SERAMAI 19 kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana dipercayai mengemukakan penyata bank palsu bernilai kira-kira RM49 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Semua suspek yang berusia antara 24 hingga 53 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kota Kinabalu, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Astro Awani melaporkan, penyata bank palsu itu dikemukakan sebagai dorongan untuk memasuki tender beberapa buah sekolah di seluruh Sabah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, kesemua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan sembilan wanita tersebut akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu dalam masa terdekat.

“SPRM Sabah pada tahun 2020 telah menahan seramai 39 kontraktor yang dipercayai mempunyai modus operandi sama melibatkan nilai kontrak berjumlah lebih RM80 juta.

“Susulan daripada tangkapan tersebut, sebanyak 132 pertuduhan telah berjaya dilaksanakan di Mahkamah Khas Rasuah di Sabah tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, SPRM memandang serius berhubung kesalahan tersebut dan susulan daripada kes-kes berkenaan, beberapa aktiviti pencegahan telah dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan.

“Antara usaha yang telah dilaksanakan ialah mengadakan beberapa sesi penerangan kepada pihak kontraktor seperti penganjuran seminar integriti bersama kontraktor hasil kerjasama antara Kementerian Kewangan Negeri Sabah dengan SPRM Sabah pada 25 Ogos 2020.

“Selain itu, SPRM Sabah pada 27 Mac tahun lalu juga telah mengadakan Forum Anti Rasuah: Peranan Kontraktor Dalam Menangani Rasuah hasil kerjasama antara SPRM Sabah, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),” katanya.

Dalam masa yang sama, Karunanithy turut mengingatkan golongan kontraktor supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu bagi tujuan memasuki mana-mana kontrak kerajaan kerana ia merupakan satu kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here