SEORANG kanak-kanak perempuan menjadi mangsa cabul ketika berada di dalam lif di sebuah kediaman dekat Putrajaya semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian itu diceritakan mangsa berusia 12 tahun kepada ibunya pada pukul 8.20 pagi.

“Mangsa memberitahu ketika menaiki lif dari aras G untuk ke tingkat lapan, dia telah diraba dan pipinya dicium oleh suspek lelaki.

“Suspek kemudian dikatakan terus lari di tingkat empat blok kediaman itu dan turun ke tingkat G sebelum menghilangkan diri dengan menaiki kereta,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, satu laporan dibuat ibu mangsa di Balai Polis Presint 7 Putrajaya, hari ini.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 19 tahun itu dikatakan pernah menjadi anak murid kepada ibu mangsa di sebuah sekolah di Putrajaya,” katanya.

Bertindak hasil maklumat ujarnya, remaja lelaki terbabit berjaya diberkas di Pasar Kajang pada petang tadi.

Tambahnya, reman akan dipohon esok untuk siasatan kes di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here