MAJLIS Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat esok berhubung pemilihan calon Menteri Besar Johor setelah menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, calon tersebut bakal diumumkan selepas keputusan dicapai dalam mesyuarat tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut tentang calon-calon yang disenarai pendek.

“Tidak ramai. Oleh kerana nak memilih jadi Yang Amat Berhormat Menteri Besar ni, kita mesti melihat dari segi kriteria-kriteria tertentu kerana dari segi pengurusan beliau untuk menguruskan negeri ini, pengalaman yang ada pada mereka yang akan meneruskan.

“Yang paling penting adalah soal integriti mereka itu tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa,” katanya.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita semasa program turun padang bersama calon PN bagi kerusi Dewan Umdangan Negeri (DUN) Pagoh, Datuk Dr Sahruddin Jamal di pekan Pagoh, hari ini.

Beliau juga tidak menyatakan sama ada calon-calon yang disenarai pendek itu dari Bersatu atau PAS.

“Biarlah Majlis Tertinggi yang akan umumkan,” jelasnya.

Pada masa ini, Dr Sahruddin dan calon PN bagi kerusi DUN Gambir, Mohd Solihan disebut-sebut sebagai antara tokoh yang mungkin diketengahkan sebagai calon Menteri Besar Johor bagi gabungan politik tersebut.

Kedua-duanya bertanding di kerusi-kerusi DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Pagoh yang diwakili oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here