Category: Kemalangan / Bencana

  • 3 keluarga Orang Asli tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran

    3 keluarga Orang Asli tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran

    NASIB malang menimpa ke atas tiga keluarga Orang Asli apabila terpaksa tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kayu didiami mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Galang, Pos Hau, Gua Musang petang semalam.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor, kejadian pada pukul 6 petang itu mengakibatkan dua rumah musnah 100 peratus, manakala sebuah lagi 25 peratus.

    Katanya, seramai sembilan anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 6.36 petang.

    Beliau berkata, pihaknya berjaya mengawal kebakaran tersebut pada pukul 8.45 malam.

    “Kejadian kebakaran ini tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dan kita menyiasat punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurut Mohd. Arifuddin, anggotanya mengalami sedikit kesukaran ke lokasi kejadian berikutan perlu melalui jalan balak dan ladang sebelum tiba di kawasan berkenaan dengan mengambil masa satu jam setengah.

    Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gua Musang, Azman Ngadiron ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah menyalurkan bantuan segera kepada kepada mangsa terbabit.

  • Kanak-kanak hilang disambar buaya

    Kanak-kanak hilang disambar buaya

    SEORANG kanak-kanak lelaki hilang diserang buaya dalam kejadian terkini di Kampung Nyabut, Telaga Air, Kuching pukul 8.30 pagi tadi.

    Mohamad Adammi Mokhtar, 7, sebelum itu sedang duduk bersama-sama nenek dan kakaknya di tebing sungai berkenaan sambil mengambil air.

    Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, bagaimanapun secara tiba-tiba, muncul seekor buaya lalu menyambar kanak-kanak berkenaan dan mengheretnya ke dasar sungai.

    “Sebaik menerima laporan kejadian sekitar pukul 9.30 pagi tadi, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah diatur gerak ke lokasi.

    “Setiba di lokasi, dengan kekuatan lima anggota, pasukan ini segera mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Bomba katanya lagi, turut menghubungi pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bagi mendapatkan bantuan pasukan elit pemburu buaya SWAT SFC.

    Ini merupakan kes kedua melibatkan serangan buaya di Sarawak dalam tempoh tiga hari, dengan kes yang pertama berlaku di Kampung Kangka, Sempadi, kira-kira 30 minit perjalanan dari Telaga Air.

  • Mangsa kedua yang hilang dihanyutkan kepala air ditemukan mayatnya

    Mangsa kedua yang hilang dihanyutkan kepala air ditemukan mayatnya

    OPERASI mencari dan menyelamat menemukan mayat kedua pendaki wanita yang hilang dihanyutkan kepala air ketika mendaki Gunung Suku Simpang Pulai, Ipoh, Ahad lalu ditemukan pukul 11.20 pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhammad Shahrizal Aris berkata, mayat yang cukup anggota badan itu ditemukan Unit Pengesan K9 di kawasan terowong berhampiran jalan besar.

    Jelasnya, mayat ditemukan di bawah timbunan tanah dan batu di lokasi Sektor C kawasan terowong berhampiran jalan besar dan seterusnya kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan di lokasi berkenaan.

    “Anggota badan mayat lengkap cuma ada kecederaan di badan dan kepala. Pada pukul 11.55 pagi mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, operasi pencarian hari ketujuh itu diteruskan sejak pukul 9 pagi dengan kekuatan anggota penyelamat seramai 43 orang dari pelbagai agensi.

    Muhammad Shahrizal berkata, operasi pencarian tamat sepenuhnya pada pukul 1 tengah hari tadi.

    Ahad lalu, Dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, dihanyutkan kepala air ketika mendaki gunung berkenaan kira-kira 5 pagi.

    Dalam kejadian itu, sekumpulan 29 pendaki gunung mendengar bunyi air dan tanah runtuh dari atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

    Namun, ketika dalam perjalanan kepala air menimpa kumpulan pendaki itu dan dua wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras.

    Sebelum ini media melaporkan, pasukan penyelamatan menemukan sebelah kaki mangsa dan kemudian turut menemukan bahagian badan dipercayai milik seorang daripada pendaki terbabit.

    Media kemudiannya turut melaporkan menemui beberapa cebisan pakaian mangsa selain turut menemukan lagi cebisan anggota badan dipercayai mangsa dua pendaki pada hari sama.

  • Pemandu lori maut dihempap pokok tumbang

    Pemandu lori maut dihempap pokok tumbang

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG pemandu lori maut dihempap sebatang pokok yang tumbang dan menimpa bumbung kenderaan dinaikinya di Jalan Sri Wangi 1/5, Kawasan Perindustrian Desa Plentong, Johor Bahru.

    Kejadian pada pukul 2.52 petang itu berlaku semasa hujan dan mangsa sedang memandu lori berkenaan ketika melintasi tempat kejadian.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Sufian Mohd. Lis berkata, mangsa yang meninggal dunia ialah R. Nasarudin Abd. Kadir yang berusia 40-an.

    “Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian dan mendapati sebuah lori jenis Daihatsu tiga tan telah dihempap sebatang pokok pada ketinggian 20 kaki.

    Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meningal dunia

    “Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa tersepit di tempat duduk pemandu. PKO bertindak memotong pokok menggunakan satu unit ‘chainsaw’ dan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.

    Sebuah jentera FRT dan satu jentera EMRS dari BBP Johor Jaya dengan kekuatan keseluruhan seramai 11 anggota dihantar ke tempat kejadian.

    Sufian berkata, PKO yang berjaya mengeluarkan pemandu berkenaan menyerahkan mangsa kepada pihak Kementerian Kesihatan.

    “Pihak Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Si mati dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk proses bedah siasat,” katanya.

  • Suami isteri dikhuatiri lemas di Pantai Penunjuk Kijal

    Suami isteri dikhuatiri lemas di Pantai Penunjuk Kijal

    KEGIRANGAN sepasang suami isteri yang mandi laut di Pantai Penunjuk Kijal, Kemaman berakhir tragedi apabila kedua-duanya dikhuatiri lemas awal pagi tadi.

    Mangsa, Ahmad Qarib Ab.. Kadir, 60, dan isterinya, Rokiah Abd Rahman, 59, dipercayai lemas dan dihanyutkan arus ketika sedang mandi di lokasi tersebut pada pukul 4 pagi.

    Pasangan itu yang berasal dari Temerloh, Pahang dikatakan bercuti ke pantai berkenaan bersama empat anaknya.

    Mereka dikatakan mandi di pantai itu pada jarak 40 meter dari tempat penginapannya.

    Pada pukul 5 pagi, anak mangsa yang ke pantai itu mendapati kedua-dua ibu bapa mereka tiada di situ lalu bertindak menghubungi pihak berkuasa, lapor Harian Metro.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kijal Mohamad Adri Mat Harun, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.43 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, anak mangsa yang menyedari kedua ibu bapanya hilang cuba mencari di sekitar kawasan pantai namun gagal menemuinya.

    Justeru katanya, operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa membabitkan seramai 61 anggota bomba, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung segera digerakkan.

    “Pencarian dilakukan membabitkan radius keluasan 500 meter persegi dengan menggunakan bot bomba, polis dan nelayan tempatan,” katanya.

    Menurut Mohamad Adri, sehingga kini kedua-dua mangsa yang beralamat di Madrasah Ad Diniah, Kampung Pangsenam, Temerloh masih belum ditemui.

  • [VIDEO] Kaki budak 11 tahun tertusuk tongkat basikal

    [VIDEO] Kaki budak 11 tahun tertusuk tongkat basikal

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG kanak-kanak lelaki cedera apabila tongkat sebuah basikal, tertusuk ke kakinya di Taman Mawar, Alor Setar pagi tadi.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.54 pagi.

    “Sebaik tiba di lokasi, didapati kaki kanak-kanak tersebut yang berusia 11 tahun, tertusuk tongkat basikal yang dibuat daripada besi.

    “Pihak bomba kemudian memotong tongkat basikal itu menggunakan peralatan khas sebelum kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya hari ini.

    Sementara itu menerusi gambar dan klip video yang tersebar di media sosial, tongkat besi berkenaan dilihat masih berada di kaki kanak-kanak itu semasa dibawa ke hospital.

  • Kepala mangsa serangan buaya ditemui hanyut

    Kepala mangsa serangan buaya ditemui hanyut

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) jasad seorang lelaki yang hilang di Sungai Kampung Kangka, Lundu dipercayai dibaham buaya, selepas kepalanya ditemukan semalam, diteruskan pukul 8 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Lundu, Deputi Superitendan Damataries Lautin berkata, mangsa, Sebarang Bingkok, 56, dilaporkan hilang sejak pukul 3 petang semalam dan dua jam selepas itu keluarganya menemui bahagian kepala mangsa yang hanyut dibawa arus.

    “Mangsa dipercayai telah dibaham buaya, laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh ahli keluarga mangsa.

    “Bahagian kepala yang ditemui ahli keluarga mangsa, telah dihantar ke Hospital Lundu untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini, lapor Utusan Borneo.

    Katanya, operasi SAR tersebut turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Sarawak Forestry Corporation.

    Sementara itu Damataries turut menasihatkan penduduk di sekitar kawasan kejadian untuk lebih berhati-hati.

    “Terutamanya penduduk yang selalu ke sungai, kita nasihatkan agar selalu berhati-hati semasa menjalankan rutin harian,” ujarnya.

  • Ban pecah: 30 rumah di Mukim Sungai Durian terjejas

    Ban pecah: 30 rumah di Mukim Sungai Durian terjejas

    LEBIH 30 buah rumah di samping pelbagai premis lain dan kebun penduduk di Kampung Sungai Durian dan Kampung Selat Masjid selepas enam ban pecah akibat air pasang besar luar biasa di Mukim Sungai Durian, Hilir Perak, Pasir Salak, sejak Ahad lalu.

    Dua daripada enam ban berkenaan mengalami kerosakan yang kritikal dan memerlukan pembaikan segera.

    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Wan Norashikin Wan Noordin, antara enam itu dua adalah dalam keadaan kritikal kerana satu berhampiran rumah penduduk dan yang satu lagi di belakang Tadika Kemas dan juga masjid di Kampung Sungai Durian.

    “Jadi dua itu saya rasa merupakan satu kecemasan yang telah saya bincang bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah bersetujulah untuk membaiki dua itu dulu.

    “Semalam saya telah berjumpa dengan Pengarah JPS dan Timbalan Pengarah membawa masalah yang sama dan insyaAllah mereka juga akan mencari bajet untuk membaiki kerosakan di tempat yang empat lagi itu,” katanya menurut laporan Astro Awani, hari ini.

    Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Khidmat DUN Kampung Gajah, semalam.

    Wan Norashikin yang juga Exco kerajaan negeri Perak berkata, kos untuk baik pulih dua ban yang kritikal adalah antara RM200,000 hingga RM300,000 manakala lebih RM700,000 untuk membaiki empat ban lagi.

    Katanya, ketika ini air pasang mula surut dan dijangka naik semula menjelang Ahad ini.

    Menurutnya, kerja-kerja baik pulih dua ban yang kritikal pula dijangka hanya dapat dimulakan dalam masa 10 hari apabila air benar-benar surut.

    Bagaimanapun, setakat ini belum ada keluarga yang dipindahkan tetapi banjir kira-kira 0.3 meter itu menjejaskan aktiviti harian penduduk, termasuk pelajar.

  • 2 pelatih lelaki PUSPEN Raub mati lemas

    2 pelatih lelaki PUSPEN Raub mati lemas

    DUA pelatih lelaki Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) ditemukan lemas ketika mandi tasik di pusat pemulihan itu yang terletak di Kampung Kundang Patah, Raub hari ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa pertama berusia 43 tahun ditemukan pada kedalaman 10 meter pada 4 petang tadi, manakala mangsa kedua 37 tahun ditemukan empat minit kemudian pada kedalaman lapan meter.

    “Pasukan bomba telah melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan melakukan pencarian di permukaan air dan menggunakan peralatan grappling iron,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.04 petang, sebelum tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub digerakan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi lebih sejam itu. – BERNAMA

  • Treler bawa 20 tan tepung terbalik, pemandu maut

    Treler bawa 20 tan tepung terbalik, pemandu maut

    SEORANG pemandu treler maut manakala kelindannya cedera selepas treler muatan tepung seberat 20 tan terbalik ke bahu jalan di KM 24 Bukit Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pagi ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata dalam kejadian pada 7.38 pagi itu, pemandu treler Adzri Mat, 43 maut di tempat kejadian manakala kelindannya Mohd Nazran Hakim, 20, cedera akibat tersepit.

    “Anggota bomba menggunakan rescue tool dan power unit untuk mengeluarkan mangsa dan kelindan yang tersepit. Treler itu dalam perjalanan membawa muatan tepung dari Gerik ke Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan serta polis untuk tindakan selanjutnya dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Gerik. – BERNAMA