LIMA remaja lelaki bawah umur ditahan selepas disyaki menjadi dalang dalam kegiatan curi motosikal di sekitar daerah Ampang Jaya.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kesemua lima remaja berusia antara 14 hingga 16 tahun itu ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar daerah Ampang Jaya bermula jam 6.30 petang hingga 11 malam Rabu lalu, mengikut laporan Berita Harian.

Tambah beliau, susulan penahanan kesemua suspek, polis menemui semula lapan motosikal yang dilarikan mereka, sekali gus menyelesaikan lapan kes yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan kumpulan itu.

Mengulas lanjut, katanya, siasatan mendapati kelima-lima suspek masih belajar di sekolah menengah sekitar daerah berkenaan dan mereka dipercayai menyasarkan motosikal jenis Honda EX5.

“Semua motosikal terbabit dicuri untuk kegunaan harian dan mereka mempunyai kemahiran untuk menghidupkan motosikal dengan teknik penyambungan wayar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, semua lima remaja terbabit direman sehingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here