SEORANG lelaki tidak sempat berjoli membelanjakan wang tabung masjid yang dicurinya apabila dia ditahan polis di belakang sebuah kompleks beli belah di Lebuhraya Darulaman, di Alor Setar, hari ini.

Suspek ditahan pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kota Setar pada pukul 1 tengah hari.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berdasarkan siasatan, suspek lelaki berusia 21 tahun tersebut dipercayai mencuri wang tabung masjid di Pokok Sena, semalam.

Katanya, hasil risikan yang dijalankan sejurus laporan diterima, polis telah menggerakkan usaha mengesan suspek yang dipercayai bergerak solo itu berjaya dikesan URB.

“Anggota URB menahan suspek di lokasi dan merampas satu plastik hitam mengandungi beberapa keping wang tunai bernilai RM640 daripada suspek.

“Suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Curi Dalam Bangunan).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here