SEORANG lelaki warga emas meninggal dunia akibat ditikam berkali-kali selepas dituduh mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang.

Mangsa berusia 71 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan berkaitan kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Serdang berkaitan kejadian pukul 6.29 petang semalam.

Menurutnya, mangsa dibawa ke hospital berkenaan oleh seorang rakan perempuan dengan kecederaan di badan dan paha akibat ditikam.

“Mangsa sempat memaklumkan kepada pengadu bahawa dia diserang dan ditikam di sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussien Onn, Kajang.

“Hasil rawatan awal, mangsa mengalami kecederaan serius di paru-paru kerana ditikam selain di peha serta bahu.

“Mangsa ditempatkan di wad dan menggunakan alat bantuan pernafasan namun pada pukul 11.05 malam hari yang sama, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat, pada pukul 1.35 pagi tadi, anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan pasangan suami isteri di sekitar Hospital Serdang dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

“Suspek wanita berusia 45 tahun manakala suspek lelaki pula berumur 51 tahun,” katanya, lapor Harian Metro.

Mohd. Zaid berkata, suspek lelaki mengaku mencederakan mangsa di kawasan parkir kenderaan pasar raya di Bandar Tun Hussien Onn.

“Hasil siasatan awal, punca kejadian disebabkan suspek marah kerana mangsa ada hubungan intim antara isterinya.

“Ketika kejadian, suspek mendakwa, mangsa dan isterinya berada berdua dalam kenderaan di lokasi kejadian,” katanya.

Polis turut merampas barangan termasuk kenderaan mangsa, empat telefon bimbit, pakaian suspek serta resit pembelian senjata pisau bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek direman sehingga 2 Disember ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan saksi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Redzuan Salleh di talian 013-7854100 atau balai polis berhampiran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here