Category: Jenayah

  • 33 maut selepas trak bahan api bertembung bas di Congo

    33 maut selepas trak bahan api bertembung bas di Congo

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    Seramai 33 orang maut selepas sebuah trak membawa muatan bahan api bertembung dengan bas sesak dengan penumpang di Republik Demokratik Congo pada hujung minggu lalu.

    Polis tempatan, kapten Antoine Pululu berkata, pertembungan dua kenderaan itu mencetuskan kebakaran yang mengorbankan mangsa pada malam Sabtu lalu di bahagian barat Congo.

    Seorang lagi sumber polis memberitahu, beberapa mayat rentung dalam kebakaran terbabit dan semua mayat yang ditemukan sudah dikebumikan semalam.

    Kebakaran itu berlaku berhampiran kampung Kibuba di sepanjang Laluan Nasional 1, kira-kira 80 kilometer (km) dari Kinshasa. – AFP

  • Dua wanita tokan dadah ditahan

    Dua wanita tokan dadah ditahan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    POLIS menahan dua wanita yang aktif mengedar dadah selepas menyerbu sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

    Serbuan pada pukul 7.50 pagi dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields itu turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM43,750.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, turut dirampas 1,480 paket plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat tiga kilogram serta 250 paket plastik berisi ganja (0.3 kg) selain wang tunai RM250.

    Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek berusia 31 dan 35 tahun mempunyai rekod dadah serta jenayah positif ganja.

    “Jumlah keseluruhan dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 1,730 pengguna dan pasaran dadah itu fokus di kawasan Lembah Klang.

    “Seorang suspek disyaki terbabit aktiviti itu sejak setahun lalu, manakala seorang lagi kira-kira 10 tahun lalu. Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket lain dan sumber bekalan diperoleh.

    “Hasil tangkapan itu, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, suspek direman selama enam hari hingga Jumaat ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • 49.98 tan pasir kucing dari China dirampas

    49.98 tan pasir kucing dari China dirampas

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    CUBAAN syarikat pengimport membawa masuk 49.98 tan pasir kucing tanpa permit import sah dianggarkan bernilai RM39,406.13 gagal dalam pemeriksaan dua kontena di Pelabuhan Kuantan, semalam.

    Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam satu kenyataan memberitahu, barang dagangan dipercayai dari China itu kini ditahan untuk tindakan lanjut kerana tiada permit import sah ketika pemeriksaan rutin dijalankan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang sabit kesalahan boleh

    didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

    “Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya

    sekali,” jelas kenyataan tersebut, hari ini.

  • Tukang rumah rugi diperdaya pelaburan tak wujud

    Tukang rumah rugi diperdaya pelaburan tak wujud

    GARA-GARA terperdaya dengan syarikat pelaburan dikenali, seorang tukang rumah mengalami kerugian sejumlah RM3,051 apabila pelaburan dijanjikan itu sebenarnya tidak wujud.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, lelaki berusia 58 tahun itu mula berkenalan dengan suspek menerusi laman sosial Facebook yang menawarkan satu pelaburan dengan menjanjikan pulangan ‘tidak masuk akal’ pada 18 Julai lalu.

    Menurut beliau, selepas berminat dengan tawaran tersebut, mangsa dari Seberang Takir, Kuala Nerus terus berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp sebelum dinyatakan beberapa syarat yang perlu dipatuhi sekiranya mahu meneruskan pelaburan berkenaan.

    Beliau berkata, tertarik dengan tawaran dan syarat dinyatakan, mangsa tanpa berfikir panjang terus bersetuju sebelum membuat pembayaran pertama berjumlah RM500 ke dalam akaun bank diberikan suspek pada 15 Julai.

    “Mangsa sekali lagi diminta membuat pembayaran kedua berjumlah RM961 ke dalam akaun bank diberikan suspek pada hari sama.

    “Kemudian, suspek meminta mangsa memasukkan lagi RM1,590 ke dalam akaun diberikan sebelum mangsa berbuat demikian pada 26 Julai lalu,” katanya lapor Sinar Harian.

    M.Zambri berkata, pada keesokan harinya (27 Julai), mangsa sekali lagi menerima satu pesanan WhatsApp daripada suspek yang meminta RM2,550.

    “Ketika itu, suspek menjanjikan mangsa akan memperoleh keuntungan RM26,000 serta-merta dan keuntungan itu akan terus dimasukkan ke dalam akaunnya sejurus pembayaran dibuat.

    “Mangsa mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan mengambil keputusan tidak berbuat demikian seperti diarahkan,” katanya.

    Beliau berkata, mangsa yang percaya ditipu dalam pelaburan itu membuat laporan di balai polis Gong Badak, Kuala Nerus pada 27 Julai lalu.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

    Dalam pada itu, M Zambri turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan bagi mengelakkan penipuan dan kerugian

  • Tongkang rempuh bot maritim, 19 PATI nyaris lemas

    Tongkang rempuh bot maritim, 19 PATI nyaris lemas

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SERAMAI 19 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) nyaris lemas apabila tongkang dinaiki mereka merempuh bot pihak maritim pada kedudukan 2.5 batu nautika barat Sungai Serdang Besar, Kapar, Klang, semalam.

    Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, semua PATI berusia 20 hingga 45 tahun sedang menyusup keluar dari perairan negara menuju ke Indonesia dengan tongkang kayu tersebut.

    Pengarah Maritim Selangor, Kepten Mohd. Rosli Kassim berkata, Bot Penggalang 41 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan tongkang yang bergerak tanpa sebarang lampu itu ketika rondaan bersepadu Op Benteng Laut dan Op Ehsan.

    Menurutnya, tekong tongkang itu bagaimanapun bertindak agresif dan merempuh bot tersebut bagi meloloskan diri.

    “Rempuhan kemudian mengakibatkan tongkang berkenaan karam dan semua 19 penumpang termasuk tekong jatuh ke laut sehingga nyaris lemas.

    “Mereka bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota Penggalang 41 dengan bantuan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Polis serbu rumah proses, simpan arak tiruan

    Polis serbu rumah proses, simpan arak tiruan

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Utara menyerbu sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses dan penyimpanan arak tiruan di Taman Ungku Aminah, Skudai di sini semalam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan di rumah dua tingkat itu dilakukan pada pukul 8.10 pagi.

    “Hasil serbuan berjaya menangkap dua warga tempatan yang berusia 27 dan 41 tahun yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan minuman keras dipercayai arak tiruan dan tidak bercukai.

    “Turut ditahan empat lelaki warganegara asing berusia lingkungan 29 hingga 37 tahun yang dipercayai bekerja dalam premis tersebut manakala ‘mastermind’ belum ditangkap,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejbat Kontinjen Johor (IPK) di sini hari ini.

    Katanya, antara barang yang dirampas 20 tong biru cecair pati arak 4,000 atau 40 peratus berisi alkohol; 16 kotak jenama Mcdowells 142.08 liter (40 peratus); lapan kotak jenama Chivas Regal 96 liter (40 peratus).

    Turut dirampas 30 kotak jenama King Robert 390 liter (43 peratus); 12 kotak jenama Johnnie Walker Red Label 144 liter (40 peratus) dan lima kotak jenama Johnnie Walker Black Label 60 liter (40 peratus).

    Beliau memberitahu, jumlah nilai arak sahaja RM2.143 juta, nilai cukai arak RM870,462 manakala keseluruhan nilai rampasan RM3.149 juta.

    Jelasnya, mereka menjadikan rumah sebagai tempat memproses minuman keras tidak bercukai yang diedarkan pasaran tempatan.

    Siasatan katanya, dijalankan di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 iaitu kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat minuman keras.

  • Lelaki cedera dihempap pokok tumbang ketika kebumikan jenazah bayinya

    Lelaki cedera dihempap pokok tumbang ketika kebumikan jenazah bayinya

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG lelaki yang sedang menguruskan menguruskan pengebumian bayinya cedera dihempap sebatang pokok tumbang di Tanah Perkuburan Islam Parit 1, Chenderong Balai, Teluk Intan, malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 8.41 malam semasa manga, 40, sedang menguruskan pengebumian bayinya yang meninggal dunia selepas dilahirkan pramatang.

    Katanya, setibanya di lokasi, didapati seorang lelaki, 40, terbaring setelah cedera di bahagian pinggul akibat dihempap pokok kelapa sawit.

    “Lelaki itu diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

    “Siasatan mendapati, pokok kelapa sawit yang telah reput itu tumbang akibat dibakar sebelum menghempap mangsa di bahagian pinggul,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Menurut beliau, kejadian tersebut tidak melibatkan mangsa lain dan difahamkan bayinya dilahirkan pramatang.

    “Seramai sembilan anggota dari BBP Teluk Intan dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian. Operasi tamat pada pukul 9.17 malam,” katanya.

  • [VIDEO] Polis kesan pemandu lori simen terlibat langgar lari

    [VIDEO] Polis kesan pemandu lori simen terlibat langgar lari

    POLIS merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian langgar lari membabitkan sebuah lori simen dan sebuah motosikal di Jalan Tasek Gelugor, Seberang Perai Selasa lalu tampil membuat laporan.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya kini sedang mengesan lori simen terbabit yang melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan maut kira-kira pukul 6 petang itu.

    Ujarnya, mangsa yang juga penunggang motosikal, Zakaria Othman, 74, cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia malam tadi iaitu enam hari selepas kejadian di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

    Jelasnya, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari arah Tasek Gelugor ke Pekan Darat.

    Ketika tiba di lokasi kejadian tambah beliau, motosikal mangsa secara tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh lori simen berkenaan sehingga mangsa mengalami kecederaan parah pada seluruh bahagian badan.

    “Namun pemandu lori simen itu tidak berhenti selepas kemalangan sebaliknya terus melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 018-2881 424 atau di mana-mana balai polis berhampiran.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Gengsterisme Ipoh: Polis tubuh pasukan khas

    Gengsterisme Ipoh: Polis tubuh pasukan khas

    Oleh: Bernama

    POLIS menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kegiatan gengsterisme di bandar raya ini seperti didakwa seorang pengguna laman Facebook, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pasukan itu ditubuhkan bagi mengesahkan kesahihan maklumat yang tular mengenai aktiviti tersebut, yang dikongsi pengguna Facebook bernama Meganathan Nathan itu dan telah mendapat perhatian umum.

    “Polis memandang serius tentang aduan ini dan mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat dalam perkara ini.

    “Namun orang awam dinasihati agar tidak mendedahkan identiti peribadi dan membuat aduan sulit melalui kaedah tular di media sosial bagi tujuan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut mengingatkan orang awam supaya mengemukakan sebarang aduan atau maklumat melalui saluran yang betul dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-254 2222 atau e-mel kepada Ketua Polis Daerah Ipoh di [email protected].

    Katanya maklumat mengenai kegiatan jenayah di bandar raya itu juga boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh melalui e-mel [email protected].

    Terdahulu, tular aduan seorang pengguna Facebook dengan mendakwa terdapat kegiatan kumpulan kongsi gelap di Ipoh yang melibatkan golongan remaja dikenali sebagai Thilai Geng 04.

    Kumpulan itu dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan kegiatan jenayah terancang selain turut didakwa cuba mempengaruhi remaja lain di kawasan sekitar untuk menyertai mereka. -BERNAMA

  • Perhimpunan# Keluar dan #Lawan: 29 individu dikenalpasti, 20 laporan polis diterima – KPN

    Perhimpunan# Keluar dan #Lawan: 29 individu dikenalpasti, 20 laporan polis diterima – KPN

    SEBANYAK 29 individu yang terlibat dalam perhimpunan# Keluar dan #Lawan di ibu negara semalam telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

    Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti beberapa individu lain melalui rakaman video dan gambar.

    Menurutnya, kesemua individu yang terlibat diminta memberikan kerjasama dalam siasatan penganjuran perhimpunan berkenaan.

    “Selain itu, polis juga menerima lebih 20 laporan polis berhubung perhimpunan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu Acryl Sani berkata, penganjur dan peserta perhimpunan terbabit dengan jelas melanggar syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 yang sedang berkuat kuasa.

    “Polis sebelum ini telah beberapa kali memberi peringatan supaya semua pihak mematuhi SOP PPN demi keselamatan orang ramai,” katanya.

    Acryl Sani menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang sengaja melanggar SOP.

    “Sikap penganjur dan peserta yang berdegil untuk mengadakan perhimpunan walaupun telah diberikan nasihat agar mengutamakan keselamatan kesihatan merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab terutama dalam situasi penularan wabak Covid-19 ini.

    “Polis telah memulakan siasatan ke atas penganjur dan peserta perhimpunan berkenaan di bawah peruntukan Akta 342 dan akta-akta lain yang relevan,” katanya.