BERSATU sedikit pun tidak terjejas dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wangsa Puteri, Mazlan Bujang keluar parti.

Pengarah Operasi Jabatan Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin berkata, Mazlan sudah sangat lama tidak bergerak bersama parti.

Beliau mendakwa, jentera parti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan sejak dari awal menjalankan khidmat masyarakat secara berasingan tanpa Mazlan.

“Malah beberapa program dia dia kelihatan lebih selesa bersama bergerak bersama UMNO dari bersama Bersatu yang juga di mana abangnya merupakan pimpinan UMNO bahagian.

“Maka Bersatu kawasan tersebut sudah sedia dari awal mempersiapkan jentera sendiri dan kini kawasan Tebrau dipangku oleh Timbalan Ketua Bahagian, Kamaruzzam Abu yang sebelum ini aktif sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersatu Tebrau,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Hari ini, Mazlan dalam sidang media mengumumkan beliau meninggalkan Bersatu dan menyokong Barisan Nasional (BN) di Johor.

Badrul Hisham turut mendakwa, Mazlan mula buat perangai apabila tidak dicalonkan sebagai Menteri Besar Johor semasa era Pakatan Harapan (PH) dahulu.

“Kerana itu dia ada masalah peribadi dengan Tan Sri Presiden Bersatu dan mula menyerang dan memperkecilkan Presiden dengan kawan-kawan yang ditemui,” dakwanya.

Sementara itu, Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi menegaskan pendirian menolak mana-mana bekas ADUN Bersatu yang ingin menyertai semula UMNO.

“Tindakan ini tidak lain bertujuan untuk mempertahankan kerusi DUN tersebut dengan menggunakan UMNO sebagai medan perjuangan mereka,” jelasnya.

Dengan penolakan tersebut, Mazlan bakal berdepan kesukaran untuk dicalonkan mewakili BN pada PRN Johor dan tindakannya keluar Bersatu hanya menyempitkan lagi peluangnya untuk terus bergiat aktif dalam politik kepartian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here