Category: Jenayah

  • Dua lelaki ditahan miliki heroin,syabu

    Dua lelaki ditahan miliki heroin,syabu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis menahan dua lelaki dan merampas dua jenis dadah jenis heroin serta syabu seberat hampir satu kilogram, dalam dua serbuan berbeza dijalankan di Alor Setar, kelmarin.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, ACP Mohd. Taufik Maidin berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 11.30 pagi, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tengah.

    Hasil pemeriksaan dalam bilik di rumah tersebut menemukan sebungkus plastik hitam yang di dalamnya terdapat dua plastik hijau dengan setiap satu mengandungi sepeket plastik cerah berisi ketulan putih, dipercayai dadah jenis heroin.

    “Anggaran berat keseluruhan dadah dalam kedua-dua peket plastik cerah tersebut dianggarkan 912 gram. Nilai dadah itu dianggarkan sebanyak RM12,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Mohd. Taufik menambah, polis kemudiannya melaksanakan satu lagi serbuan pada pukul 12 tengah malam di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Sungai Korok, Alor Setar.

    “Seorang lagi lelaki tempatan ditahan di rumah tersebut dengan pemeriksaan dalam bilik turut menemukan uncang kain berwarna hitam. Di dalam uncang tersebut, terdapat 10 peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 11.5 gram bernilai RM800,” katanya.

    Tambahnya, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM1,742 hasil serbun dijalankan itu.

    “Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Perkenal undang-undang khusus bagi penjawat awam terlibat rasuah

    Perkenal undang-undang khusus bagi penjawat awam terlibat rasuah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SATU undang-undang khusus termasuk hukuman kepada penjawat awam bagi mengekang budaya rasuah di negara ini perlu diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ini termasuk pendekatan baharu yang lebih dinamik perlu dilaksanakan Jabatan Audit Negara (JAN) melibatkan isu audit prestasi, selain melaksanakan audit rutin berkala.

    Beliau berkata, pihak JAN perlu lebih proaktif dengan penilaian lebih mendalam terhadap sistem kawalan dalaman institusi tersebut bagi setiap agensi, jabatan atau anak syarikat.

    “Kaedah pusingan audit juga perlu diberikan perhatian terhadap dapatan audit yang lepas tertumpu kepada ‘hotspots’ yang pernah dikesan.

    “JAN perlu lebih peka dengan meningkatkan strategi audit dan mewujudkan pendekatan atau program lebih berkesan bagi membanteras tadbir urus yang buruk dan perlakuan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Jais, rekod SPRM membuka kertas siasatan tetap menjadi antara yang terpenting.

    “Rekod ini akan disemak setiap kali penjawat awam tersebut dinaikkan pangkat atau memohon sesuatu anugerah.

    “Walaupun hanya tindakan tatatertib tetapi ia cukup untuk memberi pengajaran kepada pelaku kesalahan tersebut,” katanya.

    Pada masa sama, beliau berkata, berdasarkan perspektif lain, SPRM perlu meneliti semula peruntukan dan mengatasi isu-isu teknikal yang berlaku.

    “Kita tidak mahu setelah banyak masa, tenaga, usaha dan bilangan pegawai SPRM yang ramai digunakan, namun keefektifan dan produktiviti dalam menguatkuasakan peruntukan sedia ada dipersoalkan umum.

    “Jika ia adalah kesalahan di bawah Akta SPRM, maka akta ini perlu diperkemaskan segera dengan peruntukan yang lebih relevan.

    “Jika tiada peruntukan di bawah Akta SPRM, perlulah dilihat di bawah undang-undang jenayah Kanun Keseksaan yang berkemungkinan ada keterangan menunjukkan berlaku kesalahan seperti pecah amanah, penipuan, pemalsuan dan di bawah kesalahan penjawat awam dan peraturan lain, tegasnya.

  • Mayat bayi perempuan ditemui di dalam longkang

    Mayat bayi perempuan ditemui di dalam longkang

    MAYAT bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui di dalam longkang berhampiran sebuah kebun durian di Mukim 6, Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang semalam.

    Mayat itu dijumpai polis kira-kira pukul 2.30 petang selepas seorang doktor membuat laporan mendakwa menerima pesakit warga asing dipercayai menyembunyikan kelahiran.

    Penemuan mayat bayi itu terbongkar selepas pegawai perubatan menemui uri di dalam rahim wanita berusia 35 tahun tersebut semasa melakukan pemeriksaan.

    Bagaimanapun, wanita berkenaan yang bekerja sebagai penjaga warga emas enggan memberikan kerjasama ketika ditanya mengenai kelahiran bayinya.

    Difahamkan, suspek sebelum itu dimasukkan ke hospital di sini selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah oleh majikannya petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan awal mendapati suspek melahirkan bayi itu dalam keadaan tidak bernyawa di dalam bilik tidurnya sebelum bertindak membuang bayi itu di dalam longkang berdekatan rumah tempat dia bekerja.

    Jelasnya, suspek mendakwa mahu mengebumikan mayat bayi tersebut namun bayi itu tercampak ke dalam longkang selepas dia hampir pitam ketika tiba di lokasi kejadian.

    “Suspek mendakwa sempat kembali semula ke rumah majikannya yang berusia 54 tahun sebelum dia pengsan di bahagian dapur,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut Kamarul Rizal, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku mengandung hasil hubungan dengan seorang pekerja kebun berdekatan tempat dia bekerja.

    Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

  • Terbabit parti liar, 15 termasuk penjawat awam ditahan

    Terbabit parti liar, 15 termasuk penjawat awam ditahan

    SEBANYAK 15 individu termasuk seorang penjawat awam ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pesta liar dan pengambilan dadah di sebuah unit kondominium mewah dekat Jalan Ceylon, Kuala Lumpur, awal pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, operasi pada pukul 1 pagi itu dilakukan hasil aduan awam dan risikan yang mendakwa terdapat aktiviti hiburan di premis berkenaan.

    Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, seorang daripada yang ditahan itu merupakan penjawat awam manakala sembilan yang lain terdiri daripada wanita.

    Katanya lagi, unit kondominium terbabit pula disewa dengan kadar RM600 semalam dan polis turut menemukan pelbagai peralatan audio dan juga kesan penggunaan dadah.

    “Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki dan lapan wanita positif dadah.

    “Kita akan mengeluarkan kompaun setiap seorang berjumlah RM4,000 dan keseluruhan nilai kompaun adalah sebanyak RM60,000,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohamad Zainal memberitahu, kesemua individu yang ditahan berusia antara 17 sehingga 45 tahun dan kesemuanya tinggal di kawasan sekitar Kuala Lumpur.

    Ujar beliau, semasa disoal siasat, mereka turut mengaku beberapa kali berkunjung ke rumah tersebut sebelum ini untuk berhibur.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 5(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021,” katanya,

    Beliau menambah, kesemua individu yang ditahan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya.

  • Bom perang dunia kedua ditemukan Felda Triang 1

    Bom perang dunia kedua ditemukan Felda Triang 1

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG peneroka menemukan sebutir bom dipercayai tinggalan daripada perang dunia kedua di kawasan ladang kelapa sawit di Felda Triang 1 di Bera pada Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Bera Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, bom itu dijumpai pada 3.30 petang oleh peneroka terbabit semasa membersihkan tanah di belakang rumahnya sebelum menghubungi polis.

    “Bom dipercayai jenis UXO Arial Bomb seberat 226 kilogram, sepanjang lebih kurang 36 inci (91.44 sentimeter) dengan 32 inci (81.28 sentimeter) ukur lilit itu dijumpai dalam keadaan separuh terkeluar dari tanah.

    “Mengikut perancangan, bom itu dijangka dimusnahkan esok di lokasi dijumpai kerana penilaian mendapati bom tersebut berisiko jika dialihkan,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

    Mansor berkata, cabaran untuk memusnahkan bom itu ialah kedudukannya yang terlampau dekat dengan rumah peneroka iaitu sekitar 100 meter menyebabkan penduduk tersebut terpaksa dipindahkan terlebih dahulu ke bangunan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berhampiran sebelum operasi memusnahkan bom dilakukan.

    Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom Bukit Aman juga tiba di lokasi kejadian hari ini bagi melakukan kerja persediaan memusnahkan bom.

  • Lelaki ditahan cuba sogok polis RM10,000

    Lelaki ditahan cuba sogok polis RM10,000

    Oleh: Bernama

    SEORANG lelaki ditahan selepas cuba menyogok wang tunai RM10,000 kepada pihak polis bagi membebaskan dua rakannya yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di hadapan sebuah hotel di Jinjang, di sini, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata suspek berusia 28 tahun sebelum itu telah pun diberikan amaran untuk tidak berbuat demikian, namun tidak mengendahkannya menyebabkan dia ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama bahan bukti.

    Lelaki itu ditahan pada 7.45 malam hari sama di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

    “Terdahulu, dua rakannya ditahan dalam serbuan pada 3.45 petang di hadapan sebuah hotel di Jinjang kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dan hasil pemeriksaan polis menemukan 10 paket plastik berisi bahan, disyaki dadah jenis ganja seberat 130.5 gram, dianggarkan bernilai RM13,000.

    “Ujian saringan air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek pertama positif dadah metaphetamine dan ganja selain mempunyai 25 rekod jenayah dan tujuh rekod jenayah berkaitan dadah, manakala suspek kedua negatif dan tidak memiliki rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beh berkata kedua-dua suspek direman selama tujuh hari hingga 10 Ogos depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.- BERNAMA

  • Jurukimpal ditemukan meninggal dunia dalam longkang

    Jurukimpal ditemukan meninggal dunia dalam longkang

    Oleh RAHIMI MOHAMMAD

    SEORANG lelaki yang sedang melakukan kerja-kerja mengimpal pada malam tadi ditemukan meninggal dunia dalam sebuah longkang di Jalan Kristal, Taman Kristal, Simpang Renggam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10.22 malam itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan mengenai penemuan mangsa di lokasi itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    Komander Operasi BBP Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Rahim Razali berkata, mangsa yang berusia 30-an sebelum itu sedang melakukan kerja di kawasan berhampiran.

    “Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri oleh rakan sekerjanya di dalam longkang berkenaan.

    “Satu jentera FRT dengan kekuatan tujuh anggota yang tiba di tempat kejadian terus bertindak memulakan operasi mengangkat mangsa dari longkang berkedalaman enam kaki,” katanya di sini hari ini.

    Abdul Rahim berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengangkat mangsa dengan menggunakan tangga dan pengusung sebelum dibawa naik dalam tempoh lima minit.

    Mangsa telah disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi melibatkan pasukan bomba ditamatkan pada pukul 11 malam.

  • Penduduk sempadan Sungai Golok dengar letupan Kuat

    Penduduk sempadan Sungai Golok dengar letupan Kuat

    INSIDEN serangan yang berlaku berhampiran Pos Tak Bai, Narathiwat, Thailand turut didengar oleh penduduk yang tinggal di Kampung Kubang Pak Itam, Pasir Mas, Kelantan.

    Malah,rata-rata penduduk yang tinggal di kawasan sempadan Sungai Golok tersebut mendakwa ada terdengar letupan dan dentuman tembakan yang sangat jelas, lapor Harian Metro.

    Seorang penduduk dikenali Omar, 42, mendakwa, letupan yang berlaku turut menggegarkan kediamannya yang terletakhanya
    beberapa meter dari Sungai Golok, sempadan Malaysia-Thailand.

    “Ketika itu saya sedang tidur, tiba-tiba terjaga kerana terkejut terdengar bunyi letupan kuat. Di sebelah Thailand memang biasa berlaku, tetapi dalam masa sama, saya khuatir kerana dapat merasakan kejadian terlalu dekat dengan rumah.

    “Sekitar pukul 4 pagi, kami dikejutkan lagi dengan bunyi helikopter yang menyuluh lampu di sepanjang sungai. Ia meresahkan kami sekeluarga yang tidak tahu punca sebenar apa yang berlaku.

    “Tambahan pula, sejak kebelakangan ini ada sahaja individu tidak dikenali berkeliaran di sekitar rumah, tidak pasti siapa mereka,” katanya ketika ditemui.

    Sebelum ini media melaporkan, anggota renjer maut dan empat lagi parah dalam satu serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah pos kawalan di Tak Bai, Narathiwat pada 2.20 pagi (waktu tempatan).

    Komander Tentera Bahagian Ke-4 Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak dilapor berkata, sekumpulan lelaki bersenjata melontar sekurang-kurangnya 10 butir bom paip, dan melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah pos kawalan yang menempatkan lapan anggota renjer bertugas.

    Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Jani Azmi, 41, yang tinggal di Kampung Jeram Perdah mengaku turut mendengar bunyi dentuman kuat pada awal pagi.

    “Apabila saya terbaca di media sosial, ada viral mengatakan berlaku letupan bom di kawasan sempadan yang jaraknya agak jauh juga dari kawasan saya.

    “Benar juga ada (bunyi dentuman) didengar pagi tadi. Maksudnya ia letupan sangat kuat,” katanya.

  • 9 lelaki bersenjata rampas MV Asphalt Princess, arah berlayar ke Iran

    9 lelaki bersenjata rampas MV Asphalt Princess, arah berlayar ke Iran

    MV Asphalt Princess dirampas di Teluk Oman, diarah berlayar ke Iran

    SEBUAH kapal yang berdaftar di Panama telah dirampas oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Teluk Oman, semalam dan diarahkan agar berlayar ke Iran, kata Lloyds List Maritime Intelligence.

    BBC melaporkan, kapal tangki bitumen MV Asphalt Princess itu sedang menghala ke laluan sesak di Selat Hormuz.

    Namun masih tidak jelas siapa yang merampas kapal itu tetapi penganalisis mendakwa ia didalangi tentera Iran.

    Pengawal Revolusi Iran pada masa sama menolak laporan tersebut sebagai dalih untuk “tindakan bermusuhan” terhadap Teheran.

    Kejadian itu berlaku kurang dari seminggu setelah sebuah kapal tangki minyak yang dikendalikan oleh sebuah syarikat milik Israel diserang sebuah dron di perairan Oman, membunuh dua pengawal keselamatan, seorang rakyat Britain dan seorang rakyat Romania.

    Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Israel menyalahkan Iran berhubung serangan itu, dakwaan yang dinafikan Teheran.

    Koresponden Keselamatan BBC, Frank Gardner berkata, MV Asphalt Princess dimiliki syarikat yang berpangkalan di Dubai yang mana satu kapalnya dirampas dua tahun lalu oleh pengawal revolusi Iran.

    Katanya, mengikut laporan, kira-kira sembilan lelaki bersenjata menaiki MV Asphalt Princess ketika ia menghampiri pintu masuk ke Selat Hormuz, yang merupakan satu daripada laluan maritim penting bekalan minyak dunia.

    Terdahulu, United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO) menasihatkan kapal dekat Fujairah di Teluk Oman untuk berhati-hati.

    Sementara itu, Jurucakap Pejabat Luar Negara UK berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan kejadian membabitkan sebuah kapal di perairan UAE.

    White House selain itu menyifatkan laporan itu “sangat mengganggu”.

    UKMTO pada mulanya telah memberi amaran kepada kapal mengenai kejadian sebelum menyatakan “kemungkinan rampasan” beberapa jam kemudian.

    Terdahulu pada pagi semalam, empat kapal tangki minyak melaporkan bahawa mereka “tidak berada di bawah arahan”, yang bermaksud sebuah kapal telah kehilangan kuasa dan tidak dapat mengemudi. Salah satu kapal kemudian mula bergerak, lapor agensi berita AP.

    Sebuah pesawat peronda laut Tentera Udara Oman dilihat terbang di atas laut pada masa yang sama, menurut data dari FlightRadar24.com.

    Kementerian Luar Iran menyatakan laporan yang melibatkan beberapa kapal pada hari Selasa “mencurigakan” dan memberi amaran terhadap sebarang usaha untuk “mewujudkan suasana palsu” terhadap Teheran.

  • 206 laporan polis diterima berhubung perhimpunan ahli Parlimen pembangkang – KPN

    206 laporan polis diterima berhubung perhimpunan ahli Parlimen pembangkang – KPN

    Oleh: Bernama

    POLIS menerima 206 laporan di seluruh negara berhubung perhimpunan oleh Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka semalam susulan penangguhan Sidang Khas Parlimen.

    Ketua Polis Negara Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata satu kertas siasatan telah dibuka bagi kesemua laporan yang diterima dan individu yang terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

    Sehubungan itu katanya polis meminta semua individu yang terlibat dalam perhimpunan itu supaya memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U (A) 293), Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan juga Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata pihaknya mengambil maklum bahawa pada 30 Julai lepas, Setiausaha Dewan Rakyat telah mengemukakan pemberitahuan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2021 telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

    Acryl Sani berkata penangguhan itu adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19, dan kementerian berkenaan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan wabak itu.

    Beliau berkata pada 1 Ogos lepas pihaknya telah menerima maklumat bahawa satu perhimpunan akan diadakan di kawasan Parlimen pada 2 Ogos 2021.

    “Mengambil kira bahawa pada tarikh berkenaan tiada sidang Parlimen berlangsung kerana sidang telah ditangguhkan dan tiada kewajaran untuk ahli-ahli Dewan Rakyat berada di Parlimen, maka pihak polis telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan sebarang perhimpunan daripada diadakan,” katanya.

    Jelasnya tindakan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U (A) 293), bertarikh 4 Julai 2021, dan berhimpun serta berarak merupakan aktiviti yang dilarang dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

    Semalam Bernama melaporkan polis telah menghalang cubaan Ahli Parlimen pembangkang memasuki perkarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun sidang itu telah ditangguhkan atas nasihat KKM berikutan penularan COVID-19.

    Kumpulan itu bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarahkan oleh pihak polis, tetapi berlaku banyak perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkaitan penjarakan fizikal, ketika perarakan dan ketika mereka berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju ke Parlimen. – BERNAMA