Category: Semasa

  • 60,000kg tepung gandum mahu diseludup ke Thailand dirampas

    60,000kg tepung gandum mahu diseludup ke Thailand dirampas

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah Cawangan Kubang Pasu merampas 60,000 kilogram (kg) tepung gandum dianggarkan bernilai RM132,000, dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, semalam.

    Serbuan pada pukul 11 pagi itu selepas gudang berkenaan disyaki menyimpan barangan kawalan itu tanpa lesen dan seorang lelaki tempatan ditahan dalam serbuan berkenaan, lapor Berita Harian.

    Pengarah KPDNHEP Kedah, Rae Morn Verak berkata, serbuan itu susulan hasil risikan selama tiga hari yang diketuai oleh Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kedah Cawangan Kubang Pasu, K. Muniandy.

    “Hasil siasatan mendapati gudang itu dipercayai dijadikan tempat transit sebelum tepung gandum berkenaan disyaki diseludup ke Thailand.

    “Kilang pengeluar tepung gandum terbabit dipercayai terletak di Ipoh, Perak.

    “Dalam serbuan itu, kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dan dia dibebaskan selepas keterangan diambil,” katanya pada sidang media di stor KPDNHEP di Tunjang, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk mendapatkan dokumen berkaitan daripada pemilik gudang itu untuk tindakan seterusnya.

    “Setakat ini, bekalan tepung gandum dalam pasaran adalah mencukupi. Namun kita bimbang jika langkah segera tidak diambil, berkemungkinan bekalan tepung gandum yang juga antara barangan kawalan, akan terjejas dalam pasaran

    “Permintaan tepung gandum dijangka meningkat dalam fasa peralihan ke endemik di mana banyak perniagaan sudah mula atau kembali beroperasi.

    “Kita akan menjalankan pemeriksaan lebih ketat bagi memastikan bekalan seperti tepung, gula dan minyak masak sentiasa ada dalam pasaran,” katanya.

    Rae Morn turut memaklumkan, harga subsidi bagi satu kilogram tepung gandum ialah RM1.35, manakala harga bukan subsidi pula RM2.20 sekilogram

    Justeru, beliau berkata, pihaknya juga akan menyiasat sama ada tepung gandum dirampas itu adalah tepung subsidi ataupun tidak.

    “Gudang itu tidak mempunyai sebarang rekod serbuan. Bagaimanapun, kita akan menjalankan siasatan lanjut berkaitan status gudang itu, manakala tepung gandum terbabit dipercayai dikilangkan di Ipoh, Perak,” katanya.

    Rae Morn berkata, pihaknya antara lain akan memeriksa rekod transaksi perniagaan terbabit sama ada ia untuk kegunaan tempatan atau aktiviti lain.

    “Kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Dalam pada itu, Rae Morn memaklumkan setakat ini, pihaknya hanya menerima laporan berkaitan kekurangan bekalan minyak masak di Kedah.

    Beliau berkata, seramai 172 penguat kuasa di Kedah akan melakukan pemeriksaan setiap hari, termasuk pegawai pemantau harga, ketika Ramadan ini.

  • Berhati-hati dengan tawaran pakej haji 2022 – Tabung Haji

    Berhati-hati dengan tawaran pakej haji 2022 – Tabung Haji

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menasihati orang ramai terutamanya umat Islam di Malaysia supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pakej haji oleh segelintir agensi pelancongan bagi musim haji 2022.

    Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ketika ini kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu pengumuman rasmi berhubung urusan haji bagi musim haji 2022 daripada kerajaan Arab Saudi.

    “Pihak kami dan kedutaan Arab Saudi mendapati ada segelintir agensi pelancongan mengambil kesempatan untuk mengiklankan pakej-pakej haji mahupun badal haji yang amat meragukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu Syed Saleh turut mengingatkan, mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

    Beliau berkata pada awal Mac, TH telah melantik 22 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji tahun ini sebagai langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun.

    “Kesemua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya.

    Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) dengan menelefon 03- 6207 1919. – Bernama

  • Guru didakwa lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki

    Guru didakwa lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki

    SEORANG guru sains dan matematik didakwa di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu hari ini, di atas lapan pertuduhan termasuk amang seksual dan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak lelaki antara 2014 hingga 2021.

    Bagaimanapun tertuduh, Muhammad Nasution Noh, 49, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merangsang seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ketika kejadian untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau di perumahan guru di daerah Kuala Krai, pukul 5 pagi, pada 24 November 2014.

    Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 15 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.

    Pertuduhan kedua hingga ketujuh, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang sama di perumahan guru di daerah Kuala Krai dan sebuah rumah di Melor, Kota Bharu.

    Perbuatan itu dilakukan antara pukul 11 malam hingga 3 petang di antara 11 Mac 2016 hingga April 2021.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

    Bagi pertuduhan kelapan, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa yang sama di sebuah rumah di Gunong, dekat Bachok, kira-kira 3 pagi pada 6 November 2021.

    Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hassan.

    Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan serius dan mohon kes dibicarakan bersama semua pertuduhan kerana membabitkan tertuduh, mangsa dan saksi yang sama.

    Bagaimanapun, Muhammad Hasif memohon supaya tertuduh diberi jaminan yang minimum kerana tertuduh mempunyai seorang isteri dan empat anak yang masih bersekolah.

    Katanya, lelaki itu adalah penanggung tunggal keluarga dan tidak akan mengganggu mangsa serta saksi. Tertuduh juga tidak akan lari kerana tinggal dan bekerja di Kota Bharu.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mei akan datang sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • “Kirim salam pada YB Syed Saddiq,” Yasin curi tumpuan di mahkamah

    “Kirim salam pada YB Syed Saddiq,” Yasin curi tumpuan di mahkamah

    PENYANYI Lagu Mimpi Laila yang lebih dikenali sebagai Yasin mencuri tumpuan semasa di kompleks mahkamah Petaling Jaya hari ini apabila menyebut nama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Penyanyi dan komposer berkenaan memohon agar Syed Saddiq dapat menyegerakan kelulusan dadah jenis kanabis untuk perubatan, lapor Sinar Harian, hari ini.

    “Kirim salam pada YB Syed Saddiq,” kata Yasin atau nama sebbenarnya Muhammad Yasin Sulaiman mahkamah berkenaan.

    Yasin, 47, berkata demikian ketika dibawa ke mahkamah bagi menghadapi dua pertuduhan kes berkaitan dadah, iaitu menanam 17 pokok disyaki ganja dan mengedar dadah jenis sama, minggu lalu.

    Ketika prosiding di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, Yasin berkata, dia sudah diberi ubat namun sejak akhir-akhir ini, tahap kesihatannya sangat terjejas.

    “Saya khuatir pada bila-bila masa saya boleh jadi gila, ia pernah berlaku tiga kali dalam masa 10 tahun. Jadi mungkin saya perlukan ubat tambahan,” katanya.

    Sementara itu, peguam, Yusmadi Yusoff yang mewakili Yasin berkata, fakta menunjukkan penyanyi itu mempunyai masalah kesihatan dan dia perlu dibantu untuk mendapatkan rawatan segera.

    Katanya, Yasin telah mendapatkan rawatan sejak 2009 dan dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), namun tidak pernah menceritakan perkara itu kepada peminat.

    Pada dua bulan lalu, beliau berkata, anak guamnya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

    “Dia ada penyakit bipolar tahap kronik dan memohon agar peminat serta rakan-rakannya dapat memanjatkan doa,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes.

    Sementara itu, abang Yasin, Zain Sulaiman, 50, berkata, dua anak saudaranya berusia 17 dan 12 tahun sudah mengetahui keadaan yang menimpa bapa saudara mereka dan setia menunggu kepulangannya.

    “Kami sekeluarga mendoakan agar dia dipermudahkan urusan,” katanya

  • Manivannan tanding Naib Presiden PKR, Rodziah rebut Ketua Wanita

    Manivannan tanding Naib Presiden PKR, Rodziah rebut Ketua Wanita

    Bekas Ahli Parlimen Kapar Manivannan Gowin menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR manakala Ketua Wanita PKR Selangor Rodziah Ismail turut mengumumkan akan merebut jawatan Ketua Wanita menerusi pemilihan parti itu Mei ini.

    Manivannan berkata, beliau bersedia untuk meneruskan perjuangan dalam parti itu khususnya menerusi kehadiran Rafizi Ramli ke arena politik yang dilihat memberi nafas dan definisi baharu.

    Katanya, keputusan Rafizi yang bersetuju untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden bagi menerajui kepimpinan parti bersama Anwar Ibrahim menjadi masa depan dan wadah baharu PKR.

    “Gandingan dua generasi, veteran dan muda, kedua-duanya telah teruji dan terbukti. Ingat, jawatan merupakan satu amanat dan tanggungjawab. Kita memegang jawatan untuk berbakti kepada rakyat, bangsa dan negara berteraskan kejujuran, dedikasi dan kredibiliti.

    “Berasaskan pedoman dan prinsip yang sama, saya menawarkan diri dalam pemilihan parti untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR,” katanya dalam satu kenyataan, lapor FMT.

    Sementara itu, Rodziah pula berkata keputusan itu diambil berdasarkan pengalaman yang dimilikinya sebelum ini dalam memimpin pasukannya di Selangor.

    Katanya, ia ternyata menjadi bukti bahawa pasukannya boleh dipertanggungjawabkan untuk memimpin barisan Wanita PKR.

    “Berbekalkan pengalaman dan konsisten, saya bersedia berdiri di hadapan para anggota bagi memikul amanah selaku Ketua Wanita Keadilan bagi sesi 2022.

    “Secara konsisten dan tanpa gagal, semua hasil kerja pasukan pimpinan saya di Selangor boleh dipertanggungjawabkan bagi menjadi bukti amanah memimpin Wanita Keadilan,” katanya.

    Sebelum ini dilaporkan bahawa beliau akan akan mencabar Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR, Fadhlina Siddiq dalam persaingan merebut jawatan berkenaan pada pemilihan nanti.

    Pemilihan PKR kali ini menyaksikan persaingan dua pasukan diketuai calon timbalan presiden iaitu Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail.

    Difahamkan, Rodziah akan bersama pasukan Rafizi manakala Fadhlina pula menyertai Saifuddin.

  • JHEAT sudah kenal pasti ‘port’ geng ponteng puasa

    JHEAT sudah kenal pasti ‘port’ geng ponteng puasa

    AWAS bagi golongan tidak berpuasa yang menjadikan lokasi tertentu sebagai tempat berkumpul untuk makan dan minum pada Ramadan.

    Ini kerana Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sudah mengenal pasti lokasi tumpuan ‘kaki ponteng puasa’ sepanjang Ramadan ini.

    Menurut Pesuruhjaya JHEAT, M. Rozi Bidin, pegawai Penguat Kuasa Syariah sudah mengenal pasti beberapa lokasi ‘kaki ponteng puasa’ untuk makan dan minum di siang hari seperti di kedai makan, tempat perkelahan, kawasan perindustrian dan juga tempat rekreasi.

    Katanya, dalam melaksanakan penguatkuasaan, pegawai dan anggota akan menggunakan pendekatan memberi nasihat jika melakukan kesalahan pertama dan dikenakan tindakan tegas jika didapati melakukan kesalahan kedua, lapor Harian Metro.

    M. Rozi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) ketika dihubungi memberitahu, tindakan tegas juga akan dikenakan ke atas individu yang menjual makanan kepada golongan tidak berpuasa.

    “Seramai 171 pegawai dan anggota termasuk 85 anggota sukarela akan melakukan rondaan di semua lokasi yang dikenal pasti,” katanya.

    Menurut M. Rozi, mereka yang makan dan minum termasuk merokok secara terbuka di tempat awam boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen A54, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir), (Terengganu) Pindaan 2015.

    Ujarnya, tindakan yang sama juga boleh dikenakan ke atas orang yang menjual makanan, minuman dan rokok kepada umat Islam pada waktu berpuasa sepanjang Ramadan.

    “Umat Islam yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali,” katanya.

  • Proses kemasukan di sempadan Malaysia-Singapura sama seperti sebelum Covid-19

    Proses kemasukan di sempadan Malaysia-Singapura sama seperti sebelum Covid-19

    PENGEMBARA harian dari Singapura yang mahu masuk ke Malaysia bermula esok, hanya perlu menjalani proses kemasukan sama seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda.

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata pengembara terbabit boleh memasuki Malaysia dan pulang ke negara asal seperti biasa.

    “Proses bagi pengembara harian dari Singapura seperti sebelum pandemik Covid-19. Masuk dan keluar seperti biasa,” katanya memetika laporan BH, hari ini.

    Berdasarkan protokol kesihatan ditetapkan KKM, pengembara dari Singapura lengkap divaksinasi yang menggunakan laluan darat tidak perlu menjalani ujian saringan COVID-19 dalam tempoh dua hari sebelum masuk ke Malaysia. Mereka juga tidak perlu menjalani kuarantin atau memiliki insurans perjalanan COVID-19.

    Bagi pengembara yang belum lengkap divaksinasi atau tidak menerima vaksin, mereka juga tidak perlu menjalani ujian saringan terbabit, namun perlu menjalani tempoh kuarantin selama lima hari serta memiliki insurans perjalanan COVID-19.

    Protokol sama juga diguna pakai bagi pengembara dari Singapura yang menggunakan laluan udara serta laut. Maklumat berkaitan prosedur dan protokol kesihatan membabitkan pengembara dari Singapura boleh didapati di https://mysafetravel.gov.my/travel-from-sg.

    Sebuah portal berita dalam talian melaporkan beberapa warga Singapura dalam dilema untuk memasuki Malaysia susulan pembukaan pintu sempadan negara esok.

    Rata-rata mereka mendakwa terpaksa membatalkan hasrat untuk masuk ke Malaysia kerana mengalami kesulitan membabitkan proses kemasukan terutama bagi pengembara harian.

    Antara kesulitan itu ialah mereka tidak memiliki alamat tempat tinggal di Malaysia, selain keliru dengan proses ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera dan keperluan untuk mendapatkan insurans perjalanan.

    Seorang warga Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Chong berkata, beliau berhasrat ke Johor hujung minggu ini tetapi bimbang tidak dibenarkan masuk kerana tidak memiliki insurans perjalanan.

    Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, pengembara warga asing yang merancang memasuki negara ini perlu mematuhi peraturan ditetapkan Jabatan Imigresen dan mematuhi protokol kesihatan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk memuat naik aplikasi MySejahtera.

    “Pelawat perlu mempunyai kewangan atau kemudahan kredit mencukupi untuk menampung perbelanjaan di Malaysia, termasuk memiliki tiket pulang ke negara asal serta tempat tinggal yang sudah ditempah selain pasport perlu melebihi tempoh enam bulan.

    “Bagi negara yang memerlukan visa, mereka wajib membuat permohonan melalui sistem eVisa secara dalam talian,” katanya.

    Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, dari segi keanggotaan, Jabatan Imigresen memiliki kakitangan mencukupi untuk menerima kehadiran pelawat asing.

    “Sebelum pandemik melanda, jumlah anggota dan pegawai yang bertugas di pintu masuk sempadan adalah kira-kira 5,000 orang dan ketika pandemik, ada dalam kalangan mereka yang diberi tugasan menjaga depoh sementara bagi menguruskan pendatang asing tanpa izin (PATI).

    “Dengan pembukaan semula pintu masuk sempadan negara, mereka ini akan dibawa balik menjaga kaunter kemasukan secara berperingkat,” katanya.

  • Teliti kurikulum tahap satu sekolah rendah:KPM

    Teliti kurikulum tahap satu sekolah rendah:KPM

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang meneliti kurikulum tahap satu sekolah rendah sebelum melaksanakan penambahbaikan pelbagai sudut.

    Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, perincian perlu dilakukan bagi melakukan perubahan.

    Beliau berkata, kitaran sekolah rendah akan berakhir tahun ini dan kurikulum baharu bakal dilaksanakan.

    “Berkaitan dengan kurikulum ini sebenarnya saya sudah jelaskan kurikulum ini ada pusingan, jadi untuk KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) kumpulan murid tingkatan 5 yang menamatkan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) adalah kumpulan yang sudah menamatkan satu pusingan KSSM.

    “Jadi mengikut pendekatan yang digunakan oleh KPM selama ini apabila selesai satu pusingan itu, ia akan dilihat (dan) diteliti balik kurikulum yang berkaitan untuk dilihat sekiranya perlu dibuat penambahbaikan atau perubahan.

    “Untuk murid di sekolah rendah, kitarannya akan berakhir pada tahun ini sebab sekolah rendah (tempohnya) enam tahun, jadi murid yang pertama sekali masuk kurikulum baharu pada waktu itu akan tamat tahap pertama ini pada tahun ini.

    “Kita akan terus meneliti, apakah penambahbaikan yang boleh dibuat, perubahan kurikulum tidak boleh dilihat secara kecil-kecilan sebaliknya membabitkan keseluruhan termasuk tahap satu, tahap dua, sekolah menengah dan seterusnya supaya sukatan digunakan pada masa ini hingga akan datang terus relevan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-51 Tahun 2022 di Kuala Nerus, malam tadi.

    Terdahulu, KPM disarankan untuk mengembalikan semula Sistem3M iaitu membaca, menulis dan mengira untuk tahap satu sekolah rendah bagi menggantikan sukatan sedia ada.

    Ini sekali gus dilihat dapat menangani isu beg berat murid yang berlarutan sekian lama melalui tujuh inisiatif utama yang digariskan oleh KPM.

  • Penunggang, pembonceng maut langgar treler tepi jalan

    Penunggang, pembonceng maut langgar treler tepi jalan

    Penunggang dan pembonceng maut selepas motosikal dinaiki terbabas dan melanggar sebuah treler yang berhenti di bahu jalan di Batu 3, Jalan Gambang, Kuantan pukul 4.30 pagi tadi.

    Nahas tersebut mengakibatkan Mohamad Izhar Iskandar Mohamad Pazelong, 18, dan pembonceng, Wan Ezremy Shaqir Wan Erman Shafri, 18, meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu, pemandu treler, Mook Peng Cheong, 44, tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke bandar Kuantan.

    “Ketika tiba di lokasi kejadian, penunggang dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar treler yang berhenti di bahu jalan arah bertentangan.

    “Akibat kejadian, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Wan Mohd. Zahari berkata, kemalangan berlaku dalam keadaan cuaca hujan dan permukaan jalan basah.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

    “Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

  • Suami isteri didakwa bunuh kanak-kanak

    Suami isteri didakwa bunuh kanak-kanak

    MAHKAMAH Majistret Kuching, hari ini mendakwa pasangaan suami isteri atas tuduhan membunuh kanak-kanak berusia empat tahun, Eric Chang Wei Jie, awal bulan ini.

    Harian Metro melaporkan, tertuduh, Ling Kok Liang, 51, dan isterinya Wendy Chai Xue Zhen, 36, didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 5 petang 4 Mac hingga 9.15 pagi, 7 Mac lalu.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Chuan Yi di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Zaiton kemudian menetapkan 9 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

    Beliau turut memerintahkan kedua-dua tertuduh ditahan reman di Penjara Puncak Borneo sementara menunggu tarikh berkenaan.

    Mengikut kertas pertuduhan, pasangan terbabit yang juga penjaga kanak-kanak berkenaan didakwa secara bersama membunuh kanak-kanak itu di rumah bernombor 1493, Lorong 2, Taman Riverview, Jalan Daya, Bintawa, di sini.

    Pada 7 Mac lalu, ibu mangsa, Dynasty Chang Ka Hui, 25, membuat laporan polis di Balai Polis Bintawa berhubung kehilangan anak lelakinya selepas gagal mencari anaknya itu yang dilaporkan hilang dari rumah penjaganya.

    Berikutan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan pencarian dilakukan di kawasan Bintawa.

    Bagaimanapun, hasil perkembangan lanjut siasatan, kes berkenaan kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 13 Mac lalu.

    Berdasarkan maklumat daripada tertuduh, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan di kawasan Muara Tebas, di sini.

    Operasi yang membabitkan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagaimanapun dihentikan 19 Mac selepas tujuh hari pencarian gagal menemui sebarang petunjuk.