Category: Jenayah

  • Pembantu tadbir ditipu ‘ASP Wong’ lebih RM30,000

    Pembantu tadbir ditipu ‘ASP Wong’ lebih RM30,000

    SEORANG pembantu tadbir di Port Dickson mendakwa kerugian RM38,480 setelah diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak syarikat kurier dan pegawai polis ‘ASP Wong’ pada 15 Mei lepas.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata, wanita berusia 46 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada syarikat kurier berkenaan memaklumkan terdapat bungkusan barang terlarang atas namanya di pejabat tersebut, namun mangsa menafikan perkara itu.

    Beliau berkata panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai polis dikenali sebagai ASP Wong yang memberitahu wanita itu terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

    “Mangsa diminta menyerahkan maklumat perbankan dalam talian iaitu ‘username’ dan kata laluan bagi empat akaun miliknya. Dia turut menyerahkan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterima untuk tujuan pemindahan wang kepada pegawai polis itu.

    “Mangsa yang merasa curiga itu kemudian membuat semakan akaun bank dan mendapati kerugian RM38,480 daripada empat akaun miliknya yang dipindahkan ke akaun tidak dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Aidi Sham berkata, wanita itu membuat laporan polis pada hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan yang mengaku sebagai badan penguat kuasa atau institusi kewangan selain tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – BERNAMA

  • Google haramkan 3 aplikasi curi wang pengguna

    Google haramkan 3 aplikasi curi wang pengguna

    GOOGLE mengharamkan tiga aplikasi telefon pintar yang didapati digunakan untuk mencuri wang dari akaun bank individu yang memuat turunnya.

    Memetik laporan Mirror, aplikasi-aplikasi yang berbahaya itu ialah Style Message, Blood Pressure App dan Camera PDF Scanner.

    Aplikasi-aplikasi tersebut cuba mencuri duit pengguna dengan ‘menyamar’ seperti aplikasi lain yang tulen.

    Namun, ia mengandungi ‘kuda trojan’ yang berupaya mencuri maklumat peribadi atau memulakan langganan berbayar tanpa dimohon oleh pengguna.

    Malah salah satu daripada mempunyai pepijat yang membolehkannya melepasi tapisan keselamatan Google.

    Google
    Tiga aplikasi yang diharamkan Google kerana didapati berupaya mencuri wang daripada akaun pengguna. (Gambar: Mirror)

    Selain itu, terdapat aplikasi lain yang meniru GameBeyond, Tubemate, Minecraft, GTA5 dan Vidmate yang bertujuan menipu pengguna.

    Lazimnya, aplikasi yang mempunyai kuda trojan dikeluarkan dari Google Play Store namun penjenayah dengan pantas menggantikannya dengan yang lain.

    Pakar dari Kaspersky, Ivan Golovin berkata, kebanyakan aplikasi tersebut tiada mempunyai fungsi yang sah.

    “Langganan bermula sebaik sahaja ia dilancarkan di mana pengguna akan melihat proses memuat turun bermula.

    “Bayaran dibuat atas nama pengguna untuk perkhidmatan yang sah dan si penipu beroleh bahagiannya daripada wang yang ditolak.

    “Langganan sebegini biasanya dibayar dengan menggunakan baki kredit talian telefon,” jelasnya.

    Pakar mendedahkan, penjenayah siber memuat turun aplikasi sebenar dan menambah kod hasad sebelum memuat naiknya semula ke Play Store menggunakan nama lain.

    Sebaik sahaja aplikasi dimuat turun, ia akan cuba mendapatkan akses kepada pesanan teks atau notifikasi untuk mengumpul maklumat.

    Golovin menasihatkan pengguna supata tidak memuat turun aplikasi dari sumber tidak rasmi dan membaca ulasan, maklumat pembangunan serta terma penggunaan dan bayaran terlebih dahulu.

    “Bagi pesanan teks, gunakan app yang popular dengan ulasan positif,” katanya.

  • Lelaki gagal larikan wang lepas dua jam tak dapat pecahkan mesin ATM

    Lelaki gagal larikan wang lepas dua jam tak dapat pecahkan mesin ATM

    SEORANG lelaki gagal melarikan wang dalam sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dengan menggunakan mesin pencanai (grinding machine) dalam satu kejadian di sebuah bank, di Tanah Merah, Kelantan pada awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Supt. Wan Zulfikri Wan Othman berkata kejadian itu dilaporkan pihak bank terbabit pada 7.16 pagi selepas menyedari salah sebuah ATM di premis itu rosak serta terdapat kesan dicanai di bahagian bawah.

    Beliau berkata semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di luar premis itu menunjukkan seorang lelaki dilihat berjalan kaki dengan membawa sebuah kerusi plastik memasuki ruang menempatkan mesin ATM pada pukul 1.59 pagi.

    “Suspek turut bertindak menutup CCTV dengan menggunakan pita pelekat selain kertas minyak pada pintu utama ruang berkenaan bagi mengelak perbuatannya dilihat.

    “Suspek didapati berusaha hampir dua jam untuk cuba melarikan wang tunai di mesin ATM terbabit sebelum keluar semula pada 3.15 pagi dengan menggalas beg,” katanya kepada pemberita, di Tanah Merah hari ini.

    Wan Zulfikri berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan.–Bernama

  • Minta suapan RM80,000: Penolong jurutera direman empat hari

    Minta suapan RM80,000: Penolong jurutera direman empat hari

    SEORANG penolong jurutera di sebuah agensi kerajaan direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan berjumlah kira-kira RM80,000.

    Perintah reman terhadap lelaki berusia 35 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Lelaki itu dikatakan telah meminta suapan bagi membantu untuk mendapatkan kerja-kerja pembaikan sebuah sekolah di satu daerah di Selangor.

    Suspek ditahan oleh sepasukan pegawai SPRM Selangor setelah menerima wang tunai RM10,000 daripada seorang individu lain di sebuah restoran di Bangi kira-kira jam 4 petang semalam. – Bernama

  • Tiga lelaki pukul warga emas, samun rumah sarang burung

    Tiga lelaki pukul warga emas, samun rumah sarang burung

    SEORANG warga emas cedera di bahagian kepala dan kaki kanan selepas dipukul tiga penyamun di sebuah rumah sarang burung di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pukul 4 pagi semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, sebelum itu suspek memecah masuk dan mencederakan mangsa yang merupakan penjaga rumah sarang burung berkenaan.

    “Suspek mengikat mangsa dan mencederakannya menggunakan senjata dipercayai besi.

    “Seterusnya suspek melarikan tiga guni sarang burung dianggarkan seberat tiga kilogram dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM11,500.

    “Mangsa yang mengalami kecederaan luka di bahagian belakang kepala sebelah kanan mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi dan menerima 10 jahitan di jari kaki kanan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Nik Azaham berkata, keadaan mangsa stabil dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar serta dibenarkan pulang selepas dirawat.

    “Polis membuka siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun hingga mendatangkan cedera.

    “Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

  • Bot nelayan tempatan ditahan tunda pukat di kawasan larangan

    Bot nelayan tempatan ditahan tunda pukat di kawasan larangan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 4.6 batu nautika barat Kuala Sungai Pinang, Pulau Pinang malam tadi dipercayai sedang menunda pukat di kawasan larangan.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan sebuah bot nelayan yang bergerak dalam keadaan gelap disyaki sedang menjalankan operasi menangkap ikan menggunakan pukat tunda kira-kira pukul 10.55 malam.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan yang berpangkalan di Batu Maung itu dikendalikan tekong warga tempatan berusia 51 tahun bersama tiga kru warga Indonesia berumur antara 44 hingga 55 tahun.

    Jelasnya, bot terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

    “Bot berkenaan bersama tekong dan tiga kru yang mempunyai permaustatin tetap kemudiannya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

    “Kita turut menyita semua peralatan dan hasil tangkapan ikan campur dengan anggaran 100 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara.

    Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam supaya melaporkan sebarang penemuan dan kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Siasatan video tular anggota polis trafik iring anak Ahli Parlimen selesai

    Siasatan video tular anggota polis trafik iring anak Ahli Parlimen selesai

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SIASATAN berhubung tindakan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang baru-baru ini telah lengkap sepenuhnya.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kertas siasatan itu juga sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

    “Pegawai penyiasat telah mengambil keterangan pemandu kenderaan tersebut pada 9 Mei lalu dan kertas siasatan juga telah dirujuk kepada TPR untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sebelum ini, satu klip video yang menunjukkan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen tular di dalam media sosial Facebook.

    Video itu mendapat kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan individu berkenaan yang didakwa menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan di Pulau Pinang.

    Siasatan dalaman polis kemudiannya mendapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi daripada mana-mana pegawai kanan, Ibu Pejabat atau Kontinjen Pulau Pinang untuk tugasan itu dilaksanakan.

    Susulan itu, dua anggota polis trafik terlibat telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sehingga siasatan tatatertib berkaitan kes itu selesai.

    Kes itu turut disiasat menurut Seksyen 230 Akta Komunikasi dan  Multimedia (AKM) 1998 kerana ia melibatkan kesalahan menggunakan media sosial.

  • Palsukan cukai jualan sawit : Pegawai kanan kerajaan, pesara terima rasuah RM700,000 ditahan

    Palsukan cukai jualan sawit : Pegawai kanan kerajaan, pesara terima rasuah RM700,000 ditahan

    SEORANG pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan negeri bersama seorang pesara kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM700,000.

    Kedua-dua mereka ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi ketika masing-masing hadir di pejabat SPRM negeri.

    Berita Harian melaporkan, berdasarkan maklumat, wang berkenaan diperoleh daripada sebuah syarikat kilang sawit sebagai balasan untuk melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada Kementerian Kewangan Sabah.

    Menurut sumber, tindakan kedua-dua suspek itu menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan negeri.

    Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dua suspek itu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    “Kedua-dua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan dijangka permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok.

    “SPRM tidak menolak kemungkinan ada beberapa lagi tangkapan susulan akan dibuat dalam masa terdekat selepas ini,” katanya.

  • Siasatan tatatertib dakwaan layanan buruk anggota polis

    Siasatan tatatertib dakwaan layanan buruk anggota polis

    BAHAGIAN Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya akan melakukan siasatan tatatertib susulan ketidakpuasan hati seorang wanita yang mendakwa mendapat layanan buruk oleh anggota polis.

    Pihak polis memandang serius dakwaan itu yang tular di Twitter dan tindakan akan dikenakan sekiranya terbukti terbabit dalam insiden itu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan mendapati pengadu wanita itu hadir ke Balai Polis Kelana Jaya kelmarin untuk membuat satu laporan polis.

    Namun katanya, wanita berkenaan merasa tidak selesa dengan layanan dan tutur kata oleh anggota polis yang bertugas ketika itu.

    “Pihak polis sentiasa akan memberikan layanan serta perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Tular dalam Twitter seorang wanita mendakwa dia tidak dilayan dengan sepatutnya ketika hadir membuat laporan polis.

    Mangsa yang memakai pakaian ‘cosplay’ itu mendakwa anggota polis memalukannya kerana berpakaian sedemikian.

    Kata mangsa, dia hadir membuat laporan polis dengan berpakaian sedemikian kerana mahu cepat sebaliknya menerima pandangan sedemikian.

    Cosplay – gabungan perkataan costume dan play – membabitkan individu yang berpakaian seperti watak dalam animasi dan permainan video.

    Wanita itu berkata dia memakai jaket ketika membuat laporan.

    Semalam, seorang pemain cosplay wanita yang mengendalikan reruai di Anime Fest di Paradigm Mall Petaling Jaya membuat laporan di balai polis Kelana Jaya terhadap seorang individu kerana mendakwa diganggu.

    Dalam satu ciapan hari ini, wanita itu berkata ketika di balai, seorang anggota polis berkata kepadanya: “You pakai macam ini (untuk) jual gambar, ini adalah akibatnya. You pun juga salah.”

  • PGA tahan 26 PATI Myanmar sembunyi dalam semak

    PGA tahan 26 PATI Myanmar sembunyi dalam semak

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) menahan 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dalam Op Wawasan Kedah/Perlis 2022 ketika cuba memasuki negara ini secara haram dalam dua kejadian berasingan di Chuping, Padang Besar, semalam.

    Tangkapan pertama dilakukan 12.30 tengah malam apabila anggota Batalion 18 PGA yang terdiri daripada 10 pegawai rendah sedang melakukan rondaan di sekitar laluan keselamatan Pos C6, Chuping.

    Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA, Superintendan Ramli Wan Salin berkata, ketika rondaan pihaknya ternampak lapan Pati cuba menyusup masuk ke negara ini di laluan berkenaan sebelum menahan mereka.

    “Tangkapan itu tidak berakhir di situ apabila hampir 13 jam kemudian iaitu pada 12.50 tengah hari, 19 PATI warga Myanmar di mana lapan daripadanya adalah wanita sedang bersembunyi di satu kawasan semak berhampiran Kilang Gula MSM, Chuping ditahan kerana cuba memasuki negara ini secara haram.

    “Pada kejadian kedua itu, PATI berkenaan dipercayai menjadikan semak berhampiran kawasan kilang itu sebagai lokasi persembunyian mereka.

    “PATI ini dipercayai berusia antara 20-an hingga 40-an dan didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959.