Oleh Abu Ubaidillah Rahman

POLIS menahan dua wanita yang aktif mengedar dadah selepas menyerbu sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Serbuan pada pukul 7.50 pagi dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields itu turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM43,750.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, turut dirampas 1,480 paket plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat tiga kilogram serta 250 paket plastik berisi ganja (0.3 kg) selain wang tunai RM250.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek berusia 31 dan 35 tahun mempunyai rekod dadah serta jenayah positif ganja.

“Jumlah keseluruhan dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 1,730 pengguna dan pasaran dadah itu fokus di kawasan Lembah Klang.

“Seorang suspek disyaki terbabit aktiviti itu sejak setahun lalu, manakala seorang lagi kira-kira 10 tahun lalu. Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket lain dan sumber bekalan diperoleh.

“Hasil tangkapan itu, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek direman selama enam hari hingga Jumaat ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here