KEGIRANGAN sepasang suami isteri yang mandi laut di Pantai Penunjuk Kijal, Kemaman berakhir tragedi apabila kedua-duanya dikhuatiri lemas awal pagi tadi.

Mangsa, Ahmad Qarib Ab.. Kadir, 60, dan isterinya, Rokiah Abd Rahman, 59, dipercayai lemas dan dihanyutkan arus ketika sedang mandi di lokasi tersebut pada pukul 4 pagi.

Pasangan itu yang berasal dari Temerloh, Pahang dikatakan bercuti ke pantai berkenaan bersama empat anaknya.

Mereka dikatakan mandi di pantai itu pada jarak 40 meter dari tempat penginapannya.

Pada pukul 5 pagi, anak mangsa yang ke pantai itu mendapati kedua-dua ibu bapa mereka tiada di situ lalu bertindak menghubungi pihak berkuasa, lapor Harian Metro.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kijal Mohamad Adri Mat Harun, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.43 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, anak mangsa yang menyedari kedua ibu bapanya hilang cuba mencari di sekitar kawasan pantai namun gagal menemuinya.

Justeru katanya, operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa membabitkan seramai 61 anggota bomba, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung segera digerakkan.

“Pencarian dilakukan membabitkan radius keluasan 500 meter persegi dengan menggunakan bot bomba, polis dan nelayan tempatan,” katanya.

Menurut Mohamad Adri, sehingga kini kedua-dua mangsa yang beralamat di Madrasah Ad Diniah, Kampung Pangsenam, Temerloh masih belum ditemui.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here