Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

ADIK kepada Menteri Besar Selangor iaitu Aziz Shari berhasrat menumbangkan Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad dengan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Aziz, 33, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pontian akan menentang Hasni yang sudah menjadi wakil rakyat Benut sejak tiga penggal lalu dengan rekod tanpa kekalahan.

Menurut Aziz, PKR akan meletakkan calon di kerusi tersebut selepas sebelum ini ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, anak jati Benut itu berkata, semua keputusan terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.

“Jika kepimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) memilih saya sebagai calon di DUN Benut, saya akan menerimanya. Tetapi jika sebaliknya, saya terima dengan hati yang terbuka.

“Saya memang berasal dari Kampung Asam Kumbang Benut. Saya cukup mengenali selok belok masyarakat di Benut dan sentiasa mencurahkan bakti membantu mereka selama ini,” katanya ketika dihubungi.

Adik kepada Datuk Seri Amirudin Shari itu mengakui tidak gentar bertanding di DUN Benut meskipun kerusi terbabit merupakan kubu kuat UMNO sejak sekian lama sebaliknya sudah bersedia.

“Dalam politik, perlu sentiasa bersedia dan jangan takut. Bagi saya, peluang untuk anak muda bertanding perlu dilihat sebagai kelebihan. Bagaimanapun, saya menghormati Datuk Ir. Hasni Mohammad yang lebih berpengalaman daripada saya,” katanya.

Aziz yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan pernah bekerja di Majlis Daerah Pontian (MDP) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkata, sejak PRU-14 sudah bersama-sama jentera AMK Pontian mendekati masyarakat di Benut dan daerah Pontian keseluruhannnya.

DUN Benut merupakan satu daripada dua kerusi DUN dalam Parlimen Pontian selain DUN Pulai Sebatang.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor merupakan penyandang di DUN Benut selama tiga penggal sejak PRU-12 pada 2008.

Pada PRU-14 lalu, Hasni menewaskan menewaskan Zulkifly Tasrep (Bersatu) dan Mohd. Firdaus Jaafar (Pas) dengan majoriti 4,447 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here