SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut dipercayai didera bapa tirinya di rumah mereka di Taman Sri Ramal, di Kajang, kelmarin.

Kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis pada pukul 12.39 tengah malam tadi daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Serdang.

Ketua Polis Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihak Jabatan Kecemasan dan Trauma Zon Merah hospital berkenaan sebelum itu telah menerima pesakit seorang kanak-kanak perempuan yang dibawa menggunakan ambulans dari rumahnya.

“Kanak-kanak itu dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 11.33 malam. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

“Hasil pemeriksaan bedah siasat pula mendapati punca kematian mangsa adalah dipercayai daripada kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan abdomen (perut) yang menyebabkan sehingga usus pecah.

“Selain itu terdapat juga kesan-kesan cedera lebam di bahagian punggung, dada dan lengan tangan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis telah menahan seorang lelaki yang juga bapa tiri mangsa berusia 53 tahun di pekarangan hospital itu pada pukul 2.25 petang, Rabu.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku ada memukul mangsa sebelum ini dengan menggunakan tangan, kaki dan baldi di dalam tandas akibat marah dengan mangsa yang sering membuat masalah di rumah semasa ketiadaan ibu mangsa,” katanya.

Mohd. Zaid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat tentang kes ini boleh menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Asisten Superintendan Ray Erindra Raj di talian 019-6616640 bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here