Category: Mahkamah

  • Kes rogol amah: Paul Yong, isteri kontak rapat, bicara tangguh

    Kes rogol amah: Paul Yong, isteri kontak rapat, bicara tangguh

    MAHKAMAH Tinggi Ipoh hari ini menangguhkan perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lepas setelah Yong dan isterinya menjadi kontak rapat kes positif COVID-19.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menetapkan 16, 30 dan 31 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan selepas mendengar permohonan peguam Datuk Rajpal Singh dan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.

    Rajpal berkata, Yong yang juga saksi pembelaan utama dan isterinya, Too Choon Looi iaitu saksi pembelaan kedua memaklumkan mereka menjadi kontak rapat adik perempuan isteri Yong yang disahkan positif COVID-19 pada 12 Feb selepas melakukan ujian PCR dan perlu menjalani kuarantin kendiri.

    “Aplikasi MySejahtera (status) kedua-duanya telah bertukar sebagai kontak rapat dan berubah menjadi warna oren. Kami terpaksa memohon penangguhan kerana saksi pembelaan utama iaitu tertuduh (Yong) sendiri tidak dapat hadir ke mahkamah pada hari ini dan esok,” katanya.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi bersama Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin, manakala Yong diwakili Rajpal dan Salim Bashir.

    Sementara itu, Azlina berkata, tiada bantahan daripada pihak pendakwaan kerana ia merupakan alasan yang sah berikutan COVID-19 adalah sangat berbahaya.

    Rajpal turut memaklumkan penyataan saksi kedua-dua suami isteri itu telah diserah kepada pihak pendakwaan sejak 31 Jan lepas.

    Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Rajpal berkata, Yong yang sudah mendapatkan dos penggalak, perlu menjalani kuarantin kendiri di rumahnya sehingga esok.

    Yong, 52, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Yong yang didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, sepatutnya membela diri hari ini. – BERNAMA

  • Na’im mohon penghakiman ingkar RM30 juta selepas Lokman gagal failkan pembelaan

    Na’im mohon penghakiman ingkar RM30 juta selepas Lokman gagal failkan pembelaan

    EKORAN kegagalan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Lokman Noor Adam atas kenyataan berunsur fitnah berhubung kes gangguan seksual, satu permohonan penghakiman ingkar berjumlah RM30 juta telah difailkan terhadap beliau.

    Permohonan tersebut telah difailkan Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar setelah Lokman gagal memfailkan pembelaannya walaupun Mahkamah Tinggi melanjutkan tempoh akhir sehingga Jumaat lepas.

    Memetik laporan Berita Harian hari ini, Na’im menuntut RM10 juta setiap satu bagi ganti rugi teladan, teruk dan punitif berserta faedah 5 peratus sehingga jumlah penghakiman dibayar.

    Menurut laporan-laporan media, permohonan difailkan menerusi Tetuan Akberdin & Co di pejabat pendaftaran pada Isnin dan perkara ini telah disahkan peguam Na’im, Akberdin Abdul Kadir.

    Sebelum ini pada 7 Februari, hakim Rozana Ali Yusoff memerintahkan peguam Lokman memfailkan pembelaannya selewat-lewatnya pada 11 Feb dan Na’im memfailkan jawapannya, jika perlu, selewat-lewatnya pada 25 Februari.

    Rozana turut melanjutkan injunksi ex parte yang diperoleh Na’im terhadap Lokman untuk menyekatnya daripada membuat komen dan menghapuskan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah tersebut.

    Dengan mengekalkan status quo, hakim juga menetapkan 22 Mac bagi perbicaraan inter parte berhubung injunksi berkenaan.

    Pada 19 Januari, Na’im memfailkan saman fitnah dan memohon injunksi interim terhadap Lokman, yang mendakwanya terbabit dalam beberapa kes gangguan seksual, termasuk kes beliau dikatakan berbogel di dalam bilik tidur rumah seorang wanita.

    Na’im berkata, Lokman mengeluarkan kenyataan bersifat menghina terhadapnya dalam Facebook dan YouTube.

    Katanya, kenyataan tersebut membayangkan beliau seorang ‘oportunis rohani’, gagal menjadi pemimpin yang berwibawa atau menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej baik Jabatan Kehakiman Syariah.

    Na’im membuat laporan polis pada 12 Januari untuk menafikan dakwaan wanita itu, yang dikatakan bergelar ‘Datin’, dan terhadap Lokman atas penyiaran videonya. 

  • Remaja 15 tahun didakwa bunuh bayi sendiri

    Remaja 15 tahun didakwa bunuh bayi sendiri

    SEORANG remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kemaman, Terengganu hari ini atas tuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya pada minggu lepas.

    Remaja berusia 15 tahun itu didakwa dengan sengaja membunuh bayi itu di sebuah rumah di Seri Bandi, Kemaman antara pukul 7 hingga 9 pagi, 8 Februari lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menetapkan 16 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman manakala remaja terbabit diwakili peguam Nuraine Haziqah Shafii.

    Dalam kejadian pada minggu lepas, polis menemukan mayat bayi dipercayai ditikam dengan objek tajam di bahagian dada sejurus dilahirkan di rumah yang didiami remaja berkenaan. – Bernama

  • Permohonan Shafee padam separuh pernyataan saksi bekas pegawai LHDN ditolak

    Permohonan Shafee padam separuh pernyataan saksi bekas pegawai LHDN ditolak

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi memadamkan lebih separuh daripada pernyataan saksi bertulis bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mengenai kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapinya.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakiman ringkasnya memutuskan bahawa tiada kemungkinan 33 daripada 51 perenggan dalam pernyataan bertulis Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad, saksi pendakwaan ketujuh memprejudiskan tertuduh, Muhammad Shafee.

    Hakim itu berkata, seperti yang dinyatakan dalam Mahkamah Persekutuan berhubung kes Datuk Seri Anwar Ibrahim lawan pendakwa raya, mahkamah itu mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk memadam keterangan yang prejudis.

    “Mahkamah Rayuan dalam kes sama (Anwar lawan pendakwa raya) turut menyatakan bahawa mahkamah ini mempunyai kuasa untuk memadam keterangan yang tidak relevan dalam membuktikan pertuduhan bagi memastikan tertuduh tidak diprejudiskan.

    “Pada pandangan saya, 33 perenggan tersebut dalam pernyataan bertulis saksi pendakwaan ketujuh adalah relevan untuk membuktikan pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat terhadap tertuduh,” katanya.

    Hakim Muhammad Jamil berkata, keterangan saksi itu adalah tertakluk kepada pemeriksaan balas dan kebenarannya boleh diuji seterusnya dicabar.

    “Sama ada keterangan bertulis saksi pendakwaan ketujuh dalam 33 perenggan tersebut wajar diterima atau sebaliknya adalah isu yang berlainan, dan sama ada keterangan saksi tersebut membuktikan atau tidak kesalahan bagi pertuduhan ketiga dan keempat adalah isu berbeza.

    “Mahkamah akan menilai keterangan saksi berkenaan dan memutuskan ia wajar diterima atau sebaliknya, sama ada keterangan itu adalah keterangan dengar cakap (hearsay) atau apa-apa alasan lain. Oleh itu, permohonan pihak pembelaan untuk memadamkan 33 perenggan dalam pernyataan bertulis saksi pendakwaan ketujuh ditolak dan mengekalkan 33 perenggan tersebut,” katanya.

    Turut hadir pada prosiding hari ini, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz. Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara dengan pihak pembelaan akan menyoal balas Syed Nasrul Fahmi.

    Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Muhammad Shafee didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

    Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram, iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014. – Bernama

  • Perbicaraan 1MDB bekas pegawai Goldman Sachs bermula hari ini di New York

    Perbicaraan 1MDB bekas pegawai Goldman Sachs bermula hari ini di New York

    PERBICARAAN kes bekas pegawai bank Goldman Sachs yang didakwa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mula dibicarakan di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, Amerika Syarikat (AS), hari ini, selepas ditangguh hampir tiga tahun.

    Memetik laporan New York Times, perbicaraan hari ini akan dimulakan dengan memanggil saksi pertama pihak pendakwaan.

    Perbicaraan ini membuka tirai dengan pemilihan juri bagi mendengar kes terhadap pegawai bank terbabit, Ng Chong Hwa atau lebih dikenali sebagai Roger Ng, yang berdepan dengan tiga pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan urusan mendapatkan perniagaan bagi Goldman Sachs, yang mempunyai pengaruh besar di Wall Street.

    Sebelum ini Roger Ng yang juga bekas ketua pelaburan perbankan bagi Goldman Sachs Malaysia, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat melanggar undang-undang antirasuah dan pengubahan wang haram.

    Pada Oktober 2020, bekas majikannya bersetuju untuk membayar AS$2.9 bilion (RM12.2 bilion) dan sebuah unit Malaysia mengakui salah laku jenayah, bagi menyelesaikan siasatan oleh Jabatan Keadilan AS serta pihak lain berhubung skandal dana berbilion dolar daripada 1MDB.

    Roger Ng bersama bekas rakan sekerjanya di Goldman Sachs, Tim Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan yang juga pembiaya kewangan rakyat Malaysia Low Taek Jho (Jho Low) serta beberapa lagi didakwa bersubahat menyeleweng lebih AS$2.7 bilion (RM11.28 bilion) daripada 1Malaysia Development Berhad, oleh pihak berkuasa negara itu.

    Roger Ng turut didakwa bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Asing AS (FCPA) dengan memberi suapan kepada para pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi serta berkonspirasi untuk memintasi kawalan perakaunan dalaman Goldman Sachs, demikian menurut Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dalam satu kenyataan pada 2019.

    Pihak pendakwaan di Malaysia dan AS mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri daripada 1MDB pada 2009 bagi membiaya program pembangunan di Malaysia.

    Jabatan Kehakiman AS menyifatkan isu 1MDB sebagai ‘skandal kleptokrasi terburuk pada era ini.’

    Memetik Reuters, sebelum ini, Leissner pula telah mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dan diperintah dilucut hak sebanyak AS$43.7 juta dan beliau dijadual dijatuhkan hukuman pada bulan depan, kata Reuters.

    Pada Oktober 2020, Goldman Sachs dan anak syarikatnya di Malaysia bersetuju membayar lebih AS$2.9 bilion kepada kerajaan Malaysia selepas mengaku bersalah bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Asing.

    Jabatan Kehakiman AS berkata Goldman Sachs telah memberi suapan lebih AS$1 bilion kepada para pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi dan sebagai balasan, memiliki peranan sebagai penaja jaminan kira-kira AS$6.5 bilion dalam urus niaga tiga bon bagi 1Malaysia Development Berhad.

  • Pesara hakim, kerajaan disaran selesai cara mediasi

    Pesara hakim, kerajaan disaran selesai cara mediasi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini mencadangkan pihak terbabit dalam saman difailkan sekumpulan 35 individu, terdiri daripada bekas anggota badan kehakiman dan tujuh balu bekas hakim berhubung kegagalan kerajaan menetapkan kenaikan sewajarnya dalam pencen dan faedah yang mereka terima sejak 2015, diselesaikan melalui mediasi.

    Bekas anggota badan kehakiman itu termasuk bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Tan Sri Haidar Mohamed Nor, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yunos, yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat.

    Mereka menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan pertama hingga keempat.

    Peguam Christopher Leong yang mewakili bekas hakim sebagai plaintif itu berkata Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mencadangkan pihak terbabit supaya meneroka kemungkinan melalui proses mediasi.

    “Kami memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami bersetuju untuk meneroka kemungkinan untuk pengantaraan dan Peguam Persekutuan M. Kogilambigai memberitahu mahkamah bahawa beliau akan mendapatkan arahan mengenai perkara ini juga dan kembali ke mahkamah pada tarikh pengurusan kes akan datang,” kata peguam itu kepada pemberita selepas pengurusan kes hari ini.

    Leong berkata hakim juga memberitahu mahkamah bahawa beliau mempunyai kaitan dengan salah seorang plaintif dalam saman itu (hubungan keluarga) dan meminta pandangan pihak terbabit.

    Bagaimanapun, mahkamah dimaklumkan bahawa tiada bantahan bagi pihak mereka yang terbabit dan hakim kemudiannya menetapkan 21 Mac untuk pengurusan kes selanjutnya untuk memaklumkan status pengantaraan.

    Dalam saman yang difailkan pada 24 Januari lalu itu, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa kegagalan untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain bagi setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta telah melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

    Mereka memohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga (Perdana Menteri dan Jemaah Menteri) hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain yang diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) akta tersebut.

    Plaintif berkata mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang sudah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim masih berkhidmat yang disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang wajib dilakukan menurut Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan. – Bernama

  • Terima rasuah:Bekas kakitangan AADK didenda RM10,000

    Terima rasuah:Bekas kakitangan AADK didenda RM10,000

    MAHKAMAH Sesyen Alor Setar hari ini menjatuhkah hukuman denda RM10,000 terhadap seorang bekas kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda selepas mengaku bersalam menerima suapan RM3,000 pada 2016.

    Tertuduh, Erwan Yahya, 46, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

    Mengikut pertuduhan pilihan pertama, tertuduh yang ketika kejadian bertugas sebagai Pembantu Antidadah didakwa menerima suapan RM3,000 daripada Muhammad Russul Muhammad Radzi sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki yang didapati positif dadah jenis syabu.

    Harian Metro melaporkan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kereta Proton Iswara berdekatan deretan kedai di Bandar Puteri Jaya pada pukul 5.30 petang, 7 Disember 2016.

    Bagi pertuduhan pilihan kedua, tertuduh didakwa bersama bekas Penolong Pegawai AADK, Kuala Muda, Norzarenawati Osman, 38, dengan niat bersama bersetuju menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada Muhammad Russul sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki positif dadah di sebuah rumah kosong di Bandar Puteri Jaya pada pukul 3 petang tarikh sama.

    Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Siew Ping, manakala tertuduh diwakili peguam Alias Ibrahim.

    Alias dalam rayuan kepada mahkamah memaklumkan anak guamnya sudah insaf dan mengaku sejak kejadian selain hilang pekerjaan dan menghidap penyakit kencing manis.

    Bagaimanapun, pendakwaan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh ketika melakukan kesalahan itu masih penjawat awam selain mahu ia dijadikan sebagai pengajaran kepada orang lain.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda terbabit terhadap Erwan dan penjara enam bulan jika tertuduh gagal membayar denda benda berkenaan.

    Tertuduh kemudian menjelaskan bayaran denda berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.

  • Permohonan SRC isu beku aset Najib didengar 22 Mac

    Permohonan SRC isu beku aset Najib didengar 22 Mac

    PERMOHONAN SRC International Sdn. Bhd. untuk injunksi Mareva terhadap aset Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang dikaitkan dengan saman sivil RM42 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu, akan dibicarakan di mahkamah pada 22 Mac.

    Pasukan peguam untuk bekas anak syarikat 1MDB dan bekas menteri kewangan itu masing-masing mengesahkan tarikh pendengaran permohonan injunksi Mareva pada Isnin.

    Sebelum ini berhubung tindakan sivil AS$8 bilion yang berasingan oleh 1MDB, mahkamah membenarkan permohonan 1MDB untuk injunksi Mareva terhadap Najib, yang pernah menjadi pengerusi lembaga penasihatnya.

    Memetik Malaysiakini, mahkamah juga menetapkan 21 Februari untuk mendengar permohonan Najib untuk mengetepikan perintah sekatan yang dikaitkan dengan AS$681 juta aset berkaitan 1MDB.

    Berkenaan dengan tindakan sivil SRC sekarang, peguamnya Rosli Dahlan berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada mulanya menetapkan Jumaat minggu lepas (11 Februari) untuk mendengar permohonan injunksi ex-parte Mareva terhadap Najib.

    Rosli berkata, berikutan peguam Najib dari firma guaman Shafee & Co yang hadir untuk hadir semasa perbicaraan ex-parte pada Jumaat, pasukan peguam SRC bersetuju supaya perkara itu dianggap sebagai inter-partes.

    “(Peguam utama Najib Muhammad) Shafee (Abdullah) menulis untuk meminta hadir pada ex-parte (perbicaraan pada Jumaat minggu lepas).

    “Atas budi bicara, kami bersetuju untuk menukar ex-parte kepada inter-partes, yang membuatkan hakim gembira kerana kami sanggup mendengar inter-partes (pada 22 Mac),” kata Rosli merujuk kepada hakim Mahkamah Tinggi (bidang kuasa sivil), Mohd. Arief Emran Arifin.

    Peguam Najib, Nur Syahirah Hapaniah mengesahkan bahawa hakim meminta permohonan injunksi SRC Mareva didengar inter-partes pada 22 Mac.

    “Kami (pasukan undang-undang Najib) telah diarahkan untuk menjawab afidavit mereka (SRC untuk menyokong permohonan injunksi Mareva) selewat-lewatnya pada 25 Feb.

    “Kami akan mengemukakannya (semasa perbicaraan mahkamah) pada 22 Mac,” katanya.

    Saman sekarang adalah satu daripada 22 tindakan sivil yang dilancarkan oleh 1MDB dan SRC tahun lepas, menyasarkan mereka yang didakwa menipu dua entiti milik kerajaan itu, sama ada secara sedar atau tidak.

    Dalam tindakan sivil semasa, kedua-dua plaintif ialah SRC – yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) – dan anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd. Defendan tunggal saman itu ialah Najib.

    Pada Julai 2020 berikutan perbicaraan penuh mahkamah jenayah, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi pertuduhan rasuah berkaitan RM42 juta yang diterimanya daripada SRC.

    Pada 8 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib. Najib sedang menunggu rayuannya terhadap keputusan yang akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan. 

  • Kes rasuah Bung Moktar: Pendakwaan mahu soal balas saksi sendiri yang dianggap belot

    Kes rasuah Bung Moktar: Pendakwaan mahu soal balas saksi sendiri yang dianggap belot

    PIHAK pendakwaan memohon untuk menyoal balas seorang saksi utamanya yang dianggap sebagai saksi belot dalam perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

    Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berkata, permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan 1950, bagi menyoal balas sendiri perunding unit amanah yang merupakan saksi pendakwaan ke-25, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45.

    “Terdapat percanggahan yang material antara keterangan saksi itu di mahkamah sebelum ini, dengan rakaman percakapan yang diambil oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan,” katanya pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rozina Ayob hari ini.

    Law memaklumkan pihaknya telah menyerahkan rakaman percakapan saksi itu kepada pihak pembelaan.

    Peguam Ridha Abdah Subri mewakili Bung Moktar mengesahkan menerima rakaman tersebut pada 11 Feb lepas, manakala peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette juga memaklumkan perkara sama.

    Bagaimanapun, pihak pembelaan membantah permohonan tersebut atas alasan ia tidak dibuat mengikut prosedur yang betul.

    Hakim Rozina menetapkan 24 Feb ini untuk mendengar permohonan tersebut, dan menasihatkan Norhaili agar tidak berkomunikasi atau berbincang dengan mana-mana pihak termasuk pasukan pembelaan, tertuduh dan pegawai penyiasat.

    Terdahulu Norhaili semasa pemeriksaan utama oleh pendakwaan mengekalkan keterangannya pada 27 Jan lepas bahawa Zizie Izette layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta, memandangkan pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Dalam keterangannya itu, saksi berkenaan berkata, bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie Izette merupakan strategi pemasaran pihaknya, apabila pelakon itu turut memperkenalkan seorang pegawai kanan Felcra untuk membuat pelaburan sama.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar, 64, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette, atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

    Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

  • Pembantu klinik haiwan mengaku tidak bersalah merogol bekas kekasih

    Pembantu klinik haiwan mengaku tidak bersalah merogol bekas kekasih

    SEORANG pembantu klinik haiwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini atas pertuduhan merogol bekas kekasihnya pada September 2015.

    Tertuduh, Mohd Farit Mohd Noor, 35, membuat pengakuan tersebut selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Memetik laporan Harian Metro, Mohd Farit didakwa merogol seorang remaja perempuan (ketika kejadian berusia 16 tahun 11 bulan) di sebuah rumah kosong di Bukit Marak, Bachok pada pukul 2 petang September 2015.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Ahmad Fariz menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

    Dalam rayuannya, tertuduh memohon agar mahkamah mengurangkan jaminan terhadapnya.

    Mahkamah akhirnya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan menetapkan 14 Mac depan untuk tarikh sebutan semula kes.