Category: Politik

  • UMNO sasar peratusan keluar mengundi rendah untuk menang PRN Johor

    UMNO sasar peratusan keluar mengundi rendah untuk menang PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UMNO menyasarkan peratusan keluar mengundi bawah 65 peratus bagi membolehkan mereka menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, bagi memastikan sasaran tersebut tercapai UMNO perlu melakukan usaha pembubaran DUN dan mereka sudah pun berjaya melakukannya Sabtu lalu.

    Beliau yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, usaha pembubaran DUN sudah lama dirancang ‘war room’ UMNO dan kini dilihat masa yang paling sesuai berbuat demikian.

    Jelas Suhaizan, UMNO mendapat banyak peluang dan kelebihan DUN dibubarkan.

    “UMNO juga tahu jika PRN diadakan dalam situasi semasa, peratusan penduduk keluar mengundi di bawah 65 peratus akan memanfaatkan mereka.

    “Apa yang berlaku di Johor hari ini memang sudah dirancang oleh UMNO melalui Timbalan Presidennya, Datuk Mohamad Hassan yang menyatakan parti itu akan menang besar sekiranya peratusan keluar mengundi rendah.

    “Itu memang hajat UMNO dan kini mereka mahu merealisasikannya, sementara negeri Johor dan rakyatnya menjadi mangsa keadaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Suhaizan berkata, apa yang dilakukan itu merupakan satu tindakan tidak bermoral kerana pelbagai agenda yang memanfaatkan rakyat tertangguh akibat pembubaran DUN.

    Sebelum ini, Mohamad dilaporkan berkata, pihaknya tidak menafikan kemenangan kemenangan besar UMNO dalam PRN Melaka lalu kerana berjaya memanfaatkan situasi semasa dan peratusan keluar mengundi yang rendah.

    PRN Johor mendapat tentangan banyak pihak yang menganggap bakal diadakan dalam keadaan yang tidak sesuai kerana negeri ini masih dibelenggu Covid-19 selain baru pulih daripada banjir.

  • UMNO itik patah kaki mahu berenang sendiri, sindir Hadi

    UMNO itik patah kaki mahu berenang sendiri, sindir Hadi

    itik patah kaki

    PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyindir UMNO yang disifatkan bersikap seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

    Beliau mengulas tentang tindakan UMNO memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar yang ditempuh Muafakat Nasional (MN).

    “Tapi malangnya, kita bukan nak ajar itik berenang. Kita nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki, pilihan raya (ke) 14.

    “Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.

    “Malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul,” katanya ketika menjawab soalan pemberita dalam rakaman video yang dimuat naik melalui laman Facebook miliknya, hari ini.

    Ahli Parlimen Marang itu menegaskan kembali pendirian PAS untuk meneruskan kerjasama dalam kerangka MN dan Perikatan Nasional (PN).

    Beliau percaya bahawa MN sepatutnya turut dianggotai Bersatu dan parti-parti bukan Melayu.

    Abdul Hadi mendakwa, perkara itu sudah pun dipersetujui sebelum ini bagi menggantikan Barisan Nasional (BN) yang dianggap tidak lagi relevan.

    “Kalau PAS dan UMNO sahaja, perpaduan Melayu sahajalah. Mana kaum lain? Mana orang lain?” soalnya.

    Hubungan antara PAS dan UMNO semakin meruncing apabila BN Johor memutuskan untuk bertanding secara solo pada PRN Johor.

    PAS juga menolak tawaran kerusi boleh menang yang ditawarkan UMNO sekali gus meningkatkan kemungkinan senario PRN Melaka di mana calon-calon PAS dan UMNO bertembung akan berulang.

  • PRN Johor:Adik MB Selangor hasrat tumbangkan MB Johor di DUN Benut

    PRN Johor:Adik MB Selangor hasrat tumbangkan MB Johor di DUN Benut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ADIK kepada Menteri Besar Selangor iaitu Aziz Shari berhasrat menumbangkan Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad dengan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Aziz, 33, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pontian akan menentang Hasni yang sudah menjadi wakil rakyat Benut sejak tiga penggal lalu dengan rekod tanpa kekalahan.

    Menurut Aziz, PKR akan meletakkan calon di kerusi tersebut selepas sebelum ini ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Bagaimanapun, anak jati Benut itu berkata, semua keputusan terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.

    “Jika kepimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) memilih saya sebagai calon di DUN Benut, saya akan menerimanya. Tetapi jika sebaliknya, saya terima dengan hati yang terbuka.

    “Saya memang berasal dari Kampung Asam Kumbang Benut. Saya cukup mengenali selok belok masyarakat di Benut dan sentiasa mencurahkan bakti membantu mereka selama ini,” katanya ketika dihubungi.

    Adik kepada Datuk Seri Amirudin Shari itu mengakui tidak gentar bertanding di DUN Benut meskipun kerusi terbabit merupakan kubu kuat UMNO sejak sekian lama sebaliknya sudah bersedia.

    “Dalam politik, perlu sentiasa bersedia dan jangan takut. Bagi saya, peluang untuk anak muda bertanding perlu dilihat sebagai kelebihan. Bagaimanapun, saya menghormati Datuk Ir. Hasni Mohammad yang lebih berpengalaman daripada saya,” katanya.

    Aziz yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan pernah bekerja di Majlis Daerah Pontian (MDP) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkata, sejak PRU-14 sudah bersama-sama jentera AMK Pontian mendekati masyarakat di Benut dan daerah Pontian keseluruhannnya.

    DUN Benut merupakan satu daripada dua kerusi DUN dalam Parlimen Pontian selain DUN Pulai Sebatang.

    Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor merupakan penyandang di DUN Benut selama tiga penggal sejak PRU-12 pada 2008.

    Pada PRU-14 lalu, Hasni menewaskan menewaskan Zulkifly Tasrep (Bersatu) dan Mohd. Firdaus Jaafar (Pas) dengan majoriti 4,447 undi.

  • Tolak tawaran 4 kerusi dari UMNO, PAS bukan minta sedekah – Hadi

    Tolak tawaran 4 kerusi dari UMNO, PAS bukan minta sedekah – Hadi

    PAS menolak empat kerusi yang ditawarkan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut menegaskan bahawa PAS tidak akan ‘meminta sedekah’ untuk mendapatkan kerusi.

    “Melaka nak beri dua kerusi. Johor nak beri empat… Takkan kita minta sedekah kerusi-kerusi ini? PAS bukan minta sedekah.

    “PAS ada kekuatan sendiri,” katanya ketika menjawab soalan pemberita dalam rakaman video yang dimuat naik melalui laman Facebook miliknya, hari ini.

    Sebelum ini, dalam satu rakaman video yang tular, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad mendedahkan, UMNO menawarkan empat daripada 56 kerusi boleh menang kepada PAS namun PAS dikatakan tidak bersetuju kerana lebih berminat dengan tawaran 15 kerusi daripada Bersatu.

    Pada masa yang sama, Abdul Hadi mendakwa, kluster mahkamah dalam UMNO merancang pilihan raya di beberapa negeri untuk kembali berkuasa.

    “Kalau kita ada moral, lawan saja di mahkamah. Jangan susahkan rakyat. Ini nak susahkan rakyat dengan pilihan raya. Nak selamatkan diri dia susahkan rakyat,” jelasnya.

    Ahli Parlimen Marang itu mengingatkan UMNO supaya tidak meneruskan strategi sedemikian di negeri-negeri lain kerana ‘ada batas dan sempadannya’.

    “Tapi kita tak mahu nak main-main kerana kita nak menyatukan umat. Tetapi kalau UMNO nak ambil strategi panjang-panjang, kita ada strategi juga.

    “Bila tiba masanya kita akan buat strategi ini,” katanya lagi.

    Abdul Hadi menambah, PAS mempunyai kekuatan sendiri dengan 197 kawasan serta sejuta ahli di seluruh negara, di mana kira-kira 800,000 orang aktif dalam kegiatan turun padang.

    “Banjir di Pahang, banjir di selangor, banjir di Johor. Jentera-jentera PAS turun.

    “Orang lihat. Ada yang bina rumah yang rosak satu malam saja siap rumah,” ujarnya.

  • PKR berlagak seperti abang besar, tempelak Pejuang Muda

    PKR berlagak seperti abang besar, tempelak Pejuang Muda

    PEMUDA Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang Muda) mendakwa jemputan Majlis Presiden PH baru-baru ini agar semua parti pembangkang bekerjasama adalah tidak ikhlas.

    Naib Ketua Pejuang Muda, Nik Fathurahman Nik Rasli berkata, walaupun idea itu, yang disifatkannya sebagai satu ‘payung besar’, tampak baik dari segi teori dan lunak didendang sebagai panggilan bertindak, ia tidak lebih sekadar retorik politik.

    Beliau mendakwa, ini kerana sikap ‘abang besar’ yang ditunjukkan PKR dan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta ‘konco-konco reformisnya’ menjadi penghalang utama yang menghindarkan parti pembangkang lain daripada terlibat.

    “Ini dibuktikan melalui tindakan PKR yang mahu menggunakan logonya sendiri berbanding logo PH. Malah, saya difahamkan Anwar belum lagi menghubungi mana-mana kepimpinan Pejuang untuk rundingan.

    “Kenyataan bersama Presiden Amanah dan Setiausaha Agung DAP hari ini yang seolah-olah kecewa namun terpaksa akur juga adalah petunjuk kejelikan mereka kepada sikap ‘abang besar’ PKR,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Nik Fathurahman mengulas kenyataan Majlis Presiden PH yang sebelum ini mencadangkan parti-parti pembangkang bekerjasama untuk berdepan pilihan raya negeri (PRN) Johor.

    Beliau memberitahu, gagasan ‘payung besar’ ternyata hanya halwa mulut.

    “Anwar mahu strategi ‘payung besar’ gagal, justeru dengan sengaja mencari jalan bagi mensabotaj idea yang asalnya datang dari DAP dan Amanah.

    “Berani saya katakan juga, bahawa PKR atau Anwar mahu keseluruhan struktur dan kewujudan PH itu gagal,” katanya lagi.

  • Tiada kesan pun Mazlan keluar Bersatu – Che’gu Bard

    Tiada kesan pun Mazlan keluar Bersatu – Che’gu Bard

    BERSATU sedikit pun tidak terjejas dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wangsa Puteri, Mazlan Bujang keluar parti.

    Pengarah Operasi Jabatan Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin berkata, Mazlan sudah sangat lama tidak bergerak bersama parti.

    Beliau mendakwa, jentera parti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan sejak dari awal menjalankan khidmat masyarakat secara berasingan tanpa Mazlan.

    “Malah beberapa program dia dia kelihatan lebih selesa bersama bergerak bersama UMNO dari bersama Bersatu yang juga di mana abangnya merupakan pimpinan UMNO bahagian.

    “Maka Bersatu kawasan tersebut sudah sedia dari awal mempersiapkan jentera sendiri dan kini kawasan Tebrau dipangku oleh Timbalan Ketua Bahagian, Kamaruzzam Abu yang sebelum ini aktif sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersatu Tebrau,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Hari ini, Mazlan dalam sidang media mengumumkan beliau meninggalkan Bersatu dan menyokong Barisan Nasional (BN) di Johor.

    Badrul Hisham turut mendakwa, Mazlan mula buat perangai apabila tidak dicalonkan sebagai Menteri Besar Johor semasa era Pakatan Harapan (PH) dahulu.

    “Kerana itu dia ada masalah peribadi dengan Tan Sri Presiden Bersatu dan mula menyerang dan memperkecilkan Presiden dengan kawan-kawan yang ditemui,” dakwanya.

    Sementara itu, Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi menegaskan pendirian menolak mana-mana bekas ADUN Bersatu yang ingin menyertai semula UMNO.

    “Tindakan ini tidak lain bertujuan untuk mempertahankan kerusi DUN tersebut dengan menggunakan UMNO sebagai medan perjuangan mereka,” jelasnya.

    Dengan penolakan tersebut, Mazlan bakal berdepan kesukaran untuk dicalonkan mewakili BN pada PRN Johor dan tindakannya keluar Bersatu hanya menyempitkan lagi peluangnya untuk terus bergiat aktif dalam politik kepartian.

  • ‘Hasni jangan kelirukan rakyat’-Bersatu Johor

    ‘Hasni jangan kelirukan rakyat’-Bersatu Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ALASAN Barisan Nasional (BN) mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk mahu menyingkirkan wakil Perikatan Nasional (PN) dalam pentadbiran kerajaan negeri kononnya kerana mahu memulihkan ekonomi dan memajukan Johor adalah tidak benar sama sekali.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri menegaskan, tindakan UMNO membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menggunakan alasan tersebut adalah suatu yang remeh dan tidak masuk akal bagi sebuah parti berusia 76 tahun.

    Beliau menegaskan, barisan Exco daripada Bersatu sentiasa bekerja keras untuk membangunkan negeri sekali gus menyokong aspirasi bajet negeri 2022 tetapi malangnya PN digambarkan menjadi punca kemerosotan ekonomi Johor.

    “Saya nak komen pasal (slogan) nak pulihkan ekonomi. Jangan kelirukan rakyat. Saya juga ahli Exco. Kita ada data. PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana penularan Covid-19) yang menyebabkan kita terjejas daripada segi ekonomi dan pelaburan.

    “Akibatnya ramai rakyat kita (Johor) tidak dapat bekerja di Singapura. Warga Singapura tidak dapat masuk ke Johor Bahru, sebab itu banyak kedai dan restoran ditutup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau mengulas tindakan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang tampil dengan slogan Matlamat BN: Majoriti 2/3, Maju Negeri, Pulih Ekonomi pada kain rentang semasa bergambar bersama-sama barisan kepemimpinan tertinggi UMNO dan ketua bahagian di Johor Bahru kelmarin.

    Mohd. Solihan berkata, sejak Hasni mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, tiada kemasukan pelaburan yang memberangsangkan.

    “Sejak Hasni pimpin pun berapa banyak pelaburan yang dia berjaya bawa masuk ke Johor? Jadi bukan satu alasan yang kukuh untuk pulihkan ekonomi dengan membubarkan DUN Johor untuk memberi laluan PRN,” katanya.

    Beliau menegaskan, Exco dan wakil rakyat PN komited menyokong serta mendokong kerajaan negeri diterajui UMNO.

    Malah katanya, dalam banyak perkara kritikal wakil pembangkang turut bersama-sama kerajaan negeri termasuk menyokong kelulusan Bajet Johor 2022 walaupun berlaku defisit pada akaun negeri.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor itu menambah, berikutan terkesan teruk akibat Covid-19, bajet negeri mahupun Persekutuan banyak diperuntukan untuk membantu rakyat, menyokong komuniti perniagaan serta melaksanakan pemulihan ekonomi.

    “Kami akur, situasai ini mendorong proses pembangunan menjadi perlahan manakala pertumbuhan ekonomi terjejas. Tapi, janganlah gambarkan PN menjadi puncanya,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang itu.

    Bersatu juga katanya, mengulangi kekesalan dengan sikap UMNO yang membelakangkan prinsip perkongsian kuasa dengan PN dalam kerajaan negeri, dalam soal keputusan membubarkan DUN Johor bagi membolehkan PRN diadakan.

    “Sikap dan tindakan ini hanya menguntungkan sebelah pihak,” katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ledang.

  • Bersatu nafi laporan berkenaan intipati mesyuarat MPT

    Bersatu nafi laporan berkenaan intipati mesyuarat MPT

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan laporan media yang melaporkan intipati mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) berkenaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan kelmarin.

    Menurut Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, laporan tersebut telah memetik sumber yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan juga bukan kenyataan rasmi daripada Bersatu.

    “Saya ada dalam Bersatu pada malam 25 Januari 2022, saya dengan ini menafikan laporan yang kononnya merupakan intipati perbincangan mesyuarat tersebut berhubung PRN Johor 2022.

    “Sebarang kenyataan berhubung ketetapan Bersatu bagi PRN Johor 2022 hanya dikeluarkan melalui saluran rasmi parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak menyebut secara khusus isi kandungan laporan asal yang dinafikan.

    Berdasarkan perkembangan semasa, terdapat laporan daripada sebuah akhbar berbahasa Melayu yang memetik sumber menyatakan bahawa terdapat dua strategi dibangkitkan dalam mesyuarat MPT Bersatu bagi mendepani Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor.

    Laporan itu menyebut, strategi tersebut ialah menjalankan kerjasama dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) tanpa DAP, sementara strategi kedua adalah tindakan menarik sokongan daripada kerajaan sedia ada.

  • Status ‘underdog’ tidak bermakna PN beri laluan mudah kepada BN

    Status ‘underdog’ tidak bermakna PN beri laluan mudah kepada BN

    WALAUPUN dianggap ‘underdog’, Perikatan Nasional (PN) tidak akan memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Memetik laporan BH, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menunjukkan rakyat menolak parti berkenaan adalah antara faktor yang perlu diambil kira.

    “Saya ambil pendirian bahawa walaupun PN ‘underdog’, kita tidak boleh memberi laluan mudah kepada UMNO untuk membentuk kerajaan negeri begitu sahaja.

    “Saya mengingatkan dalam PRU pun mereka kalah dan dapat dilihat orang Johor sudah bertindak begitu yang membuktikan mereka (rakyat) peka tentang apa yang mereka mahu,” katanya di Pagoh hari ini.

    Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Bersatu Johor menyifatkan tindakan yang dilakukan Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang yang keluar parti tidak menjejaskan parti berkenaan menghadapi PRN Johor.

    Menurut Muhyiddin, tindakan berkenaan tidak memberi apa-apa kesan kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah terbubar.

    “Mana maruah dia, mengapa dia bersikap begitu dan baru sekarang hendak cakap soal itu ini. Boleh jadi dia sudah tahu tidak akan menjadi calon mungkin.

    “Dia nak masuk UMNO? Dia fikir UMNO akan calonkan dia? Bagi saya apa yang dia buat sudah tidak penting kerana kalau dia cakap awal-awal sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar, itu cerita lain.

    “Sekarang ini sudah tidak jadi apa dan hanya tinggal sejarah sahaja lah. Dia nak keluar dan bawa dua orang (ADUN)? Kenapa tidak 200,000 orang?” katanya.

    Beliau mengulas tindakan Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Putri Wangsa yang melepaskan jawatan dalam parti serta-merta dan memberi sokongan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

    Muhyiddin menambah, Mazlan sepatutnya tidak mengambil langkah berkenaan kerana bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor itu juga memegang jawatan exco dalam kerajaan negeri.

    “Kita ini bukan pendendam tetapi wajarnya beliau yang duduk sebagai EXCO dalam kerajaan kononnya atas nama Bersatu memikirkan di manakah pendirian dia.

    “Dia perlu memikirkan apakah langkah diambil itu tidak dianggap sebagai musuh dalam selimut,” katanya.

  • PRN Johor: PN dalam peringkat akhir tentukan kerusi

    PRN Johor: PN dalam peringkat akhir tentukan kerusi

    PERIKATAN Nasional (PN) kini dalam peringkat akhir untuk menentukan kerusi yang akan dipertandingkan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengagihan kerusi itu dijangka siap hujung minggu ini, setelah pihaknya mendapati ada beberapa kerusi yang mempunyai pertindihan antara parti komponen dalam PN.

    “Kita hampir selesai tadi, tapi ada sedikit pertindihan kepentingan (kerusi) antara parti-parti dan kita dah beritahu pasukan perundingan akan selesaikannya.

    “Ia (kerusi) belum muktamad hingga disahkan oleh pemimpin PN masing-masing di peringkat pusat. Saya rasa dalam jangka minggu ini, perkara ini akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PN Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di Muar hari ini.

    Ditanya mengenai kerjasama PN dan Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin berkata: “Dalam politik apa-apa sahaja boleh terjadi, setakat hari ini tidak ada apa lagi…tapi kalau ada, ia datang daripada pimpinan parti dan bukan saya sahaja yang boleh buat keputusan.” – BERNAMA