Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 62 set bubu naga di tujuh lokasi berbeza di kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika barat Permatang Keriang, Penaga, antara pukul 4.40 hingga 6.40 petang semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bubu naga itu dikesan ketika rondaan rutin bot Maritim Malaysia yang menemukan beberapa pelampung mencurigakan di lokasi berkenaan.

Kata beliau, kesemua bubu naga dengan anggaran nilai RM7,500 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.
 
Tegasnya, penggunaan bubu naga merupakan peralatan penangkapan hasil laut yang diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif serta merosakkan ekosistem perairan dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tanbah Abd. Razak, masih terdapat individu yang berdegil menggunakan kaedah penangkapan hasil laut yang tidak dibenarkan dan Maritim Malaysia mengingatkan mereka supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

Semua bubu naga dengan anggaran nilai RM7,500 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut

Sehubungan itu tegasnya, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Pulau Pinang.

“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here