Category: Semasa

  • Kes Safiey Ilias dipindah ke Mahkamah Ampang, disebut semula pada 27 Oktober

    Kes Safiey Ilias dipindah ke Mahkamah Ampang, disebut semula pada 27 Oktober

    MAHKAMAH Sesyen di Ampang hari ini menetapkan 27 Okt depan untuk sebutan kes usahawan kosmetik Safiey Ilias yang didakwa atas dua pertuduhan termasuk melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja lelaki melalui aplikasi Instagram.

    Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurhashimah Hashim memohon tarikh sebutan seterusnya untuk serahan dokumen berkaitan kes tersebut.  

    Terdahulu, Nurhashimah memaklumkan bahawa Safiey Ilias, atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias, 28, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada Mac lepas namun kes itu dipindahkan ke Mahkamah Ampang dan hari ini adalah sebutan kali pertama di Mahkamah Ampang.

    Penyanyi lagu ‘Syinta Gila’ itu, yang diwakili peguam Harjeet Singh Sidhu, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkomunikasi secara seksual dengan mangsa menerusi aplikasi Instagramnya di kediamannya di Bandar Baru Bangi pada 9 pagi 9 Jun 2021.

    Dia juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menggoyang-goyangkan payu daranya di hadapan mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.

    Safiey Ilias didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15 (a)(i) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan berhubung dua pemilik akaun dikenali sebagai ‘safieyillias94’ dan ‘pipinatasha’ yang berpakaian mencolok mata semasa mengadakan sesi perbualan sidang video secara langsung bersama rakannya di Instagram yang disertai dua kanak-kanak bawah umur. – Bernama

  • Laksana proses pindah milik tanah sebelum naik taraf sekolah – Radzi

    Laksana proses pindah milik tanah sebelum naik taraf sekolah – Radzi

    PROSES memindah milik tanah sekolah kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum menaik taraf atau membina baharu bangunan sekolah daif, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata ini merupakan langkah penting kerana proses pemilikan tanah merupakan antara faktor utama yang menyebabkan banyak sekolah daif di seluruh negara khususnya di Sabah tergendala dan tidak dapat diteruskan.

    “Bagi memastikan projek membina baharu atau menaik taraf infrastruktur sekolah itu berjalan lancar kita perlu selesaikan masalah tanah dahulu, sebagai contoh terdapat beberapa sekolah di Sabah menghadapi masalah seperti itu…tender projek dan kontraktor sudah ada namun projek tergendala disebabkan tanah.

    “Kita tidak mahu masalah ini berlaku lagi kerana ia akan merugikan kerajaan dan sekolah berkenaan pula lambat untuk dinaik taraf atau sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kukut dan SK Sarang di Kota Belud hari ini.

    Mohd Radzi berkata projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon, yang sebelum ini tergendala kerana masalah pemilikan tanah, kini telah dilaksanakan.

    “Sekolah berkenaan sudah bertahun-tahun menumpang di SK (Sekolah Kebangsaan) Langkon, kita ada peruntukan namun masalah tanah pula timbul. Namun kini pembinaan sekolah berkenaan berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

    Beliau berkata dua lagi sekolah kebangsaan yang akan dinaik taraf di kawasan Kota Belud dalam masa terdekat iaitu SK Nanamun dan SK Pandasan.

    “Ia kini dalam proses tender yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sekolah ini adalah kategori daif. Kementerian akan mengutamakan sekolah daif yang mempunyai masalah mendesak,” tambahnya.

    — BERNAMA

  • Bukan kes culik pelajar tapi ceroboh rumah

    Bukan kes culik pelajar tapi ceroboh rumah

    POLIS menafikan rakaman tular dalam media sosial memaparkan lelaki ditahan kerana terbabit cubaan menculik pelajar.

    Sebaliknya kata Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak, dalam rakaman berdurasi 23 saat berkenaan, suspek ditahan polis kerana menceroboh pekarangan rumah di Kampung Marak Parak, Kota Marudu, 11 Ogos lalu.

    “Kes berkenaan masih dalam siasatan dan suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

    “Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran mesej dan video berkenaan.

    “Ia adalah berita tidak benar dan dibimbangi boleh menimbulkan kegusaran awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

  • Peniaga sayur tetak bekas majikan dipenjara 2 tahun

    Peniaga sayur tetak bekas majikan dipenjara 2 tahun

    GARA-GARA menetak kepala bekas majikan dengan sebilah parang kerana tidak berpuas hati ditampar lelaki itu, seorang peniaga sayur dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini.

    Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu ke atas E Thomas Gabriel Gomez, 22, yang mengaku bersalah menyebabkan cedera parah kepada A Utaiya Sangkar, 33, dengan menggunakan sebilah parang untuk menetak mangsa, di pusat pembuangan sampah Pasar Borong Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur pada 11 malam, 23 Julai lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 24 Julai lalu.

    Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh mengambil kira kecederaan dialami mangsa, namun peguam K Komagen yang mewakili Gomez memohon hukuman minima kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, selain insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian (23 Julai) mangsa berjumpa Gomez untuk berbincang mengenai tuntutan gaji dan Gomez berasa tidak puas hati kerana mangsa menamparnya dua minggu sebelum kejadian kerana bersikap biadap terhadap rakan sekerja dan diberhentikan kerja.

    Ketika berbincang, dia menyerang mangsa dengan sebilah parang dan menetak kepala mangsa beberapa kali sebelum melarikan diri, namun ditangkap polis keesokannya.

    Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa turut mengalami kecederaan pada bahu kiri dan jari tangan kiri.- Bernama

  • Selepas 6 hari hilang, Painah ditemukan dalam kebun sawit

    Selepas 6 hari hilang, Painah ditemukan dalam kebun sawit

    PAINAH Siwan, 79, wanita yang hilang sejak Rabu lalu selepas keluar ke kebun sawit berhampiran rumahnya di Kampung Parit Sayang, Senggarang, Batu Pahat, ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran lopak air dalam kawasan kebun berkenaan.

    Warga emas itu ditemukan penduduk yang turut menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pukul 11.25 pagi dalam lingkungan 900 meter dari pos kawalan operasi.

    Ketika itu, terdapat bersama-samanya sepasang selipar dan secekak lidi daun sawit yang sebahagiannya telah diraut.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, Painah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM).

    Sementara itu, anak mangsa, Sadiah Mohari, 42, melahirkan rasa syukur dengan penemuan semula ibunya dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari wanita berkenaan.

    Katanya, keyakinan ibunya akan ditemukan dalam keadaan selamat serta doa yang tidak putus-putus daripada anak-anak serta penduduk kampung, akhirnya termakbul.

    “Syukur Alhamdulilah, pagi ini kami menerima berita yang dinantikan selama enam hari. Paling penting emak ditemui dalam keadaan selamat.

    Painah ditemukan penduduk yang turut menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pukul 11.25 pagi dalam lingkungan 900 meter dari pos kawalan operasi

    “Ketika ini emak berada di hospital bagi mendapatkan rawatan kerana keadaannya masih lagi lemah. Buat masa ini, biarlah dia berehat dulu,” katanya ketika dihubungi seperti dilapor BH Online.

    Painah gagal dikesan selepas dikatakan ke kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya, pukul 3.30 petang Rabu lalu. Pasukan mencari dan menyelamat kemudian digerakkan termasuk dengan khidmat anjing pengesan (K9).

    Sadiah ketika ditemui pemberita pada Sabtu lalu, memaklumkan keluarga buntu ibunya tidak ditemui walaupun pelbagai usaha dibuat, termasuk bantuan mencari dan menyelamat daripada pihak berkuasa, selain individu yang arif agama.

    “Ada juga pihak arif agama datang membantu dan memberitahu, emak selamat di alam ghaib, masih ada sekitar kawasan ini. Dia mahu balik tapi tak mampu menjelmakan dirinya di dunia nyata,” katanya seperti dilaporkan sebelum ini.

    Painah biasa ke kebun untuk mencari sisa daun kelapa sawit yang sudah dibuang pekebun untuk dijadikan penyapu lidi dan akan pulang selepas itu.

    Susulan kehilangannya, SAR digerakkan melibatkan 187 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk setempat.

  • Penunggang motosikal putus kaki digilis lori

    Penunggang motosikal putus kaki digilis lori

    SEORANG penunggang motosikal putus kaki selepas digilis sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 111, Jalan Ipoh – Butterworth, dekat Kerian pukul 9 pagi tadi.

    Mangsa, Muhammad Rofique Muhammad Amin, 35, pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), putus kaki kiri.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa lori dan motosikal berkenaan sedang dalam perjalanan dari Bagan Serai menghala ke arah Parit Buntar.

    “Apabila motosikal yang berada bersebelahan dengan tayar belakang kiri lori, tiba-tiba motosikal telah hilang kawalan lalu terjatuh ke atas jalan raya.

    “Lori yang tidak sempat mengelak lalu telah mengilis penunggang motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Mazuki berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk tindakan selanjutnya.

    Katanya, pemandu lori yang berumur 53 tahun tidak mengalami kecederaan, kes disiasat di bawah Sekyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Bekas Exco Melaka, juara bina badan Asia meninggal dunia

    Bekas Exco Melaka, juara bina badan Asia meninggal dunia

    BEKAS juara bina badan Asia, Datuk Gan Boon Leong meninggal dunia akibat sakit tua, hari ini.

    Bekas EXCO Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banda Hilir dan Duyong itu meninggal dunia pada usia 92 tahun di sebuah pusat jagaan di Kota Laksamana, di Melaka pukul 1.30 pagi di hadapan beberapa ahli keluarganya.

    Mendiang meninggalkan seorang balu, Datin Chong Kin Yock dan enam anak, termasuk bekas ADUN Duyong yang juga bekas Ahli EXCO negeri, Datuk Gan Tian Loo.

    Tian Loo, ketika dihubungi berkata, mendiang bapanya akan disemadikan di Kampung Bekok, Asahan di Jasin pada Jumaat ini.

    “Kami difahamkan, keadaan jantung mendiang lemah sejak akhir-akhir ini, mungkin disebabkan faktor usia.

    “Namun kami reda dengan pemergian idola kesayangan kami itu. Bagi pihak mendiang, saya memohon maaf kepada semua kenalan jauh dan dekat sekiranya mendiang pernah melakukan perkara yang mengguris perasaan kalian,” katanya lapor BH Online.

    Boon Leong yang diberi jolokan `Bapa Bina Badan Malaysia’ pernah memenangi Mr Asia pada 1956 di Jakarta selain menerima gelaran kehormat Mr Universe pada 2000.

    Beliau meneruskan sumbangannya dalam sukan bina badan dengan diberi tanggungjawab sebagai Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia serta pernah dilantik sebagai Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia.

    Ketika menerajui Persekutuan Bina Badan Malaysia, beliau berjaya menganjurkan pelbagai kejohanan dunia dan antarabangsa seperti Kejohanan Bina Badan Asia pada 1987, 1993 dan 1994, diikuti Kejohanan Dunia Lelaki pada 1990, Kejohanan Klasik Pro Am ASEAN (1992) dan Bina Badan Komanwel (1998) dan Mr Universe (2000).

    Dalam politik pula, beliau beliau pernah mendapat gelaran `The Giant Killer’ apabila menewaskan penasihat DAP, Lim Kit Siang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1982 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir.

    Pada PRU berkenaan, Boon Leong mendapat 6,447 undi berbanding Kit Siang, 3,384 undi.

    Beliau kemudiannya menyertai beberapa lagi pilihan raya sebelum mengambil keputusan untuk bersara dalam politik pada 1999.

  • Jadikan isu LCS keutamaan SPRM, Peguam Negara – Pemuda UMNO

    Jadikan isu LCS keutamaan SPRM, Peguam Negara – Pemuda UMNO

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjadikan isu projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) sebagai keutamaan siasatan mereka kerana melibatkan aset pertahanan dan keselamatan negara yang melibatkan wang rakyat.

    Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dengan lengkapnya siasatan itu, Peguam Negara mesti segera mendakwa pihak yang menyeleweng dalam pengendalian projek pembinaan LCS.

    Menurutnya, Pemuda UMNO tetap berpendirian tegas agar SPRM dan Peguam Negara segera bertindak mendakwa mereka yang didapati terlibat dalam sebarang salah laku samaada pecah amanah, menipu, rasuah atau apa jua bentuk penyelewengan hingga menyebabkan kelewatan menyiapkan enam kapal LCS.

    “Selagi tiada pendakwaan selagi itulah persepsi dan pelbagai naratif fitnah akan terus dicipta dan ditular bagi menjatuhkan seteru politik terutamanya menjelang Pilihanraya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, isu LCS adalah isu berkeutamaan tinggi kerana melibatkan aset-aset pertahanan dan keselamatan negara yang melibatkan wang rakyat yang sudah dibelanjakan sehingga RM6 bilion.

    “Justeru, keutamaan harus diberikan untuk pihak SPRM segera menyelesaikan siasatan jika apa yang dilaporkan oleh PAC menjurus kepada pembuktian bahawa wujud penyelewengan dan salah laku mana-mana individu termasuk berprofil tinggi,” katanya.

  • Pekerja kilang maut 2 motosikal bertembung

    Pekerja kilang maut 2 motosikal bertembung

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG pekerja kilang yang dalam perjalanan pulang selepas habis bekerja maut apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah motosikal lain dalam kejadian di Jalan Permatang Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, mangsa berusia 40 tahun itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

    Jelas beliau, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggang remaja berusia 18 tahun.

    “Pertembungan itu menyebabkan kedua-duanya terjatuh dan mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian paha dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan.

    “Mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Polis berkas dua lelaki leka lerai kereta curi

    Polis berkas dua lelaki leka lerai kereta curi

    POLIS memberkas dua lelaki yang sedang leka meleraikan kenderaan dipercayai dicuri terbantut apabila ditahan polis di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Sentosa, Rawang, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kedua-dua suspek yang berusia berusia 27 dan 31 tahun itu ditahan susulan kes kehilangan kenderaan di Jalan Pandan Indah di Ampang, Jumaat lalu.

    Beliau berkata, suspek diberkas selepas pihaknya menerima laporan sebuah kereta Proton Wira berharga RM5,000 telah hilang dicuri pada pukul 8.30 pagi kelmarin.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menahan kedua-dua suspek ketika leka meleraikan kenderaan yang disyaki dicuri.

    “Pihak polis turut menemui serangkai anak kunci yang digunakan untuk mencuri kenderaan.

    “Kita turut menemui serangkai anak kunci yang digunakan untuk mencuri kenderaan.

    “Kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, modus operandi suspek adalah menyasarkan kenderaan lama yang diparkir di kawasan sunyi.

    “Semakan mendapati, salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kes dadah dan masih dikehendaki manakala seorang lagi tiada rekod jenayah,” jelasnya.

    Menurutnya, kedua-dua suspek selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” ujarnya.