Category: Jenayah

  • [VIDEO] Warga emas cedera dipukul semasa pasang bendera PN

    [VIDEO] Warga emas cedera dipukul semasa pasang bendera PN

    SEORANG warga emas yang juga petugas kempen Perikatan Nasional (PN) diserang beberapa individu ketika memasang bendera partinya di Kampung Tebing Runtuh, Gelah Patah, petang semalam.

    Mangsa, Sujali Ahmad mendakwa, lapan individu yang dikaitkan dengan parti lawan melarangnya memasang bendera PN di kampung tersebut.

    Dia yang juga dikenali sebagai Pak Ali Teksi mendakwa, tiga daripada individu terbabit memukul tangan, mencekik leher dan merosakkan kenderaannya.

    “Saya telah didatangi tiga orang, kemudian disusuli lima orang. Sepanjang provokasi, saya telah dikasari tiga orang yang memukul dan memaki hamun serta mengugut saya dengan kata-kata kesat.

    “Akibat kejadian itu, saya mengalami kecederaan di bahagian dada dan kedua belah tangan serta kereta saya dirosakkan,” katanya.

    Dia berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan di di Bilik Gerakan Utama PN di Taman Scientex Utama Senai, selepas membuat laporan di Balai Polis Iskandar Puteri 10 pagi tadi.

    Video memaparkan beberapa individu bertengkar itu tular di media sosial sejak semalam dan dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 petang.

    Sujali menambah, jenteranya dilarang memasang bendera di kawasan itu oleh lapan individu terbabit kerana mendakwa PN bukan parti yang mereka sokong.

    “Mereka tak bagi masuk sebab bendera parti kami nak pasang bukan daripada parti dia dengan mendakwa jalan tersebut jalan mereka, sedangkan kami pasang bendera di jalan utama. Kejadian itu tak sepatutnya berlaku, ini pilihan raya, semua bebas berkempen dan pasang bendera,” jelasnya.

    Namun, insiden tersebut tidak mematahkan semangat warga emas berkenaan yang bertekad untuk meneruskan kempen bagi memastikan kemenangan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Sementara itu, Wan Saiful berkata, kejadian yang disifatkannya biadab, ‘gengster’ dan tidak menghormati prinsip demokrasi itu tidak sepatutnya berlaku.

    “Insiden tersebut amat membimbangkan kerana ia juga melibatkan nyawa dan keselamatan petugas PN,” katanya.

  • Pasangan kekasih antara tiga ditahan, dadah hampir 5 kg dirampas

    Pasangan kekasih antara tiga ditahan, dadah hampir 5 kg dirampas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEPASANG kekasih antara tiga individu yang ditahan polis di Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat di Langkawi petang semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah sejak sekian lama di destinasi pelancongan terkenal itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari, penahanan tiga individu berkenaan dibuat menerusi serbuan dilakukan di rumah tersebut kira-kira pukul 5 petang semalam.

    Katanya, selain penahanan tiga individu tersebut, pihaknya turut menemukan dadah jenis heroin dan syabu seberat hampir lima kilogram.

    “Kami mulanya menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun di luar rumah. Selepas itu, seorang lagi lelaki serta seorang perempuan yang masing-masing berumur 27 dan 41 tahun, ditahan dalam rumah tersebut.

    “Pemeriksaan dijalankan dalam rumah tersebut mendapati terdapat beg galas berwarna kelabu mengandungi 10 peket plastik lutsinar berisi ketulan dan serbuk berwarna putih, disyaki dadah jenis heroin seberat hampir 4.1 kilogram.

    “Selain itu terdapat juga beg plastik bercorak kartu berwarna putih dan hitam mengandungi 15 peket plastik lutsinar berisi bahan kristal, disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 776 gram dalam rumah itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, hari ini.

    Tambahnya, nilai heroin tersebut dianggarkan sebanyak RM53,600 manakala harga bagi syabu pula dianggarkan kira-kira RM20,000 bagi pasaran tempatan.

    “Ujian urin dijalankan terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine. Selain dadah, pihak kami turut menyita sebuah kenderaan jenis Honda City bagi membantu siasatan.

    “Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini dan siasatan lanjut masih berjalan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

  • 4 lelaki aktif edar syabu, heroin ditahan

    4 lelaki aktif edar syabu, heroin ditahan

    POLIS Pulau Pinang menahan empat lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 31 tahun yang dipercayai anggota sindiket yang aktif mengedar dadah jenis syabu dan heroin di negeri itu.

    Kesemua mereka ditahan dalam enam serbuan berasingan di sekitar daerah Timur Laut, Georgetown sewaktu operasi yang bermula pukul 12 tengah hari sehingga lewat malam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah dadah jenis heroin serta syabu yang keseluruhannya seberat 4.2 kilogram (kg) dan bernilai RM79,116.

    Menurut beliau, dadah itu dipercayai diperoleh sindiket berkenaan daripada pihak lain sebelum dibungkus semula oleh kesemua suspek ya dan mengedarkannya semula kepada pembeli.

    “Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak 2013 selain pernah ditahan beberapa kali sebelum ini.

    “Selain rampasan dadah, kita turut menyita empat buah kenderaan dan pelbagai barang kemas daripada suspek yang kesemuanya bernilai RM65,445,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut hari ini.

    Menurut Soffian, ujian air kencing mendapati tiga suspek yang ditahan turut positif dadah selain mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

    Katanya, kesemua suspek kini direman sehingga 9 Mac dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • PRN Johor: Penganjuran debat secara bersemuka tidak dibenarkan – Polis

    PRN Johor: Penganjuran debat secara bersemuka tidak dibenarkan – Polis

    POLIS tidak membenarkan sebarang penganjuran program perdebatan secara bersemuka dilakukan oleh mana-mana pihak sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata ia bagi mengelakkan daripada timbul suasana yang tidak tenteram, sekali gus memecahkan keamanan di negeri ini.

    “Berdebat secara berdepan (bersemuka) kita tidak benarkan. Tolong faham keadaan (kerana) sekarang ini, keadaan adalah tenang dan masing-masing boleh berkempen dan semua parti politik yang hendak berkempen boleh lakukan dengan aman. Jadi kita tidak mahu ada satu perkara yang boleh memecahkan keamanan yang menyebabkan rosak habis semua tidak boleh berkempen,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sesi perdebatan antara pemimpin MCA dan DAP yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis.

    Sesi debat membabitkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dibatalkan setelah tidak mendapat kebenaran pihak polis, yang mana ia dijadualkan berlangsung pada hari ini di Dewan Persatuan Tiong Hua Johor Bahru, serta akan membincangkan mengenai isu membabitkan sebuah sekolah.

    Kamarul Zaman berkata setakat ini pihaknya hanya membenarkan program berbentuk ceramah.

    “Kita benarkan ceramah sahaja dan permit ceramah memang kita luluskan…kita bantu kecuali ada beberapa yang kita tidak luluskan kerana demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat di Johor,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah meluluskan sebanyak 1,411 permit bagi ceramah dan kempen sejak hari penamaan calon sehingga semalam dan menjelaskan hanya enam permohonan ditolak, antaranya atas faktor pertindihan waktu dan lokasi ceramah berada berdekatan antara satu sama lain.

    Jelas beliau, sepanjang PRN Johor seramai 806 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah ditugaskan untuk melakukan pemantauan dan tiada kekecohan berlaku melibatkan mana-mana pihak setakat ini.

    Kamarul Zaman pada masa sama berkata pihaknya setakat ini telah menerima sebanyak 152 laporan polis dan telah membuka 10 kertas siasatan yang antaranya membabitkan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

    “Kertas siasatan yang dibuka ini antaranya melibatkan ceramah tanpa permit, khianat dengan api iaitu membakar bahan-bahan kempen, siasatan terhadap posting di laman Facebook yang membangkitkan kemarahan dan ada juga posting berbaur lucah,” katanya.

    Beliau berkata siasatan antara lain turut dijalankan mengenai perbuatan yang membangkitkan perasaan jahat atau permusuhan dan pelanggaran prosedur operasi standard. – Bernama

  • Penuntut universiti rugi RM42,500 beli mata wang permainan video

    Penuntut universiti rugi RM42,500 beli mata wang permainan video

    GARA-GARA terlalu teruja bermain permainan video, seorang penuntut universiti awam di Kuantan mendakwa kerugian RM42,500, bagi membeli mata wang permainan video yang diiklankan di laman sosial Instagram.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 22 tahun itu, telah menghubungi pemilik akaun Instagram berkenaan pada Jumaat lepas (4 Mac) selepas tertarik dengan harga mata wang itu yang ditawarkan lebih rendah berbanding ‘kedai’ permainan video dalam talian lain.

    “Mangsa mendakwa harga yang ditawarkan di laman sosial itu hanya RM600 bagi 38,400 mata wang, menyebabkan dia terus membuat pemindahan wang secara dalam talian pada petang hari yang sama ke akaun diberikan suspek.

    “Bagaimanapun, suspek dikatakan telah menghubungi pemuda itu untuk meminta lebih banyak wang atas pelbagai alasan termasuk bagi penukaran mata wang tersebut, sebelum ia boleh dikreditkan ke akaun permainan video mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mohd Wazir berkata pemuda itu mendakwa telah menggunakan wang simpanan sendiri berjumlah RM1,705, namun masih diminta untuk membuat bayaran bagi mendapatkan akses kepada mata wang itu, menyebabkan dia menggunakan wang simpanan ibunya. 

    Beliau berkata ibu mangsa yang merupakan pesara kerajaan, dikatakan pernah memberi kata laluan bagi transaksi perbankan dalam talian miliknya kepada anaknya itu untuk urusan transaksi peribadi sebelum ini. 

    “Pemuda itu hanya menyedari dirinya ditipu dalam penjualan mata wang permainan video itu setelah membuat 10 pemindahan wang secara dalam talian ke tiga akaun berbeza selama dua hari bermula Jumaat lepas,” katanya.

    Sehubungan itu, menurutnya mangsa membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading di Kuantan, semalam dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan. – Bernama

  • JIM sedia terima kemasukan pengembara

    JIM sedia terima kemasukan pengembara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) kini sudah bersedia sepenuhnya untuk beroperasi di pintu masuk negara selepas pengumuman Perdana Menteri bahawa sempadan akan dibuka tidak lama lagi.

    Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, persediaan itu dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru.

    “Kesemua sistem laluan automatik (autogate) terutama di KLIA juga sudah diaktifkan.

    “Malah, pegawai-pegawai bertugas di pintu masuk yang sebelum ini dihantar ke depoh sementara yang dibuka sepanjang pandemik ini juga akan dipanggil semula untuk kembali ke tugas asal mereka,” katanya selepas mengetuai Op Mega Imigresen di Kulai, malam tadi.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi dan langkah itu katanya, membolehkan ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tidak bersua muka dapat pulang terutama ketika Aidilfitri pada Mei nanti.

    Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan Perdana Menteri dijangka mengumumkan tarikh pembukaan sempadan negara pada minggu depan.

    Menurut Khairy, mesyuarat Kabinet kelmarin sudah mencapai kata sepakat mengenai pembukaan sempadan negara dan kini menunggu hal itu diumumkan oleh Perdana Menteri.

    Pintu sempadan negara ditutup sepenuhnya pada 18 Mac 2020 ekoran penularan kes Covid-19 di seluruh dunia ketika itu yang secara tidak langsung memberi kesan terhadap penduduk negeri ini berulang alik ke Singapura.

    Malah, aktiviti ekonomi juga turut terjejas ekoran penutupan pintu sempadan yang kini hanya dibuka mengikut kategori tertentu seperti inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

  • JIM tahan 64 warga India dalam serbuan di sebuah kilang

    JIM tahan 64 warga India dalam serbuan di sebuah kilang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari beberapa negara ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Op Mega JIM yang diadakan sekitar daerah Kulai malam tadi.

    Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, operasi tersebut dilakuan bermula pukul 10.30 malam di sebuah kilang dan spa yang dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral.

    Beliau berkata, menerusi serbuan di sebuah kilang di Senai, pihaknya menahan 64 lelaki PATI warganegara India dan mendapati semua PATI tersebut didaftarkan di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

    “Mengikut dasar kerajaan, pekerja negara terbabit hanya dibenarkan bekerja di bawah sektor pembinaan, perkhidmatan, pertanian dan perladangan.

    “Tidak pernah lagi dalam serbuan di kilang sebelum ini, begitu ramai warganegara India diambil bekerja. Kita syak mungkin kilang ini guna perkhidmatan ejen untuk mendaftarkan pekerja-pekerja di bawah rekalibrasi.

    “Berdasarkan slip pendaftaran RTK, pekerja ini didaftarkan pada April 2021 dan sekarang sudah Mac 2022 maknanya hampir setahun (pekerja India) bekerja di situ,” katanya selepas mengetuai Op Mega JIM, malam tadi.

    Katanya, alasan pemilik kilang berkenaan kononnya tidak tahu pekerja warganegara India tidak boleh bekerja di kilang tidak dapat diterima pihak JIM.

    Beliau berkata, selain 64 pekerja India terbabit, JIM turut menahan 16 warganegara Nepal, tiga warganegara Myanmar dan dua warganegara Bangladesh yang tidak mempunyai sebarang dokumen.

    Menurutnya, semua PATI lelaki berumur 25 hingga 40 tahun itu dibawa ke lokap Imigresen di Setia Tropika, Johor Bahru untuk siasatan lanjut.

    “Sekiranya majikan boleh membuktikan pekerja yang tidak mempunyai sebarang dokumen tadi memiliki dokumen sah mereka akan dibebaskan.

    “Namun, siasatan lanjut akan dibuat terhadap PATI warga India bagaimana mereka boleh diambil bekerja di sini, sekiranya kesalahan dapat dibuktikan maka majikan perlu hantar mereka pulang ke negara asal,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, JIM sebelum itu turut menahan 16 wanita warga asing yang terdiri daripada 14 warga Thailand dan masing-masing seorang warga Laos dan Myanmar yang bekerja di sebuah spa.

    “Mereka sebenarnya masuk ke negara kita sebagai pelancong pada 2019 tetapi atas faktor Covid-19 mendakwa terkandas kerana tiada penerbangan, pintu masuk negara masing-masing ditutup.

    “Imigresen memang beri kemudahan kepada pelancong asing yang sah dan tidak dapat pulang ke negara asal untuk terus kekal sehingga bulan ini tetapi saya percaya wanita-wanita yang ditahan ini mengambil kesempatan,” katanya.

    Kata beliau, mereka yang bekerja di pusat kecantikan terbabit turut menawarkan perkhidmatan pelacuran dengan harga antara RM200 hingga RM350 setiap pelanggan.

  • Bayi perempuan 24 hari maut di rumah

    Bayi perempuan 24 hari maut di rumah

    SEORANG bayi perempuan berusia 24 hari ditemui tidak sedarkan diri di rumah keluarganya di Kampung Batu 1, Pedas Tengah, Remnbau, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Rembau, tengah hari tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, anak bongsu daripada enam beradik itu disedari tidak memberi respons ketika kakaknya mahu membetulkan kain bedung, pukul 1 tengah hari.

    Katanya, berdasarkan siasatan awal, ibu bayi itu yang berusia 42 tahun menyusukannya pukul 12.30 tengah hari tadi.

    “Selepas ditidurkan bayi itu diletakkan di ruang tengah rumah. Kira-kira 30 minit kemudian kakak bayi itu ingin membetulkan kain bedung sebelum mendapati adiknya tidak bertindak balas,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Hazri berkata, bayi itu dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Rembau sebelum doktor bertugas mendapati tiada nadi dikesan dan badannya sejuk.

    Beliau berkata, prosedur kecemasan dengan memberikan bantuan pernafasan dijalankan, namun tiada tindak balas sebelum doktor mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia.

    “Bedah siasat belum dijalankan kerana masih menunggu laporan keputusan ujian COVID-19. Satu laporan polis berhubung kejadian dibuat ibu bayi berkenaan pukul 5 petang tadi,” katanya.

  • Lelaki mati ditembak suspek tidak dikenali

    Lelaki mati ditembak suspek tidak dikenali

    SEORANG lelaki mati akibat ditembak individu tidak dikenali di tepi jalan Kampung Pasir Tinggi, Kuala Terengganu awal pagi tadi.

    Mangsa berusia 40-an disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, sebelum kejadian mangsa bersama-sama dua rakannya menaiki kereta pergi berjumpa dengan seorang lelaki di tepi jalan Kampung Pasir Tinggi pukul 2.30 pagi.

    “Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa menemui suspek bagi membincangkan beberapa perkara tidak jauh dari tempat mereka meletak kereta.

    “Selepas itu rakan mangsa mendengar dua bunyi letupan dipercayai tembakan sebelum suspek bersama-sama seorang rakan melarikan diri dengan sebuah motosikal,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Mohd. Marzukhi berkata, mangsa yang rebah kemudian di bawa ke Klinik Kesihatan Bukit Payong oleh rakannya untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

    Katanya, polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian namun tidak menolak kemungkinan ada kaitan dengan dadah.

    “Kita sedang menunggu hasil laporan bedah siasat mengenai jumlah sebenar tembakan. Kita juga minta kerjasama orang awam yang ada maklumat supaya maklumkan kepada polis bagi membantu siasatan,” katanya.

    Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • 19 kontraktor ditahan kemuka penyata bank palsu RM49 juta

    19 kontraktor ditahan kemuka penyata bank palsu RM49 juta

    SERAMAI 19 kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana dipercayai mengemukakan penyata bank palsu bernilai kira-kira RM49 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

    Semua suspek yang berusia antara 24 hingga 53 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kota Kinabalu, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

    Astro Awani melaporkan, penyata bank palsu itu dikemukakan sebagai dorongan untuk memasuki tender beberapa buah sekolah di seluruh Sabah.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

    Tambahnya, kesemua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan sembilan wanita tersebut akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu dalam masa terdekat.

    “SPRM Sabah pada tahun 2020 telah menahan seramai 39 kontraktor yang dipercayai mempunyai modus operandi sama melibatkan nilai kontrak berjumlah lebih RM80 juta.

    “Susulan daripada tangkapan tersebut, sebanyak 132 pertuduhan telah berjaya dilaksanakan di Mahkamah Khas Rasuah di Sabah tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tegasnya, SPRM memandang serius berhubung kesalahan tersebut dan susulan daripada kes-kes berkenaan, beberapa aktiviti pencegahan telah dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan.

    “Antara usaha yang telah dilaksanakan ialah mengadakan beberapa sesi penerangan kepada pihak kontraktor seperti penganjuran seminar integriti bersama kontraktor hasil kerjasama antara Kementerian Kewangan Negeri Sabah dengan SPRM Sabah pada 25 Ogos 2020.

    “Selain itu, SPRM Sabah pada 27 Mac tahun lalu juga telah mengadakan Forum Anti Rasuah: Peranan Kontraktor Dalam Menangani Rasuah hasil kerjasama antara SPRM Sabah, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),” katanya.

    Dalam masa yang sama, Karunanithy turut mengingatkan golongan kontraktor supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu bagi tujuan memasuki mana-mana kontrak kerajaan kerana ia merupakan satu kesalahan.