membawa wang sebanyak RM2,500 untuk membeli barangan keperluan selain memakai rantai dan anting-anting emas,” katanya dalam pernyataan bertulis yang dibaca di mahkamah.

    Selepas Pandang Sarang tidak pulang ke rumah hingga 7 pagi esoknya, dia dan Ero Nyale (suami Muli Laha) mencari isteri mereka di kawasan ladang sehingga ke Kampung Tebaang.

    Dia berkata, pada 12.30 tengah hari, mereka dimaklumkan bahawa polis telah menjumpai mayat isteri mereka oleh seorang pemandu van ladang.

    “Saya berasa amat terkejut dan tidak dapat berkata apa-apa apabila mendapat tahu mayat yang dijumpai terapung di sungai itu adalah mayat isteri saya,” katanya sambil menambah dia amat mengenali serta berkawan baik dengan Ahmad dan Pandang Sarang sering menggunakan khidmat tertuduh untuk ke Daro bagi membeli barangan keperluan selepas menerima gaji.

    Sijaya berkata, dia dan isterinya mula bekerja di ladang kelapa sawit itu sejak tiga tahun lepas dan mengenali tertuduh yang juga pemandu van di ladang tersebut.

    Terdahulu, ketika Ero Nyale, 48, dipanggil memberi keterangan, jurubahasa Makasar yang dilantik oleh konsulat Indonesia Muhiddin Salihi berdepan kesukaran berkomunikasi dengan saksi yang kelihatan masih takut dan mengalami gangguan emosi akibat kejadian itu.

    Perbicaraan bersambung 25 Mac ini.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dona Liyanna Sabariah Azmi manakala Ahmad diwakili peguam Ben Lau. – Bernama

  • Negara pulih hasil tindakan pantas kerajaan PN tempah vaksin

    Negara pulih hasil tindakan pantas kerajaan PN tempah vaksin

    PEMULIHAN kehidupan rakyat dan kerancakan semula sektor ekonomi yang dikecapi ketika ini adalah hasil tindakan pantas kerajaan Perikatan Nasional (PN) menempah bekalan vaksin.

    Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan terdahulu di bawah PN juga bertindak pantas melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    “Salah satu tindakan pantas kerajaan PN ialah menempah bekalan vaksin dan melancarkan PICK yang menyaksikan hampir 98 peratus warga dewasa sudah menerima vaksin setakat ini.

    “Langkah ini ternyata berjaya memulihkan kehidupan rakyat dan merancakkan kembali pelbagai sektor kehidupan terutama sektor ekonomi dan sosial negara,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengulas tentang perjumpaan dengan 300 orang warga pendidik yang terdiri daripada pengetua dan guru besar serta pimpinan Persatuan Ibu Bapa Guru dalam Majlis Dialog Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Bersama Warga Pendidik di Kota Tinggi.

    Dalam majlis berkenaan, Pengerusi PN itu mengimbau kembali apa yang berlaku ketika negara dilanda pandemik COVID-19 kira-kira dua tahun lalu dan tindakan kerajaan PN ketika itu bagi menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia.

    Dalam majlis yang sama, beliau turut mendengar pandangan dan cadangan yang dibangkitkan oleh warga pendidik selain menjawab soalan-soalan dikemukakan mereka.

    Antara isu yang dibangkitkan adalah keupayaan kerajaan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam talian di sekolah, cabaran guru dalam era pandemik dan vaksinasi dalam kalangan murid dan ibu bapa.

    “Beberapa pengetua dan guru besar membangkitkan sikap segelintir ibu bapa yang masih enggan membenarkan anak-anak mereka divaksinasi.

    “Keadaan ini sudah tentunya mengundang risiko jangkitan bukan hanya kepada murid atau pelajar yang enggan divaksin tetapi juga kepada guru dan murid yang telah lengkap menerima dua dos dan dos penggalak.

    “Sehubungan itu, mereka meminta agar kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin kepada pelajar bagi menyelesaikan masalah ini,” jelasnya.

    Muhyiddin yang mengambil maklum semua perkara yang dibangkitkan itu menjelaskan, kerajaan setakat ini tidak mewajibkan pengambilan vaksin dan isu tersebut boleh ditangani dengan cara memperbanyakkan sesi penerangan secara saintifik dan menggunakan data Kementerian Kesihatan.

    “Saya yakin dan percaya pengalaman mengajar dalam era pandemik COVID-19 menjadikan golongan guru dan pendidik di negara ini sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu dalam bidang pendidikan pada masa akan datang,” ujarnya.

  • Penyelia direman tepuk punggung janda

    Penyelia direman tepuk punggung janda

    SEORANG penyelia direman selepas dikatakan menepuk punggung pekerjanya yang juga janda di sebuah kilang di Telok Gong, Klang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek diberkas polis pada 11 malam di sebuah gudang penyimpanan penyaman udara di kilang itu.

    Beliau memberitahu, suspek berusia 35 tahun direman selama 14 hari untuk membantu siasatan.

    “Lelaki itu dipercayai melakukan perbuatan terhadap wanita berusia 29 tahun yang juga ibu tunggal kepada dua anak pada 9 pagi, hari sama.

    “Siasatan mendapati mangsa sedang menyusun barangan sebelum didatangi suspek yang kemudian menepuk bahagian punggungnya.

    “Mangsa baru tiga bulan bekerja di kilang itu manakala suspek pula bekerja selama empat tahun di lokasi sama.

    “Bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan suspek yang ketika itu sedang bekerja,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Kata beliau, motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek direman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Ismail Sabri dapat injunksi ad-interim terhadap Agenda Daily

    Ismail Sabri dapat injunksi ad-interim terhadap Agenda Daily

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap pemilik Agenda Daily Media Enterprise berhubung saman fitnahnya berkaitan artikel yang diterbitkan Januari lepas.

    Peguam Joshua Tan, yang mewakili Ismail Sabri, berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Evrol Mariette Peters membenarkan injunksi itu berkuat kuasa sehingga 27 April kerana injunksi ex-parte (sebelah pihak) sebelum ini akan luput pada 11 Mac.

    “Mahkamah telah membenarkan injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan Mohd Zubit (pemilik) untuk mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 27 April,” kata peguam itu kepada media selepas prosiding secara maya hari ini.

    Beliau berkata, mahkamah juga membenarkan permohonan defendan untuk lanjutan masa bagi memfailkan afidavit jawapan kepada permohonan injunksi plaintif.

    Pada 18 Feb, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan memadamkan artikel yang diterbitkan dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri yang menfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Jan lepas, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.

    Beliau mendakwa, artikel itu antaranya membawa maksud bahawa beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya selain mendakwa tempohnya sebagai perdana menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.

    “Artikel itu juga membawa maksud saya tidak setia dengan UMNO dan hanya berminat untuk terus menjadi perdana menteri tanpa mengira kepentingan UMNO dan lebih bimbang tentang kedudukan saya sebagai perdana menteri dan bukannya kepentingan negara,” dakwa plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

    Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai perdana menteri telah tercemar.

    “Penerbitan itu juga telah menyebabkan emosi saya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel itu juga boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politik saya,” dakwanya.

    Menurut Ismail Sabri, walaupun peguamnya telah menghantar surat tuntutan bertarikh 3 Feb lepas memohon defendan memadamkan artikel tersebut dan memohon maaf, namun sehingga hari ini ia masih belum dilaksanakan.

    Oleh itu, Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif. – BERNAMA

  • Pengawal keselamatan tumbuk, tendang isteri dipenjara tiga bulan

    Pengawal keselamatan tumbuk, tendang isteri dipenjara tiga bulan

    SEORANG pengawal keselamatan dipenjara tiga bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di Selangor, hari ini kerana menumbuk isterinya di bahagian belakang kepala dan badan selain menendangnya hingga jatuh.

    Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas  M. Dhurai Singham, 48, mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan wanita itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya berumur 42 tahun, di rumahnya di Kampung Sungai Bakau Rawang, pada 5.03 petang, 2 Mac lepas.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu.

    Dhurai Singham yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia berpendapatan rendah dan perlu menyara tiga anak.

    Berdasarkan fakta kes, lelaki tu naik angin dan menumbuk isterinya selepas ditanya mengenai wang sewa rumah.- Bernama