10 individu yang bertindak sebagai ejen bookie pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022 ditahan Polis Kontinjen Johor dalam tempoh Isnin hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua suspek ditahan dalam 10 serbuan di seluruh negeri ini menerusi operasi Op Soga IX.

Menurutnya, mereka yang ditahan semuanya adalah lelaki berusia antara 22 hingga 43 tahun.

“Had nilai kredit keseluruhan mencecah sehingga lebih RM1.059 juta, manakala wang tunai yang dirampas berjumlah RM9,730.

“Kita turut merampas 10 telefon bimbit termasuk kad sim dan sebuah buku memo pad yang mempunyai catitan disyaki pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua tangkapan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3), Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953.

Kamarul Zaman berkata, Op Soga IX itu diadakan bagi membanteras gejala perjudian dan pertaruhan yang membabitkan kejohanan piala dunia itu.

“Fokus utama operasi khas ini adalah untuk mencegah dan membanteras kegiatan catit taruh sempena Piala Dunia Qatar 2022 bagi menahan individu yang bertindak sebagai bookie atau ‘punter’ dan juga tempat menjalankan judi bola sepak.

“Pelaksanaan penugasan Op Soga IX ini merujuk kepada peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here