SEKUMPULAN akar umbi UMNO akan membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan dakwaan menipu Yang di-Pertuan Agong selepas tular surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu didakwa menghantar surat kepada Agong pada 22 November dengan mengatakan semua 30 Ahli Parlimen parti itu bersetuju untuk menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM Ke-10.

Wakil kumpulan tersebut, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO dalam satu mesej kepada media memberitahu satu laporan polis akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya petang ini.

“Satu laporan polis berkaitan Surat Pengerusi BN yang didakwa cuba menipu DYMM YDPA (Agong) dibuat di IPD Putrajaya pada jam 4.15 petang hari ini, 23 November 2022.

“Mohon jasa baik dan bantuan pihak media untuk membuat liputan,” kata kenyataan ringkas tersebut, lapor Agenda Daily.

Terdahulu, bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan Zahid cuba menipu Agong dan berkongsi salinan surat tular tersebut.

Menurutnya kini tersebar surat daripada Presiden UMNO itu kepada Agong yang mendakwa mesyuarat BN pada 22 November memutuskan semua 30 ahli Parlimen mereka menyokong Anwar menjadi PM ke-10.

“Agong cuba ditipu sekali lagi? Sekarang tersebar surat ini di media sosial,” kata Annuar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here