Category: Jenayah

  • Polis serbu sarang, berkas 229 penagih, pengedar dadah 

    Polis serbu sarang, berkas 229 penagih, pengedar dadah 

    POLIS menahan 229 penagih dadah di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Klang yang dipercayai menjadi sarang penagihan dadah menerusi Ops Tapis Khas, minggu lepas. 

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, operasi bersepadu dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan dari 21 Jun hingga 23 Jun itu menyasarkan beberapa kawasan perumahan termasuk PPR Desa Tun Razak, PPR Pantai Dalam, PPR Desa Rejang, PPR Sungai Bonus, PPR Intan Baiduri, Flat Seri Terengganu, Chow Kit serta Putrajaya. 

    “Daripada jumlah tersebut, 11 penagih dadah diambil tindakan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) sementara 21 individu lagi yang merupakan pesalah berulang diambil tindakan di bawah Seksyen 39 C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.  

    “Seramai 10 individu lagi adalah orang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Satu Berita.

  • Lima pelajar sekolah dalang curi EX5 ditahan

    Lima pelajar sekolah dalang curi EX5 ditahan

    LIMA remaja lelaki bawah umur ditahan selepas disyaki menjadi dalang dalam kegiatan curi motosikal di sekitar daerah Ampang Jaya.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kesemua lima remaja berusia antara 14 hingga 16 tahun itu ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar daerah Ampang Jaya bermula jam 6.30 petang hingga 11 malam Rabu lalu, mengikut laporan Berita Harian.

    Tambah beliau, susulan penahanan kesemua suspek, polis menemui semula lapan motosikal yang dilarikan mereka, sekali gus menyelesaikan lapan kes yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan kumpulan itu.

    Mengulas lanjut, katanya, siasatan mendapati kelima-lima suspek masih belajar di sekolah menengah sekitar daerah berkenaan dan mereka dipercayai menyasarkan motosikal jenis Honda EX5.

    “Semua motosikal terbabit dicuri untuk kegunaan harian dan mereka mempunyai kemahiran untuk menghidupkan motosikal dengan teknik penyambungan wayar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, semua lima remaja terbabit direman sehingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

  • Bekas isteri dipenjarakan:Jangan dengar cerita sebelah pihak saja-SM Faisal

    Bekas isteri dipenjarakan:Jangan dengar cerita sebelah pihak saja-SM Faisal

    AHLI perniagaan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin meminta agar tidak hanya mendengar cerita sebelah pihak berhubung tindakan undang-undang yang dihadapinya dengan bekas isteri mengenai hak lawatan anak mereka.

    “Saya dinafikan masa untuk bersama anak-anaknya sejak bercerai dengan Emilia Hanafi enam tahun lalu walaupun perintah mahkamah memberinya hak melawat.

    “Saya tidak dapat luangkan masa bersama anak-anak sejak enam tahun lalu, sekalipun pada hari raya dan hari lahir.

    “Tahu tak betapa traumanya (saya)?” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Emilia sebelum itu menjalani hukuman penjara di Penjara Wanita Kajang bermula hari ini atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.

    Emilia yang memakai jubah putih hadir ke mahkamah ditemani keluarga, sahabat dan penyokong.

    Peguam syarie yang mewakili Emilia, Nazri Yahya berkata, anak guamnya akan menjalani hukuman di Penjara Wanita Kajang bermula hari ini.

    Sementara itu, peguam mewakili SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pasangan itu sudah bersetuju anak-anak mereka akan dihantar ke kediaman mereka sebelum ini di Serene Kiara, Kuala Lumpur, bukan ke tempat lain seperti didakwa Siti.

    Katanya, Faisal tidak mendesak dan menunggu untuk bertemu anak-anaknya di rumah bapa Emilia di Kajang, tetapi bekas isterinya itu enggan membenarkannya.

    “Faisal juga membuat laporan polis setiap kali gagal bertemu anak-anaknya seperti dibenarkan oleh mahkamah.

    “Kami gesa pengkritik, termasuk Siti Kasim, supaya mengkaji fakta kes ini sebelum membuat dakwaan palsu dan mengelirukan orang ramai. Malang juga ada media yang gagal melaporkan isu ini secara adil dan objektif,” katanya.

  • Polis tahan bekas Ketua Srikandi PKR

    Polis tahan bekas Ketua Srikandi PKR

    POLIS menahan bekas Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail bagi membantu siasatan berhubung penyebaran satu kandungan video aplikasi TikTok dimuat turun beliau baru-baru ini.

    Siti Aishah yang juga bekas Ahli Dewan Negara pada pukul 1.40 petang tadi sebelum diiringi polis ke Balai Polis Sungai Senam, Ipoh

    Beliau memaklumkan perkara itu melalui satu mesej aplikasi WhatsApp susulan rumahnya diserbu tiga kenderaan dinaiki pegawai Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis.

    Jelas Siti Aishah, penahanannya itu ada kaitan dengan satu kandungan video TikTok di mana beliau mendakwa terdapat beberapa komoditi dan barang makanan berdepan kenaikan harga mendadak dan pemansuhan subsidi bermula 1 Julai ini.

    “Pada pukul 1.40 petang, tiga kenderaan, satu daripada SKMM dan dua daripada Balai Polis Sungai Senam (Bahagian Siasatan Jenayah) telah hadir ke rumah saya.

    “Ketika itu ada ayah saya sahaja. Saya baru lepas menghantar anak ke sekolah sebelum pulang sekitar 15 minit. Mereka telah membuat serbuan ke bilik saya dan mencari peralatan telefon dan video digunakan saya untuk membuat kandungan video Tiktok.

    “Telefon dan video itu sudah dirampas dan sekarang saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Senam, Ipoh untuk disiasat.

    “Buat masa ini, saya dituduh dengan dua perkara iaitu atas sabitan kandungan video itu dan kedua adalah berdasarkan laporan polis yang dibuat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terhadap kandungannya di Balai Polis Dang Wangi, tempoh hari.

    “Saya dibawa dan diiringi polis ke Balai Polis Sungai Senam untuk direkodkan kenyataan berdasarkan dua tuduhan berkenaan,” jawab Siti Aishah secara ringkas melalui mesej aplikasi WhatsApp kepada Sinar Harian.

    Terdahulu, Siti Aishah memuat naik satu kandungan video TikTok berdurasi hampir tiga minit yang menjelaskan jangkaan beberapa harga barangan komoditi dan barang makanan bakal dimansuhkan subsidi oleh kerajaan bermula 1 Julai ini.

    Kandungan video itu menjadi tular di media sosial dan menyebabkan beberapa NGO bertindak membuat laporan polis terhadapnya.

    Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak, Lim Boon Chye mengesahkan penahanan Siti Aishah dan menegaskan parti sedang menguruskan khidmat guaman bagi membantu membebaskan beliau.

    “Kita masih sedang menunggu penjelasan lanjut daripada pihak polis terhadap penahanan Siti Aishah,” ujarnya.

  • Sindiket tipu pembelian online beroperasi dari banglo mewah tumpas

    Sindiket tipu pembelian online beroperasi dari banglo mewah tumpas

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan belian barangan online yang beroperasi dari sebuah banglo mewah tiga tingkat dalam serbuan di Batu Ferringhi, kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin.

    Dalam serbuan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang itu, seramai 23 suspek warga Taiwan berusia antara 19 hingga 48 tahun turut ditahan.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sindiket itu dipercayai baru beroperasi kira-kira sebulan lalu dan menawarkan produk pembelian online seperti beg tangan wanita, minyak wangi, kasut dan sebagainya.

    “Siasatan awal mendapati kesemua suspek warga Taiwan itu ditawarkan bekerja di Pulau Pinang dengan gaji sebanyak RM7,000 sebulan.

    “Bagaimanapun, mereka hanya menerima bayaran sebanyak RM5,000 kerana dipercayai turut ditipu oleh satu sindiket untuk datang bekerja di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di Bukit Mertajam hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, turut dirampas dalam serbuan itu adalah pelbagai barangan termasuk 46 buah telefon bimbit; laptop (14); Ipad (8); ‘walkie-talkie’ (6) dan kad prabayar (12).

    Bagaimanapun jelas beliau, polis masih menyiasat jumlah kerugian serta sedang mengesan dalang sindiket itu kerana ketika serbuan, suspek dikatakan sempat memadam sebahagian daripada bahan bukti kes berkenaan.

    “Namun, siasatan awal mendapati tidak ada rakyat Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan ini buat masa ini,” katanya.

    Mohd. Shuhaily berkata, kesemua suspek direman selama enam hari bermula semalam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Jika sabit kesalahan jelas beliau, boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun selain dikenakan sebatan.

    Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat pembelian secara online selain melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan yang berlaku di sekitar kawasan kediaman masing-masing.

  • Pelajar perempuan 16 tahun ditemui mati disyaki dibunuh kekasih

    Pelajar perempuan 16 tahun ditemui mati disyaki dibunuh kekasih

    SEORANG pelajar perempuan Tingkatan Empat ditemui maut disyaki dibunuh kekasihnya selepas berlaku perselisihan faham di rumah lelaki berkenaan di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 3.40 pagi berhubung penemuan remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman rumah itu.

    “Pada pukul 2 pagi semalam, suspek dipercayai membawa mangsa ke bilik di rumahnya, kemudian berlaku perselisihan faham dan suspek dipercayai menyebabkan kematian mangsa.

    “Siasatan juga mendapati suspek mengangkat mangsa dan membawa keluar dari bilik hingga ke halaman rumah itu.

    “Kemudian suspek meminta bantuan daripada ahli keluarganya. Ahli keluarga menelefon polis serta memaklumkan kejadian itu dan kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Hoong Fong berkata, hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan calar dan lebam di bahagian muka dan leher.

    “Hasil bedah siasat yang dijalankan pula mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat ditekup disyaki dengan menggunakan bantal. Bantal itu dijadikan barang bukti kes,” katanya.

    Tambahnya lagi, siasatan mendapati mangsa berumur 16 tahun yang juga pelajar sekolah di Lembah Klang manakala suspek berumur 24 tahun dan tidak bekerja.

    “Suspek berkenalan dengan mangsa selama setahun dan hubungan mereka diketahui keluarga malah suspek sudah beberapa kali membawa mangsa ke rumah itu.

    “Bagaimanapun ketika kejadian, ibu bapa serta abang suspek sedang tidur dan mereka tidak mendengar bunyi bising, hanya dikejutkan oleh suspek selepas kejadian itu,” katanya.

    Katanya, suspek yang tiada rekod lampau kini ditahan reman sehingga 3 Julai depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

  • Maritim Malaysia rampas 62 set bubu naga di perairan Pulau Pinang

    Maritim Malaysia rampas 62 set bubu naga di perairan Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 62 set bubu naga di tujuh lokasi berbeza di kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika barat Permatang Keriang, Penaga, antara pukul 4.40 hingga 6.40 petang semalam.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bubu naga itu dikesan ketika rondaan rutin bot Maritim Malaysia yang menemukan beberapa pelampung mencurigakan di lokasi berkenaan.

    Kata beliau, kesemua bubu naga dengan anggaran nilai RM7,500 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.
     
    Tegasnya, penggunaan bubu naga merupakan peralatan penangkapan hasil laut yang diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif serta merosakkan ekosistem perairan dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

    “Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tanbah Abd. Razak, masih terdapat individu yang berdegil menggunakan kaedah penangkapan hasil laut yang tidak dibenarkan dan Maritim Malaysia mengingatkan mereka supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

    Semua bubu naga dengan anggaran nilai RM7,500 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut

    Sehubungan itu tegasnya, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Pulau Pinang.

    “Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

  • Didera ibu bapa angkat, remaja lari ke balai polis

    Didera ibu bapa angkat, remaja lari ke balai polis

    SEORANG remaja perempuan nekad melarikan diri dari rumah keluarga angkatnya di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, selepas dipukul ibu dan bapa angkatnya menggunakan rotan, 22 Jun lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Manjiji berkata, mangsa melarikan diri ke Balai Polis Sri Hartamas 1.15 tengah hari pada hari kejadian.

    “Mangsa bertindak sedemikian kerana tidak tahan didera dan dipukul menggunakan rotan oleh ibu dan bapa angkatnya yang masing-masing berusia 55 dan 66 tahun.

    “Difahamkan punca mangsa dipukul kerana keadaan rumah berkenaan tidak terurus dan tidak dikemas oleh remaja terbabit,” katanya, lapor Harian Metro.

    Habibi berkata, mangsa dilaporkan dalam keadaan baik dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

    “Kami juga sudah memaklumkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut dan menempatkan remaja berkenaan di tempat selamat.

    “Susulan laporan itu, kedua-dua suspek ditahan pihak polis pada hari sama laporan dibuat mangsa berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

    Mengulas lanjut, kedua-dua suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada 23 Jun lalu selepas keterangan mereka diambil bagi membantu siasatan.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera dan menganiaya mangsa,” katanya.

  • Kapal LPG asing ditahan ceroboh perairan negara

    Kapal LPG asing ditahan ceroboh perairan negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN sebuah kapal tangki Liquefied Petroleum Gas (LPG) dari Monrovia, Liberia menceroboh dan bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor timur semalam, membawa padah apabila ditahan Agensi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

    Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, pihaknya mengesan kehadiran kapal LPG asing itu sebelum menahannya pada kedudukan 14.5 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Kota Tinggi.

    Beliau memberitahu, kapal tangki LPG berkenaan ditahan pukul 3.15 petang oleh bot ronda maritim semasa melaksanakan operasi rutin.

    “Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 16 kru lelaki termasuk nakhoda terdiri daripada lapan warga Korea Selatan dan lapan warga Indonesia berumur antara 21 hingga 52 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Pemeriksaan ke atas dokumen kapal mendapati nakhoda telah gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kapal itu seterusnya ditahan dan nakhoda beserta seorang kru dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

    Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan PerkapalanSaudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    Maritim Johor katanya, menasihatkan kepada pemilik atau pengusaha perkapalan agar sentiasa memastikan kapal-kapal di bawah seliaan mereka untuk mematuhi undang-undang dan peraturan di perairan negara.

  • Remaja buat laporan palsu elak didenda JPN

    Remaja buat laporan palsu elak didenda JPN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN seorang remaja wanita membuat aduan palsu kononnya kad pengenalannya hilang membawa padah apabila ditahan polis semalam.

    Suspek yang berusia 17 tahun ditahan oleh Ketua Balai Polis Nusa Bestari, Iskandar Puteri untuk siasatan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, siasatan mendapati suspek telah memberikan keterangan mencurigakan mengenai kejadian kehilangan kad pengenalannya.

    “Suspek kemudian mengaku memberi keterangan palsu dengan tujuan untuk membuat semula kad pengenalan baharu dan bagi mengelak dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

    “Kad pengenalan suspek hilang dipercayai akibat tercicir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

    Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat laporan palsu untuk kepentingan diri sendiri.

    “Polis akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada bagi mendakwa pelaku,” katanya.