Category: Jenayah

  • Lelaki diberkas enam jam selepas meragut

    Lelaki diberkas enam jam selepas meragut

    POLIS berjaya memberkas seorang lelaki yang meragut telefon bimbit di sebuah stesen minyak di Jalan SS1/22, di Petaling Jaya Sabtu lalu.

    Suspek samun diberkas tanpa senjata api selepas hanya enam jam lelaki itu meragut telefon bimbit di sebuah stesen minyak di Jalan SS1/22, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 11 pagi semasa mangsa duduk menunggu di stesen minyak berkenaan sementara isterinya pergi mengundi.

    “Tiba-tiba datang sebuah motosikal nombor pendaftaran dan warna tidak pasti yang dinaiki seorang lelaki memakai baju berwarna kuning telah meragut telefon bimbit jenis Huawei Mate 20 milik mangsa.

    “Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah pergi ke balai untuk membuat laporan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamad Fakhruddin berkata, bertindak atas maklumat, mangsa bersama sepasukan polis dari Balai Sungai Way berjaya menahan suspek dalam satu serbuan di Jalan PJS 5/30, Petaling Jaya pada pukul 5.40 petang, Sabtu.

    “Sampai di lokasi, mangsa dan pasukan serbuan telah menahan seorang lelaki tempatan serta merampas barang kes yang disiasat.

    “Hasil soal siasat, suspek mengaku telah terlibat dalam kes yang diadu. Dipandu arah oleh suspek berkenaan, pasukan serbuan telah pergi ke sebuah rumah di sekitar Sungai Way,” katanya.

    Selain itu, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, pihak polis menemui pakaian yang digunakan suspek semasa meragut telefon bimbit mangsa dan turut merampas empat buah telefon bimbit dipercayai hasil kegiatan samun.

    Katanya, semakan rekod mendapati, suspek berkenaan mempunyai 22 rekod jenayah lampau dan satu berkaitan dadah.

    “Kejayaan tangkapan ini telah menyelesaikan tiga kes samun tanpa senjata api dalam daerah Petaling Jaya.

    “Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun tanpa senjata api),” ujar beliau.

  • Tiga ditahan disyaki ‘keldai akaun’

    Tiga ditahan disyaki ‘keldai akaun’

    POLIS menahan dua wanita dan seorang lelaki kerana disyaki menjadi ‘keldai akaun’ oleh sindiket penipuan dalam tawaran kerja sambilan dan urusan pelaburan melalui dalam talian yang tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa kerugian.

    Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya semua mereka berusia 26 hingga 48 tahun itu ditahan secara berasingan di Kedah dan Pulau Pinang, dua hari lepas.

    “Berdasarkan siasatan, tiga individu yang ditahan itu dipercayai menjadi ‘keldai akaun’ sindiket penipuan dan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah daripada RM13,220 sehingga RM61,946 membabitkan kes yang dilaporkan pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu memaklumkan tiga suspek itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat Seksyen 420 Kanun keseksaan.

    “Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara atau sambilan, Macau scam dan parcel scam yang kesemuanya dilalukan menerusi media sosial,” menurut kenyataan itu.

  • Video tular: Lelaki berkuda bawa bendera tiada kaitan ekstremis, pengganas

    Video tular: Lelaki berkuda bawa bendera tiada kaitan ekstremis, pengganas

    POLIS mengesahkan bendera yang dipegang sekumpulan lelaki berkuda sebagaimana video tular adalah bendera parti politik dan kalimah syahadah.

    Malah ia tiada kaitan dengan mana-mana gerakan ekstremis dan pengganas.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya mengesan sebuah video tular berdurasi 20 saat memaparkan kejadian sekumpulan leaki berkuda sambil memegang bendera di media sosial.

    Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di Kubang Semang, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dan dirakam pada 19 November lalu.

    “Polis kontinjen Pulau Pinang mengesahkan antara bendera dipegang adalah bendera parti politik dan juga bendera kalimah syahadah.

    “Siasatan lanjut juga mendapati ia tiada kaitan dengan mana-mana gerakan ekstremis dan pengganas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Shuhaily memberi amaran kepada orang ramai segera menghentikan spekulasi yang tidak memberikan manfaat dan boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

    Katanya, kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Kesalahan tersebut juga boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Sebelum ini tula video di media sosial menunjukkan sekumpulan penunggang kuda memegang bendera parti politik dan kalimah syahadah yang menimbulkan kebimbangan masyarakat.

  • ‘Superman Hew’ ditahan atas ucapan ceramah berbaur perkauman

    ‘Superman Hew’ ditahan atas ucapan ceramah berbaur perkauman

    BEKAS orang kuat DAP, Hew Kuan Yau ditahan polis susulan video tular ucapannya dalam sebuah ceramah Pakatan Harapan (PH) di Raub, Pahang pada Khamis lalu bahawa masyarakat Cina perlu mengambil kesempatan daripada perpecahan orang Melayu.

    Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan Hew, yang lebih dikenali sebagai “Superman Hew” ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang yang dibantu JSJ Bukit Aman di Puchong Jaya, Selangor hari ini.

    Katanya, Hew disiasat di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, iaitu mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan mendatangkan khianat awam.

    “Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Selepas video minggu lalu itu tular, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, kenyataan Hew itu bukan pendirian PH. Hew meninggalkan DAP pada 2016.

    Mengulas lanjut Ramli berkata, Hew turut disiasat di bawah seksyen sama atas ucapannya dalam sebuah ceramah di Taman Pandan Mawar, Melaka pada Jumaat lalu.

    Katanya, Hew ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan perintah reman akan dipohon terhadapnya.

    “Permohonan reman Seksyen 117 KPJ akan dipohon dan penama aakn ditahan di IPD Dang Wangi bagi pihak polis mendapatkan keterangan-keteranga lanjut,” tambahnya.

  • Budak perempuan 11 tahun maut didera bapa tiri

    Budak perempuan 11 tahun maut didera bapa tiri

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut dipercayai didera bapa tirinya di rumah mereka di Taman Sri Ramal, di Kajang, kelmarin.

    Kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis pada pukul 12.39 tengah malam tadi daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Serdang.

    Ketua Polis Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihak Jabatan Kecemasan dan Trauma Zon Merah hospital berkenaan sebelum itu telah menerima pesakit seorang kanak-kanak perempuan yang dibawa menggunakan ambulans dari rumahnya.

    “Kanak-kanak itu dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 11.33 malam. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

    “Hasil pemeriksaan bedah siasat pula mendapati punca kematian mangsa adalah dipercayai daripada kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan abdomen (perut) yang menyebabkan sehingga usus pecah.

    “Selain itu terdapat juga kesan-kesan cedera lebam di bahagian punggung, dada dan lengan tangan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, sepasukan anggota polis telah menahan seorang lelaki yang juga bapa tiri mangsa berusia 53 tahun di pekarangan hospital itu pada pukul 2.25 petang, Rabu.

    “Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku ada memukul mangsa sebelum ini dengan menggunakan tangan, kaki dan baldi di dalam tandas akibat marah dengan mangsa yang sering membuat masalah di rumah semasa ketiadaan ibu mangsa,” katanya.

    Mohd. Zaid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat tentang kes ini boleh menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Asisten Superintendan Ray Erindra Raj di talian 019-6616640 bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • MCA desak Ahmad Zahid lepas jawatan

    MCA desak Ahmad Zahid lepas jawatan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MCA mahu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) kerana tindakannya menggunakan surat BN kononnya 30 ahli Parlimen BN menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

    Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, ini kerana keputusan tersebut bercanggah dan tidak dibuat secara konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada hari ini.

    “Sebaliknya, Dewan Tertinggi BN kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini.

    “Apa yang berlaku dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi, MCA dan parti-parti komponen BN telah mempersoalkan tindakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat secara jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.

    “Pada mulanya beliau cuba menafikan mengenai surat tersebut, namun mengakuinya selepas salah seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelasnya, surat yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong itu secara jelas melanggar ketetapan yang dibuat Dewan Tertinggi BN dan dilihat mempersembahkan maklumat salah kepada Baginda.

    Justeru katanya, MCA percaya Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin BN sebagai Pengerusi dan sekali lagi menggesa agar beliau meletakkan jawatan secara terhormat.

    Tegasnya, Ahmad Zahid perlu digantikan dengan Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok mat seperti yang disarankan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi.

  • Zahid tipu Agong, kumpulan akar umbi UMNO buat laporan polis petang ini

    Zahid tipu Agong, kumpulan akar umbi UMNO buat laporan polis petang ini

    SEKUMPULAN akar umbi UMNO akan membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan dakwaan menipu Yang di-Pertuan Agong selepas tular surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM).

    Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu didakwa menghantar surat kepada Agong pada 22 November dengan mengatakan semua 30 Ahli Parlimen parti itu bersetuju untuk menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM Ke-10.

    Wakil kumpulan tersebut, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO dalam satu mesej kepada media memberitahu satu laporan polis akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya petang ini.

    “Satu laporan polis berkaitan Surat Pengerusi BN yang didakwa cuba menipu DYMM YDPA (Agong) dibuat di IPD Putrajaya pada jam 4.15 petang hari ini, 23 November 2022.

    “Mohon jasa baik dan bantuan pihak media untuk membuat liputan,” kata kenyataan ringkas tersebut, lapor Agenda Daily.

    Terdahulu, bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan Zahid cuba menipu Agong dan berkongsi salinan surat tular tersebut.

    Menurutnya kini tersebar surat daripada Presiden UMNO itu kepada Agong yang mendakwa mesyuarat BN pada 22 November memutuskan semua 30 ahli Parlimen mereka menyokong Anwar menjadi PM ke-10.

    “Agong cuba ditipu sekali lagi? Sekarang tersebar surat ini di media sosial,” kata Annuar.

  • Sindiket pengedaran dadah ketika musim PRU15 tumpas

    Sindiket pengedaran dadah ketika musim PRU15 tumpas

    SERAMAI 10 pengedar dadah yang mengambil kesempatan menjual pelbagai jenis dadah semasa kesibukan musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjaya ditahan polis menerusi beberapa serbuan.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, menerusi beberapa serbuan di sekitar Ipoh, pihaknya merampas beberapa jenis dadah yang beratnya lebih 13 kilogram.

    “Dadah-dadah jenis ketamin, ganja dan methamphetamine itu boleh digunakan kira-kira 23,000 penagih di sekitar Ipoh.

    “Kesemua kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati.

    “Yalah mungkin dalam kesibukan kita dalam menghadapi pilihan raya ini, mereka mungkin mengambil kesempatan untuk menjalankan pengedaran aktiviti dadah. Polis dapat menghidu kegiatan-kegiatan mereka ini dengan menangkap mereka ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

    Menurutnya, dalam kes pertama pukul 8 malam 13 November lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di Kampung Rapat dan merampas dadah jenis ketamin lebih satu kilogram yang bernilai RM151,350 di dalam sebuah kereta.

    Dalam kes kedua pula katanya, pada 14 November, polis menahan seorang lelaki berusi 31 tahun di Buntong dan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun di Lim Garden serta merampas ganja seberat 2.341 kilogram bernilai RM37,050.

    “Kes ketiga pula, polis menahan enam lelaki dan seorang perempuan berusia antara 26 hingga 48 tahun dalam dua serbuah di kawasan Sunway City pukul 1 pagi Selasa dan merampas 10.19 kilogram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM713,300.

    “Polis turut menyita pelbagai jenis harta termasuk dua buah motosikal, sebuah kereta, wang tunai dan barang kemas,” katanya lapor Astro Awani.

  • Polis terima 33 laporan nama, kad pengenalan diguna orang lain untuk mengundi pada PRU15

    Polis terima 33 laporan nama, kad pengenalan diguna orang lain untuk mengundi pada PRU15

    SEBANYAK 28 daripada 33 kertas siasatan berkaitan kes nama dan kad pengenalan digunakan individu lain untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah pun dibuka polis Pulau Pinang.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, semua kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu kesalahan menyamar sebagai pengundi sebenar.

    “Jika sabit kesalahan kes ini boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari dua tahun dan denda tidak lebih daripada RM5,000.

    “Kes ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan 76 laporan yang diterima polis Pulau Pinang sepanjang tempoh pelaksanaan PRU15 antara 5 hingga 19 November lalu.

    “Daripada jumlah itu, sebanyak 43 kertas siasatan dibuka dengan empat kes berjaya diselesaikan selepas empat suspek telah dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

    Sepanjang tempoh PRU15 juga, pihaknya menerima laporan berkaitan sebuah video yang tular dalam media sosial melibatkan seorang pemimpin parti politik yang menyentuh sensitiviti agama.

    Ujar beliau, lapan laporan polis turut diterima di negeri lain melibatkan video itu iaitu tiga di Kuala Lumpur; dua di Perak dan masing-masing satu laporan di Pahang; Kelantan dan Sabah.

    “Kes ini telah disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

    Dalam perkembangan berasingan Mohd. Shuhaily berkata, Polis Pulau Pinang turut menjalankan sekatan jalan raya (SJR) di 12 lokasi di seluruh negeri itu seperti yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula semalam.

    Ujarnya, SJR itu dibuka masing-masing sebanyak tiga di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Selatan (SPS); dua di Seberang Perai Tengah (SPT); empat di Seberang Perai Utara (SPU) dan satu di Barat Daya.

  • Polis tahan lapan warga asing menyamar pihak berkuasa lakukan samun

    Polis tahan lapan warga asing menyamar pihak berkuasa lakukan samun

    POLIS menahan sekumpulan warga asing yang menyamar sebagai anggota pihak berkuasa sebelum menyamun warga asing lain di Jalan Penang, Georgetown pada 15 November lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan manakala selebihnya warga Filipina termasuk seorang wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun.

    “Mereka ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga Bangladesh yang kerugian sebanyak RM14,800 selepas disamun sindiket berkenaan berhampiran sebuah kedai pengurup wang di Jalan Penang pada 13 November lalu.

    “Sindiket ini mula aktif bermula tahun ini dan turut melakukan jenayah ugutan dan samun terhadap warga asing tersebut di Kuala Lumpur dan Melaka selain di negeri ini” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinhen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

    Katanya, semua suspek warga asing itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan memasuki negara ini menggunakan visa pelancong.

    Malah ujar beliau, mereka turut menyewa dua buah kereta untuk menjalankan kegiatan jenayah samun tersebut.

    Menurut Mohd. Shuhaily, dengan tumpasnya sindiket itu, polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes samun melibatkan warga asing masing-masing tujug di negeri ini, dua kes di Kuala Lumpur dan satu kes di Melaka melibatkan kerugian sebanyak RM42,600.

    Selain wang tunai berjumlah RM6,265 dan mata wang asing Peso berjumlah 5,840, beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan daripada sindiket itu seperti 13 buah telefon bimbit; kad bank (33); pasport (2); jam tangan (4) dan gelang (2).

    “Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati kesemua mereka negatif dadah, namun suspek warga tempatan mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya.

    Semua suspek kini direman selama 10 hari sehingga esok dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.