SEORANG operator sebuah kilang di kawasan Perindustrian Lipat Kajang di Jasin, maut dihempap kotak berisi kaca seberat 5.6 tan ketika sedang bekerja hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Mispani Hamdan berkata mangsa, Muhammad Umar Mohd Shahid, 23, disahkan meninggal dunia selepas cedera parah di seluruh anggota badan dalam kejadian kira-kira 7.10 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja mengikat kotak kaca di dalam sebuah kontena di kilang tersebut.

“Mangsa yang sedang menjalankan kerja-kerja berkenaan dikatakan terlanggar kayu penahan di dalam kontena menyebabkan kotak kaca itu menghempapnya sehingga patah kedua-dua kaki, tengkuk serta cedera pada beberapa anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mispani berkata mayat lelaki yang masih bujang berasal dari Tangkak, Johor itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat.

“Proses bedah siasat sedang dijalankan dan pengecaman mangsa juga sudah dibuat oleh bapanya dan siasatan lanjut masih diteruskan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here