Category: Jenayah

  • Suami isteri ‘tokan’ dadah ditahan

    Suami isteri ‘tokan’ dadah ditahan

    CUBAAN sepasang suami isteri dipercayai pengedar dadah melarikan diri ketika serbuan polis gagal apabila berjaya ditahan di sebuah rumah di Taman Baiduri di Tumpat, semalam.

    Kedua-dua suspek berusia 41 dan 39 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 pagi dan hasil serbuan polis menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM14,330.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah, bertindak atas maklumat dadah, sepasukan pegawai bersama anggota Narkotik Tumpat dan Balai Tumpat membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Baiduri di sini.

    Katanya, semasa serbuan seorang lelaki dan seorang wanita berada di ruang tamu dalam keadaan mencurigakan.

    “Mereka enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan

    “Hasil pemeriksaan menjumpai 13 biji pil kuda, 29 gram (g) heroin dan 14g ganja yang keseluruhan bernilai RM14,330,” katanya dalam
    satu kenyataan hari ini.

    Amran berkata, polis juga membuat sitaan wang tunai berjumlah RM9,837, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah motosikal
    jenis Honda Vario 150.

    “Turut dirampas ialah dua gelang tangan dan dua bentuk cincin keemasan dan perak serta sebentuk cincin warna keemasan.

    “Hasil ujian urin suspek lelaki dapati positif dadah jenis opiate dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes narkotik manakala wanita tersebut negatif dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Amran berkata, mereka ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 12(2), 6 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Suspek muat naik video berunsur perkauman bebas dengan jaminan

    Suspek muat naik video berunsur perkauman bebas dengan jaminan

    PEMILIK akaun Twitter yang ditahan polis kerana disyaki memuat naik video berunsur perkauman di media sosial, Khamis lalu, dibebaskan dengan jaminan polis.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, ia susulan tempoh reman ke atas lelaki tersebut tamat, hari ini.

    “Seterusnya, PDRM melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas, akan merujuk kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara menurut peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, setelah siasatan dilengkapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana memuat naik video yang menjurus kepada unsur perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan kaum di aplikasi TikTok.

  • Dituduh jalin hubungan sulit, warga emas maut ditikam berkali-kali

    Dituduh jalin hubungan sulit, warga emas maut ditikam berkali-kali

    SEORANG lelaki warga emas meninggal dunia akibat ditikam berkali-kali selepas dituduh mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang.

    Mangsa berusia 71 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan berkaitan kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Serdang berkaitan kejadian pukul 6.29 petang semalam.

    Menurutnya, mangsa dibawa ke hospital berkenaan oleh seorang rakan perempuan dengan kecederaan di badan dan paha akibat ditikam.

    “Mangsa sempat memaklumkan kepada pengadu bahawa dia diserang dan ditikam di sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussien Onn, Kajang.

    “Hasil rawatan awal, mangsa mengalami kecederaan serius di paru-paru kerana ditikam selain di peha serta bahu.

    “Mangsa ditempatkan di wad dan menggunakan alat bantuan pernafasan namun pada pukul 11.05 malam hari yang sama, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya pada kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil maklumat, pada pukul 1.35 pagi tadi, anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan pasangan suami isteri di sekitar Hospital Serdang dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

    “Suspek wanita berusia 45 tahun manakala suspek lelaki pula berumur 51 tahun,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mohd. Zaid berkata, suspek lelaki mengaku mencederakan mangsa di kawasan parkir kenderaan pasar raya di Bandar Tun Hussien Onn.

    “Hasil siasatan awal, punca kejadian disebabkan suspek marah kerana mangsa ada hubungan intim antara isterinya.

    “Ketika kejadian, suspek mendakwa, mangsa dan isterinya berada berdua dalam kenderaan di lokasi kejadian,” katanya.

    Polis turut merampas barangan termasuk kenderaan mangsa, empat telefon bimbit, pakaian suspek serta resit pembelian senjata pisau bagi membantu siasatan.

    Kedua-dua suspek direman sehingga 2 Disember ini bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan saksi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Redzuan Salleh di talian 013-7854100 atau balai polis berhampiran.

  • Kaut gamat: Warga Vietnam, Indonesia ditahan

    Kaut gamat: Warga Vietnam, Indonesia ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan menahan sebuah bot nelayan tempatan atas kesalahan melakukan aktiviti perikanan tanpa permit yang sah di perairan Labuan, semalam.

    Pengarahnya Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata semasa menjalankan rondaan rutin, kapal ronda KM Bistari telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan sedang melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 31.2 batu nautika dari Labuan.

    Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit sedang melakukan aktiviti menangkap gamat menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan. 

    Bot yang berpangkalan di Sarawak itu dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama lima kru warganegara Vietnam dan seorang kru warganegara Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 44 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Bot, nakhoda kapal bersama kesemua kru ditahan dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.

    “Penggunaan peralatan yang tidak dibenarkan itu mampu menyebabkan kerosakan pada ekosistem serta pembiakan hidupan laut,” katanya.

    Beliau berkata komuniti maritim dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang sedia ada bagi mengelakkan daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara dan melaporkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087- 427999 atau melalui talian kecemasan MERS 999.

  • Tak sempat joli duit tabung masjid, lelaki ditahan polis

    Tak sempat joli duit tabung masjid, lelaki ditahan polis

    SEORANG lelaki tidak sempat berjoli membelanjakan wang tabung masjid yang dicurinya apabila dia ditahan polis di belakang sebuah kompleks beli belah di Lebuhraya Darulaman, di Alor Setar, hari ini.

    Suspek ditahan pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kota Setar pada pukul 1 tengah hari.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berdasarkan siasatan, suspek lelaki berusia 21 tahun tersebut dipercayai mencuri wang tabung masjid di Pokok Sena, semalam.

    Katanya, hasil risikan yang dijalankan sejurus laporan diterima, polis telah menggerakkan usaha mengesan suspek yang dipercayai bergerak solo itu berjaya dikesan URB.

    “Anggota URB menahan suspek di lokasi dan merampas satu plastik hitam mengandungi beberapa keping wang tunai bernilai RM640 daripada suspek.

    “Suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Curi Dalam Bangunan).

  • Piala Dunia: 10 ejen bookie pertaruhan ditahan

    Piala Dunia: 10 ejen bookie pertaruhan ditahan

    10 individu yang bertindak sebagai ejen bookie pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022 ditahan Polis Kontinjen Johor dalam tempoh Isnin hingga semalam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua suspek ditahan dalam 10 serbuan di seluruh negeri ini menerusi operasi Op Soga IX.

    Menurutnya, mereka yang ditahan semuanya adalah lelaki berusia antara 22 hingga 43 tahun.

    “Had nilai kredit keseluruhan mencecah sehingga lebih RM1.059 juta, manakala wang tunai yang dirampas berjumlah RM9,730.

    “Kita turut merampas 10 telefon bimbit termasuk kad sim dan sebuah buku memo pad yang mempunyai catitan disyaki pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Beliau berkata, semua tangkapan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3), Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953.

    Kamarul Zaman berkata, Op Soga IX itu diadakan bagi membanteras gejala perjudian dan pertaruhan yang membabitkan kejohanan piala dunia itu.

    “Fokus utama operasi khas ini adalah untuk mencegah dan membanteras kegiatan catit taruh sempena Piala Dunia Qatar 2022 bagi menahan individu yang bertindak sebagai bookie atau ‘punter’ dan juga tempat menjalankan judi bola sepak.

    “Pelaksanaan penugasan Op Soga IX ini merujuk kepada peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

  • Remaja lelaki diberkas kes cabul kanak-kakak dalam lif

    Remaja lelaki diberkas kes cabul kanak-kakak dalam lif

    SEORANG kanak-kanak perempuan menjadi mangsa cabul ketika berada di dalam lif di sebuah kediaman dekat Putrajaya semalam.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian itu diceritakan mangsa berusia 12 tahun kepada ibunya pada pukul 8.20 pagi.

    “Mangsa memberitahu ketika menaiki lif dari aras G untuk ke tingkat lapan, dia telah diraba dan pipinya dicium oleh suspek lelaki.

    “Suspek kemudian dikatakan terus lari di tingkat empat blok kediaman itu dan turun ke tingkat G sebelum menghilangkan diri dengan menaiki kereta,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, susulan kejadian itu, satu laporan dibuat ibu mangsa di Balai Polis Presint 7 Putrajaya, hari ini.

    “Siasatan awal mendapati suspek berusia 19 tahun itu dikatakan pernah menjadi anak murid kepada ibu mangsa di sebuah sekolah di Putrajaya,” katanya.

    Bertindak hasil maklumat ujarnya, remaja lelaki terbabit berjaya diberkas di Pasar Kajang pada petang tadi.

    Tambahnya, reman akan dipohon esok untuk siasatan kes di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

  • Pemilik akaun Twitter Zulfadzli@bumilangit ditahan

    Pemilik akaun Twitter Zulfadzli@bumilangit ditahan

    PEMILIK akaun Twitter menggunakan nama Zulfadzli@bumilangit yang memuat naik video mengandungi unsur perkauman di media sosial ditahan polis, hari ini.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

    “Lelaki itu direman bermula hari ini hingga 26 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Baru-baru ini pemilik akaun Twitter tersebut difahamkan memuat naik video TikTok yang tular yang menjurus kepada unsur perkauman sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum.- BERNAMA

  • Bapa tiri disyaki dera anak hingga maut direman lima hari-Polis

    Bapa tiri disyaki dera anak hingga maut direman lima hari-Polis

    BAPA tiri yang disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun hingga mati di Taman Sri Ramal, Kajang direman selama lima hari bermula hari ini hingga 28 Nov.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata lelaki berusia 53 tahun itu direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Serdang pada 12.39 tengah malam 22 Nov lepas berhubung seorang kanak-kanak perempuan yang dibawa ke hospital itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    Mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital dan menerusi bedah siasat dijalankan doktor semalam, punca kematian kanak-kanak itu dipercayai daripada kesan hentakan objek tumpul pada bahagian kepala dan abdomen (perut) yang menyebabkan ususnya pecah.

    Susulan itu, seorang lelaki tempatan ditahan di pekarangan Hospital Serdang pada 2.25 petang semalam.

  • 5 ahli politik ditahan bantah kerjasama GPS-PN

    5 ahli politik ditahan bantah kerjasama GPS-PN

    PRESIDEN Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan bersama empat lagi pemimpin parti itu ditahan di Kuching, semalam, kerana terbabit dalam bantahan terhadap kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Perikatan Nasional (PN).

    Lapor Berita Harian, kesemua ahli politik itu difahamkan menaiki lima kenderaan berkonvoi sekitar bandar raya ini sambil melaungkan ‘Say no to PAS’ petang kelmarin.

    Bantahan itu diadakan kerana parti terbabit tidak menerima Pas yang menjadi komponen utama PN.

    Sumber berkata, kelima-lima ahli politik itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga, di Kuching, kira-kira pukul 11 malam tadi.

    Jurucakap polis berkata, siasatan terhadap lima ahli politik itu dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Lee Shan dalam hantaran di akaun Facebooknya berkata, mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk mendapatkan perintah tahanan reman, hari ini.

    Ahad lalu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, mengumumkan keputusan GPS untuk menyertai kerajaan campuran bersama PN, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).