BEKAS juara bina badan Asia, Datuk Gan Boon Leong meninggal dunia akibat sakit tua, hari ini.

Bekas EXCO Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banda Hilir dan Duyong itu meninggal dunia pada usia 92 tahun di sebuah pusat jagaan di Kota Laksamana, di Melaka pukul 1.30 pagi di hadapan beberapa ahli keluarganya.

Mendiang meninggalkan seorang balu, Datin Chong Kin Yock dan enam anak, termasuk bekas ADUN Duyong yang juga bekas Ahli EXCO negeri, Datuk Gan Tian Loo.

Tian Loo, ketika dihubungi berkata, mendiang bapanya akan disemadikan di Kampung Bekok, Asahan di Jasin pada Jumaat ini.

“Kami difahamkan, keadaan jantung mendiang lemah sejak akhir-akhir ini, mungkin disebabkan faktor usia.

“Namun kami reda dengan pemergian idola kesayangan kami itu. Bagi pihak mendiang, saya memohon maaf kepada semua kenalan jauh dan dekat sekiranya mendiang pernah melakukan perkara yang mengguris perasaan kalian,” katanya lapor BH Online.

Boon Leong yang diberi jolokan `Bapa Bina Badan Malaysia’ pernah memenangi Mr Asia pada 1956 di Jakarta selain menerima gelaran kehormat Mr Universe pada 2000.

Beliau meneruskan sumbangannya dalam sukan bina badan dengan diberi tanggungjawab sebagai Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia serta pernah dilantik sebagai Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia.

Ketika menerajui Persekutuan Bina Badan Malaysia, beliau berjaya menganjurkan pelbagai kejohanan dunia dan antarabangsa seperti Kejohanan Bina Badan Asia pada 1987, 1993 dan 1994, diikuti Kejohanan Dunia Lelaki pada 1990, Kejohanan Klasik Pro Am ASEAN (1992) dan Bina Badan Komanwel (1998) dan Mr Universe (2000).

Dalam politik pula, beliau beliau pernah mendapat gelaran `The Giant Killer’ apabila menewaskan penasihat DAP, Lim Kit Siang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1982 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir.

Pada PRU berkenaan, Boon Leong mendapat 6,447 undi berbanding Kit Siang, 3,384 undi.

Beliau kemudiannya menyertai beberapa lagi pilihan raya sebelum mengambil keputusan untuk bersara dalam politik pada 1999.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here