Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan belian barangan online yang beroperasi dari sebuah banglo mewah tiga tingkat dalam serbuan di Batu Ferringhi, kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin.

Dalam serbuan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang itu, seramai 23 suspek warga Taiwan berusia antara 19 hingga 48 tahun turut ditahan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sindiket itu dipercayai baru beroperasi kira-kira sebulan lalu dan menawarkan produk pembelian online seperti beg tangan wanita, minyak wangi, kasut dan sebagainya.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek warga Taiwan itu ditawarkan bekerja di Pulau Pinang dengan gaji sebanyak RM7,000 sebulan.

“Bagaimanapun, mereka hanya menerima bayaran sebanyak RM5,000 kerana dipercayai turut ditipu oleh satu sindiket untuk datang bekerja di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di Bukit Mertajam hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, turut dirampas dalam serbuan itu adalah pelbagai barangan termasuk 46 buah telefon bimbit; laptop (14); Ipad (8); ‘walkie-talkie’ (6) dan kad prabayar (12).

Bagaimanapun jelas beliau, polis masih menyiasat jumlah kerugian serta sedang mengesan dalang sindiket itu kerana ketika serbuan, suspek dikatakan sempat memadam sebahagian daripada bahan bukti kes berkenaan.

“Namun, siasatan awal mendapati tidak ada rakyat Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan ini buat masa ini,” katanya.

Mohd. Shuhaily berkata, kesemua suspek direman selama enam hari bermula semalam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Jika sabit kesalahan jelas beliau, boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun selain dikenakan sebatan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat pembelian secara online selain melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan yang berlaku di sekitar kawasan kediaman masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here