PASUKAN Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Utara menyerbu sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses dan penyimpanan arak tiruan di Taman Ungku Aminah, Skudai di sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan di rumah dua tingkat itu dilakukan pada pukul 8.10 pagi.

“Hasil serbuan berjaya menangkap dua warga tempatan yang berusia 27 dan 41 tahun yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan minuman keras dipercayai arak tiruan dan tidak bercukai.

“Turut ditahan empat lelaki warganegara asing berusia lingkungan 29 hingga 37 tahun yang dipercayai bekerja dalam premis tersebut manakala ‘mastermind’ belum ditangkap,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejbat Kontinjen Johor (IPK) di sini hari ini.

Katanya, antara barang yang dirampas 20 tong biru cecair pati arak 4,000 atau 40 peratus berisi alkohol; 16 kotak jenama Mcdowells 142.08 liter (40 peratus); lapan kotak jenama Chivas Regal 96 liter (40 peratus).

Turut dirampas 30 kotak jenama King Robert 390 liter (43 peratus); 12 kotak jenama Johnnie Walker Red Label 144 liter (40 peratus) dan lima kotak jenama Johnnie Walker Black Label 60 liter (40 peratus).

Beliau memberitahu, jumlah nilai arak sahaja RM2.143 juta, nilai cukai arak RM870,462 manakala keseluruhan nilai rampasan RM3.149 juta.

Jelasnya, mereka menjadikan rumah sebagai tempat memproses minuman keras tidak bercukai yang diedarkan pasaran tempatan.

Siasatan katanya, dijalankan di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 iaitu kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat minuman keras.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here