MALAYSIA kini berada di tangga ke-67 dalam Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei bulan ini, jatuh mendadak dari kedudukan ke-10 pada Januari, ketika negara berdepan lonjakan kes baharu varian Omicron.

Memetik laporan Malay Mail, dalam indeks penarafan global merangkumi 121 negara atau rantau itu, setakat 31 Januari lalu, Malaysia mencapai kedudukan terbaik pada tangga terbaik dengan beroleh 67 mata, sekali gus mengatasi negara-negara lain di Asia Tenggara termasuk Singapura.

Namun, indeks terbaharu pada 28 Februari, Malaysia jatuh ke tempat ke-67 dengan 53 mata, berkongsi kedudukan dengan Liechtenstein, Nicaragua dan Switzerland.

Kini, Malaysia berada di kedudukan di bawah Singapura yang berada di tangga ke-47 dengan 59 mata.

Kecuali Kemboja yang berada di tangga ke-31, Malaysia masih mengatasi Filipina (tangga ke-85, 49 mata), Thailand (tangga ke-85, 49 mata), Vietnam (tangga ke-94, 47.5 mata), Laos (tangga ke-96, 47 mata) dan Indonesia (tangga ke-118, 39 mata).

Seperti yang dinyatakan Nikkei Asia, kedudukan Malaysia dan Kemboja yang merosot adalah berpunca daripada gelombang baharu kes COVID-19 yang dicetuskan oleh penularan varian Omicron.

Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei menyenaraikan negara-negara dan rantau-rantau dari segi pengurusan jangkitan, pelaksanaan vaksinasi dan mobiliti sosial.

Penarafan yang lebih tinggi menunjukkan negara terbabit semakin hampir pulih dengan jumlah kes COVID-19 yang rendah, kadar vaksinasi yang lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang lebih longgar.

Sumber data indeks berkenaan merangkumi Our World in Data, Google Covid-19 Community Mobility Reports, Oxford Covid-19 Government Response Tracker, Cirium dan penyelidikan Nikkei Asia

Pada 2021, Malaysia mencapai kedudukan ke-114 dengan 29 mata (pada 30 Jun), kedudukan yang sama dengan 30 mata (31 Julai), kedudukan ke-115 dengan 34 mata (31 Ogos) sebelum naik ke tangga ke-102 dengan 41.5 mata (30 September) dan melonjak ke tangga ke-50 dengan 54.5 mata (31 Oktober).

Selepas turun ke tangga ke-57 dengan 53.5 mata pada 30 November, kedudukan Malaysia sekali lagi melonjak ke tangga ke-13 dengan 66.5 mata (setakat 31 Disember) dan ke tangga ke-10 pada 31 Januari lalu.

Semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 33,209 kes baharu COVID-19 dengan jumlah kumulatif 3,561,766 kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here