SEORANG lelaki mati akibat ditembak individu tidak dikenali di tepi jalan Kampung Pasir Tinggi, Kuala Terengganu awal pagi tadi.

Mangsa berusia 40-an disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, sebelum kejadian mangsa bersama-sama dua rakannya menaiki kereta pergi berjumpa dengan seorang lelaki di tepi jalan Kampung Pasir Tinggi pukul 2.30 pagi.

“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa menemui suspek bagi membincangkan beberapa perkara tidak jauh dari tempat mereka meletak kereta.

“Selepas itu rakan mangsa mendengar dua bunyi letupan dipercayai tembakan sebelum suspek bersama-sama seorang rakan melarikan diri dengan sebuah motosikal,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Mohd. Marzukhi berkata, mangsa yang rebah kemudian di bawa ke Klinik Kesihatan Bukit Payong oleh rakannya untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian namun tidak menolak kemungkinan ada kaitan dengan dadah.

“Kita sedang menunggu hasil laporan bedah siasat mengenai jumlah sebenar tembakan. Kita juga minta kerjasama orang awam yang ada maklumat supaya maklumkan kepada polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here