Oleh RAHIMI MOHAMAD

SEORANG pemandu lori maut dihempap sebatang pokok yang tumbang dan menimpa bumbung kenderaan dinaikinya di Jalan Sri Wangi 1/5, Kawasan Perindustrian Desa Plentong, Johor Bahru.

Kejadian pada pukul 2.52 petang itu berlaku semasa hujan dan mangsa sedang memandu lori berkenaan ketika melintasi tempat kejadian.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Sufian Mohd. Lis berkata, mangsa yang meninggal dunia ialah R. Nasarudin Abd. Kadir yang berusia 40-an.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian dan mendapati sebuah lori jenis Daihatsu tiga tan telah dihempap sebatang pokok pada ketinggian 20 kaki.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meningal dunia

“Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa tersepit di tempat duduk pemandu. PKO bertindak memotong pokok menggunakan satu unit ‘chainsaw’ dan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.

Sebuah jentera FRT dan satu jentera EMRS dari BBP Johor Jaya dengan kekuatan keseluruhan seramai 11 anggota dihantar ke tempat kejadian.

Sufian berkata, PKO yang berjaya mengeluarkan pemandu berkenaan menyerahkan mangsa kepada pihak Kementerian Kesihatan.

“Pihak Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Si mati dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk proses bedah siasat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here