Category: Kemalangan / Bencana

  • Buruh maut digilis lori di tapak pembinaan

    Buruh maut digilis lori di tapak pembinaan

    SEORANG buruh warga asing maut selepas digilis sebuah lori di sebuah tapak pembinaan di Kuala Langat pukul 12.30 tengah hari semalam.

    Buruh kasar warga Bangladesh itu mengalami kesan parah di kepala semasa lori berkenaan sedang melakukan kerja-kerja mengangkut tanah.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori sedang mengundurkan kenderaan itu untuk membuang tanah di kawasan pembinaan berkenaan.

    “Apabila selesai membuang tanah, pemandu terbabit keluar dari lori dipandunya untuk melihat tanah yang dibuang itu.

    “Semasa pemandu lori ke hadapan lori, dia nampak pekerja buruk kasar itu terbaring dalam keadaan parah di kepala dan anggota badan akibat digilis oleh tayar lori dipandunya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Ahmad Ridhwan berkata, siasatan mendapati, mangsa yang berumur 42 tahun dan bekerja sebagai buruh kasar di tapak pembinaan berkenaan.

    Katanya, saksi bebas yang melihat kemalangan berlaku atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

    “Mereka boleh juga menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621 atau 03-31872222,” katanya.

  • Operator kilang maut terhempas kotak berisi kaca seberat 5.6 tan

    Operator kilang maut terhempas kotak berisi kaca seberat 5.6 tan

    SEORANG operator sebuah kilang di kawasan Perindustrian Lipat Kajang di Jasin, maut dihempap kotak berisi kaca seberat 5.6 tan ketika sedang bekerja hari ini.

    Ketua Polis Daerah Jasin DSP Mispani Hamdan berkata mangsa, Muhammad Umar Mohd Shahid, 23, disahkan meninggal dunia selepas cedera parah di seluruh anggota badan dalam kejadian kira-kira 7.10 pagi tadi.

    “Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja mengikat kotak kaca di dalam sebuah kontena di kilang tersebut.

    “Mangsa yang sedang menjalankan kerja-kerja berkenaan dikatakan terlanggar kayu penahan di dalam kontena menyebabkan kotak kaca itu menghempapnya sehingga patah kedua-dua kaki, tengkuk serta cedera pada beberapa anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mispani berkata mayat lelaki yang masih bujang berasal dari Tangkak, Johor itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat.

    “Proses bedah siasat sedang dijalankan dan pengecaman mangsa juga sudah dibuat oleh bapanya dan siasatan lanjut masih diteruskan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

    — BERNAMA

  • Operasi bencana tapak pelupusan sampah Pulau Burung tamat

    Operasi bencana tapak pelupusan sampah Pulau Burung tamat

    KESEMUA penduduk yang terjejas akibat bencana kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Nibong Tebal, Pulau Pinang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula hari ini.

    Mereka merupakan sebahagian daripada 400 penduduk yang terpaksa berpindah akibat kebakaran tapak sampah itu yang tinggal di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dalam satu kenyataan berkata, kebenaran pulang ke rumah itu dibuat selepas cerapan terkini dan ulasan teknikal Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri menunjukkan kualiti udara di sekitar kawasan Ladang Byram iaitu lokasi paling hampir bertambah baik dan kembali pulih.

    Menurutnya, penutupan PPS itu juga secara tidak langsung menandakan semua operasi di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah SPS telah ditamatkan.

    “Bagaimanapun, pihak syarikat konsesi pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan meneruskan kerja-kerja penutupan Fasa 1 dan 2 hingga selesai di bawah pemantauan secara berkala oleh JAS Pulau Pinang,” katanya.

    Pada 1 Februari lalu, kira-kira 11.3 hektar kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas usaha-usaha memadamkan kebakaran berlangsung selama kira-kira 20 hari.

    Kebakaran yang mula dikesan pukul 5 petang 12 Januari lalu itu menyebabkan kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga di kawasan sekitar iaitu Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru diarahkan berpindah sementara di dua PPS iaitu di SK Saujana Indah dan di SK Bakap Indah.  

    Kejadian itu juga menyebabkan sebanyak 10 buah sekolah berdekatan diarahkan ditutup selama tiga hari berikutan indeks udara menunjukkan kepekatan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa.

  • Ribut landa Pulau Pinang, bumbung stadium mini tercabut, pokok tumbang

    Ribut landa Pulau Pinang, bumbung stadium mini tercabut, pokok tumbang

    KEJADIAN ribut dan angin kuat yang melanda Pulau Pinang kira-kira pukul 5 petang tadi menyebabkan berlakunya kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan di negeri itu.

    Sehingga pukul malam 7 malam ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima sekurang-kurangnya 16 laporan kejadian pokok tumbang termasuk satu kejadian yang menimpa kenderaan.

    Antara lokasi itu termasuk di Gerbang Midlands; Jalan Cheeseman Masjid Negeri; Solok Tengku; Jalan Air Itam, Taman Sri Bayan, Bayan Lepas; Jalan Zainal Abidin; Relau dan Taman Tunas Muda Bayan Baru.

    MBPP menerima sekurang-kurangnya 16 laporan kejadian pokok tumbang termasuk satu kejadian yang menimpa kenderaan.

    Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan kemalangan atau kehilangan jiwa dilaporkan akibat kejadian ribut itu yang berlaku dalam tempoh kurang 20 minit.

    Dalam pada itu, kejadian sama turut menyebabkan bumbung sebuah stadium mini di Sungai Ara, Bayan Lepas diterbangkan angin dan menimpa beberapa buah kenderaan di flat Seri Delima yang terletak berhampiran.

    Bagaimanapun, kejadian itu juga tidak melibatkan kecederaan kerana difahamkan penduduk yang berada di lokasi kejadian sempat menyelamatkan diri.

    Video mengenai kejadian itu juga turut tular di dalam media sosial sejurus selepas kejadian tersebut.

  • Mayat nelayan bot karam ditemukan

    Mayat nelayan bot karam ditemukan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Mayat seorang nelayan ditemui dalam bot yang karam di kedudukan kira-kira lima batu nautika barat laut Pulau Payar di Langkawi semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui penyelam bebas kira-kira pukul 12.05 tengah hari tadi di bilik jentera bot berkenaan.

    “Usaha mencari dan menyelamat diteruskan seawal pukul 8.00 pagi tadi dengan penglibatan sebuah aset Maritim Malaysia, bot Perkasa 1225 dan lima buah bot nelayan tempatan.

    “Keluasan sektor operasi pencarian merangkumi kawasan seluas 2.8 batu nautika. Pada pukul 11 pagi, seramai empat penyelam bebas melakukan kerja-kerja menyelam ke dasar laut untuk menjejaki mangsa yang disyaki masih terperangkap dalam bot karam dan satu mayat ditemui di kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi semalam, seramai 16 kru bot nelayan tempatan Kelas A atau bot bilis terselamat manakala seorang lagi hilang selepas bot tersebut tenggelam akibat kerosakan pada hos salur masuk air laut.

    Kesemua mangsa berusia antara 27 hingga 57 tahun berjaya diselamatkan dua bot nelayan tempatan yang berada berhampiran kawasan kejadian.

    Salah seorang mangsa mengalami kecederaan pada tangan dan dada dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di sini untuk rawatan.

    Mohd Zawawi berkata, mayat tersebut dibawa ke jeti Maritim Malaysia, Bukit Malut menggunakan bot Perkasa 1225.

    “Sejurus tiba di jeti pada pukul 1.10 tengah hari, pengecaman mayat dilakukan oleh pihak majikan dan diserahkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya.

    “Operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 2.00 petang,” katanya.

  • Bayi 5 bulan maut kereta dipandu bapa terbabas

    Bayi 5 bulan maut kereta dipandu bapa terbabas

    SEORANG bayi perempuan berusia lima bulan maut selepas kereta dinaiki lima sekeluarga terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 33, Jalan Jerantut-Temerloh, Temerloh, Pahang malam tadi.

    Memetik laporan Sinar Harian, dalam kemalangan pada pukul 8 malam itu, mangsa, Miszara Amira Jaffery disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian dada.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud, pemandu kereta, Jaffery Abdullah, 54, dilaporkan patah kaki serta cedera di muka dan dada manakala isterinya, Noor Azlina Mohd Shariff, 42, pula cedera di perut.

    Katanya, dua lagi anak pasangan berkenaan, Miszara Husna, 6, dan Miszara Halisya, 5, turut cedera.

    Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, lima sekeluarga yang menaiki kereta jenis Proton Saga itu dalam perjalanan dari arah Jerantut menghala ke arah Temerloh.

    Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian berhampiran jambatan Kuala Krau, kereta dinaiki dipercayai hilang kawalan ekoran keadaan laluan yang licin lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan di tengah laluan.

    “Akibat kejadian, kenderaan berkenaan remuk pada bahagian hadapan menyebabkan pemandu dan penumpang tersepit dan mengalami kecederaan,” katanya.

    Menurut Kamarulzaman, bayi berkenaan yang berada dalam pangkuan ibunya di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.

    Ujarnya, mayat mangsa serta semua yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat.

    Tambah beliau, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Warga emas maut langgar kerbau

    Warga emas maut langgar kerbau

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG warga emas maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar seekor kerbau di Kilometer 5 Jalan Kuala Berang- Tanggol, Kampung Pulau Kudat, Hulu Terengganu, pagi semalam.

    Mangsa, Ilias Awang, 76, dari Kampung Kuala Kejir disahkan meninggal dunia pada pukul 9.06 malam ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, lapor Sinar Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd. Adli Mat Daud, kejadian berlaku ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk membeli kuih di kedai makan di Kampung Pulau Kudat pada pukul 8.15 pagi.

    Mohd Adli Mat Daud

    Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX-5 gagal mengawal motosikal lalu melanggar seekor kerbau yang berada di situ.

    Menurut beliau, akibat kemalangan tersebut, mangsa cedera parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dirujuk ke HSNZ, Kuala Terengganu.

    “Namun, pada pukul 9.06 malam, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya hari ini.

    Menurut Mohd Adli, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • 16 selamat, seorang hilang bot nelayan karam di perairan Langkawi

    16 selamat, seorang hilang bot nelayan karam di perairan Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 16 individu selamat manakala seorang lagi masih hilang dalam kejadian bot nelayan tempatan karam di kedudukan 5 batu nautika, barat laut Pulau Payar, Langkawi semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.40 pagi semalam ketika bot nelayan tempatan kelas ‘A’ (Bot bilis) tersebut sedang menangkap ikan bersama beberapa bot nelayan lain.

    Katanya, bot tersebut dengan nombor pendaftaran KHF 886 dipercayai karam setelah satu daripada hosnya tercabut menyebabkan air memasuki bilik jentera sekali gus menenggelamkan keseluruhan bot dalam masa singkat.

    Sebahagian daripada nelayan yang diselamatkan dan dipindahkan ke Bot Penyelamat 5 Maritim Malaysia.

    “Sebaik bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi kejadian, 16 daripada 17 kru bot itu yang merupakan warganegara Thailand termasuk tekong berusia antara 27 hingga 57 tahun, telah diselamatkan oleh dua bot nelayan tempatan di sekitar situ.

    “Mereka kemudiannnya dipindahkan ke bot Penyelamat 5 milik Maritim Malaysia dengan seorang daripadanya cedera ringan di tangan serta dada. Begitu pun seorang kru bot dikenali sebagai Phanu Tarurak, 27, masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, mangsa yang selamat diserahkan kepada majikan manakala individu yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi untuk rawatan lanjut.

    Seorang daripada nelayan yang diselamatkan dan mengalami kecederaan

    Usaha mengesan dan mencari seorang lagi mangsa yang disyaki tenggelam bersama bot karam itu diteruskan dengan mendapatkan khidmat penyelam dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Pemilik bot tersebut turut menggunakan khidmat pasukan penyelam bebas dalam misi sama selain berusaha melakukan kerja-kerja untuk menimbulkan semula bot tersebut,” katanya.

  • Banjir Sabah: jumlah mangsa naik mendadak kepada 719 orang

    Banjir Sabah: jumlah mangsa naik mendadak kepada 719 orang

    JUMLAH mangsa banjir dipindahkan di daerah Pitas naik mendadak pagi ini kepada 719 mangsa daripada 236 keluarga, berbanding 313 orang daripada 96 keluarga malam tadi.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan empat pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka dengan PPS Dewan Kampung Sinukab menempatkan mangsa teramai iaitu 510 mangsa daripada 170 keluarga.

    Tiga PPS lain ialah Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II kekal menempatkan 81 mangsa daripada 29 keluarga; Dewan SK Rukom (55 mangsa daripada 17 keluarga); dan Dewan Kampung Kusilad (73 mangsa daripada 20 keluarga).

    Sebanyak 10 kampung terlibat banjir susulan hujan lebat sejak Ahad lepas dengan dua kampung terbaharu yang dilanda bencana itu malam tadi ialah Kampung Boribi dan Kampung Untang-Untang/Mulung Kulung.

    Lapan lagi kampung terbabit ialah Kampung Tambilidon, Kampung Kalumpang, Kampung Taka, Kampung Saab Darat, Kampung Rukom Ulu, Kampung Kusilad, Kampung Desa Seberang dan Kampung Kanibongan.

    Cuaca pagi ini cerah di Papar, Kota Kinabalu dan kawasan lain di pantai barat Sabah, bagaimanapun hujan di kawasan utara antaranya Paitan, Labuk serta Sugut dan kawasan tengah antaranya Telupid dan Tongod. – Bernama

  • Bas terbabas: Empat pelajar perempuan USIM cedera di Nilai

    Bas terbabas: Empat pelajar perempuan USIM cedera di Nilai

    EMPAT pelajar perempuan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cedera selepas bas persiaran yang dinaiki terbabas lalu melanggar sebatang pokok dan kemudiannya terbalik dalam kemalangan di Bandar Baru Nilai, di Nilai, hari ini.

    Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Raihan Che Mat berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada kira-kira 7.40 pagi.

    Beliau berkata, empat pelajar tersebut masing-masing mengalami kecederaan di tangan dan di bahagian tulang belakang.

    “Bas itu membawa 17 pelajar dan sedang dalam perjalanan ke USIM. Kami menerima laporan mengenai tumpahan minyak di atas jalan raya berhadapan McDonald’s di Bandar Baru Nilai…dan bas dipercayai terbabas kemungkinan berpunca daripada tumpahan minyak itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Katanya, kesemua pelajar itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dengan ambulans unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dan Kementerian Kesihatan. – Bernama