PAINAH Siwan, 79, wanita yang hilang sejak Rabu lalu selepas keluar ke kebun sawit berhampiran rumahnya di Kampung Parit Sayang, Senggarang, Batu Pahat, ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran lopak air dalam kawasan kebun berkenaan.

Warga emas itu ditemukan penduduk yang turut menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pukul 11.25 pagi dalam lingkungan 900 meter dari pos kawalan operasi.

Ketika itu, terdapat bersama-samanya sepasang selipar dan secekak lidi daun sawit yang sebahagiannya telah diraut.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, Painah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sementara itu, anak mangsa, Sadiah Mohari, 42, melahirkan rasa syukur dengan penemuan semula ibunya dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari wanita berkenaan.

Katanya, keyakinan ibunya akan ditemukan dalam keadaan selamat serta doa yang tidak putus-putus daripada anak-anak serta penduduk kampung, akhirnya termakbul.

“Syukur Alhamdulilah, pagi ini kami menerima berita yang dinantikan selama enam hari. Paling penting emak ditemui dalam keadaan selamat.

Painah ditemukan penduduk yang turut menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pukul 11.25 pagi dalam lingkungan 900 meter dari pos kawalan operasi

“Ketika ini emak berada di hospital bagi mendapatkan rawatan kerana keadaannya masih lagi lemah. Buat masa ini, biarlah dia berehat dulu,” katanya ketika dihubungi seperti dilapor BH Online.

Painah gagal dikesan selepas dikatakan ke kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya, pukul 3.30 petang Rabu lalu. Pasukan mencari dan menyelamat kemudian digerakkan termasuk dengan khidmat anjing pengesan (K9).

Sadiah ketika ditemui pemberita pada Sabtu lalu, memaklumkan keluarga buntu ibunya tidak ditemui walaupun pelbagai usaha dibuat, termasuk bantuan mencari dan menyelamat daripada pihak berkuasa, selain individu yang arif agama.

“Ada juga pihak arif agama datang membantu dan memberitahu, emak selamat di alam ghaib, masih ada sekitar kawasan ini. Dia mahu balik tapi tak mampu menjelmakan dirinya di dunia nyata,” katanya seperti dilaporkan sebelum ini.

Painah biasa ke kebun untuk mencari sisa daun kelapa sawit yang sudah dibuang pekebun untuk dijadikan penyapu lidi dan akan pulang selepas itu.

Susulan kehilangannya, SAR digerakkan melibatkan 187 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk setempat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here