SEORANG bayi perempuan berusia lima bulan maut selepas kereta dinaiki lima sekeluarga terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 33, Jalan Jerantut-Temerloh, Temerloh, Pahang malam tadi.

Memetik laporan Sinar Harian, dalam kemalangan pada pukul 8 malam itu, mangsa, Miszara Amira Jaffery disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian dada.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman [email protected] Daud, pemandu kereta, Jaffery Abdullah, 54, dilaporkan patah kaki serta cedera di muka dan dada manakala isterinya, Noor Azlina Mohd Shariff, 42, pula cedera di perut.

Katanya, dua lagi anak pasangan berkenaan, Miszara Husna, 6, dan Miszara Halisya, 5, turut cedera.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, lima sekeluarga yang menaiki kereta jenis Proton Saga itu dalam perjalanan dari arah Jerantut menghala ke arah Temerloh.

Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian berhampiran jambatan Kuala Krau, kereta dinaiki dipercayai hilang kawalan ekoran keadaan laluan yang licin lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan di tengah laluan.

“Akibat kejadian, kenderaan berkenaan remuk pada bahagian hadapan menyebabkan pemandu dan penumpang tersepit dan mengalami kecederaan,” katanya.

Menurut Kamarulzaman, bayi berkenaan yang berada dalam pangkuan ibunya di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.

Ujarnya, mayat mangsa serta semua yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat.

Tambah beliau, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here