Category: Politik

  • Prestasi buruk PRN antara agenda Kongres Nasional PKR

    Prestasi buruk PRN antara agenda Kongres Nasional PKR

    PRESTASI tidak memberangsangkan PKR dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) sepanjang tempoh 2020 hingga Mac 2022 menjadi antara agenda utama Kongres Nasional parti itu yang dijangka berlangsung Jun ini.

    Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siri kekalahan itu menuntut pengubahsuaian terhadap strategi, naratif kepada rakyat, latihan jentera pilihan raya dan penggunaan data yang sesuai dengan cabaran pilihan raya semasa.

    “Kita tidak pernah mengamalkan sikap sindrom penafian dan kita akan bersemuka dengan isu ini secara berdepan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Lembah Pantai di Kerinchi di Kuala Lumpur hari ini.

    Untuk rekod, PRN Sabah pada 26 Sept 2020 menyaksikan PKR hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri, kalah di semua kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka (20 Nov 2021) serta Sarawak (18 Dis 2021) dan menang di satu kerusi pada PRN Johor 12 Mac lepas.

    Menyentuh pemilihan parti yang akan berlangsung pada 8 April ini, Saifuddin Nasution berkata beliau belum membuat keputusan untuk bertanding bagi mana-mana jawatan.

    Katanya ketika ini, beliau masih berbincang dan mendapatkan pandangan daripada pucuk pimpinan serta rakan dalam parti mengenai jawatan yang sesuai ditandingi.

    Mengulas mengenai hasrat Naib Presiden PKR Tian Chua untuk tidak mempertahan jawatannya pada pemilihan parti kali ini, Saifuddin Nasution berkata beliau menghormati perdirian pemimpin itu.

    “Saya percaya beliau ada alasan tersendiri untuk tidak bertanding namun yang paling penting, beliau menegaskan akan kekal dalam parti… beliau mahu memperkukuh parti menggunakan keupayaannya (tanpa jawatan dalam parti),” katanya.

    Hari ini, media melaporkan Tian Chua mengesahkan tidak bertanding bagi jawatan Naib Presiden namun akan mempertahan jawatan sebagai Ketua Bahagian Batu selain berhasrat membantu parti mengukuhkan sokongan akar umbi bagi berdepan PRU akan datang. – BERNAMA

  • Dasar MN sudah rosak, ada yang mahu ubah agenda perpaduan umat

    Dasar MN sudah rosak, ada yang mahu ubah agenda perpaduan umat

    DASAR dan hala tuju sebenar Muafakat Nasional (MN) yang tersurat telah dirosakkan oleh pihak tertentu yang membawa agenda persendirian dengan matlamat mahu mengubah agenda perpaduan umat kepada tujuan yang tersirat.

    Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara yang berlaku dalam gagasan yang dianggotai partinya dan UMNO itu telah terdedah.

    “Walau bagaimanapun, PAS tetap berpegang kepada apa yang tersurat dan telah ditandatangani.

    “Perkara ini diulang beberapa kali dalam tulisan yang lalu, bahawa PAS telah mengambil pendekatan politik ta‘awun yang diputuskan oleh al-Quran hasil Muzakarah Majlis Syura Ulama.

    “Pendekatan ta’awun siyasi ini dilaksanakan oleh PAS menjadi konsep hubungan dengan semua pihak sebagai sempadan bagi menyelamatkan keadaan. PAS sekali-kali tidak boleh diheret keluar daripada landasannya,” katanya dalam Minda Presiden PAS hari ini.

    Beliau menambah, PAS tetap tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat.

    Malah, Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, PAS juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus.

    “Meraikan kemungkaran semata-mata kerana menjaga hati dan kepentingan yang salah dengan meninggalkan prinsip, adalah konsep ta‘awun (kerjasama) yang salah dan berdosa.

    “Justeru, PAS menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta‘awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran.

    “Sekalipun ada perbezaan dan perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam sendiri, namun ada penyelesaiannya,” jelasnya.

    Abdul Hadi berkata, PAS tetap istiqamah atas prinsip tersebut, walaupun kehilangan kerusi bahkan, pernah dikeluarkan daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

    “Perjalanannya masih jauh, kerana wawasannya tidak tamat dalam kehidupan di dunia sahaja.

    “PAS tidak hilang dengan matinya pemimpin, dan ahlinya tidak lemah dengan sebab terdapat kalangan yang menyeleweng atau berhenti di tengah perjalanan kerana niat yang salah masuk PAS sekadar menumpang bukan berjuang.

    “PAS tidak rebah dengan sebab kekalahan dalam beberapa kali pilihan raya, kerana perjalanannya belum selesai dan belum sampai ke garisan penamat,” ujarnya.

  • Pemilihan PKR: Tian Chua tak pertahan jawatan Naib Presiden

    Pemilihan PKR: Tian Chua tak pertahan jawatan Naib Presiden

    TIAN Chua mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR yang disandangnya sejak parti itu ditubuhkan pada 1999.

    Memetik laporan FMT, beliau berbuat demikian bagi ‘menurunkan suhu’ dalam parti ekoran persaingan sengit merebut jawatan pada pemilihan Mei ini.

    Namun, Tian Chua manyatakan bahawa beliau tidak bersara dari politik dan akan mempertahankan jawatan Ketua PKR Cabang Batu.

    “Saya adalah antara empat Naib Presiden tetapi, seperti yang kita tahu, tiga daripada mereka telah pergi.

    “Saya adalah satu-satunya penyandang yang tinggal, tetapi saya memberi laluan untuk mengelakkan parti berdepan pemilihan yang sukar pada Mei.

    “Apa yang anda boleh lihat, suhu semakin meningkat dalam parti ketika pemilihan semakin hampir. Ini tidak bagus untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

    Naib Presiden yang lain ialah Nurul Izzah Anwar yang meletakkan jawatan pada 2018 tetapi kekal sebagai ahli, Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan parti untuk menyertai Bersatu pada 2020 dan Xavier Jayakumar yang memilih untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN) tahun lalu.

    Tian Chua berkata, beliau mungkin bertanding untuk kerusi Parlimen Batu, yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) dan PRU-12.

    Beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya lalu kerana hilang kelayakan. Pencalonannya ditolak kerana denda RM2,000 daripada kes mahkamah yang telah dibayarnya pada 2010.

    “Saya kini menumpukan usaha untuk membina sokongan akar umbi sebagai persediaan menjelang PRU15 yang pastinya diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang. Kita tidak banyak masa dan saya berharap ahli PKR sedar bahawa PRU lebih penting,” katanya.

    Katanya, pemimpin PKR harus sedar bahawa usaha menghalang UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus menjadi tumpuan utama mereka dan bukannya merebut kedudukan dalam parti.

    “Kita mesti ingat bahawa pilihan raya akan datang akan menyaksikan banyak persaingan, dengan ramai muka baharu. Jadi kita perlu memperkukuhkan akar umbi kita untuk menghadapi cabaran baharu itu,” jelasnya.

  • Isu UniSHAMS: Salmee mahu ambil tindakan terhadap cybertrooper

    Isu UniSHAMS: Salmee mahu ambil tindakan terhadap cybertrooper

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said mendakwa terdapat serangan dilakukan terhadapnya di media sosial berikutan tindakannya memohon penjelasan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengenai isu pembinaan asrama pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) baru-baru ini.

    Justeru katanya, beliau kini sedang mengadakan perbincangan dengan barisan peguam, bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap laskar siber serta mana-mana individu yang bertindak sedemikian, sekiranya perkara itu didapati mencemarkan reputasi dan kredibilitinya.

    “Perkara ini dibawa ke media sosial sampai satu dunia tahu seolah-olah saya buat fitnah dalam sidang Dewan Undnagan Negeri (DUN). Saya bukan fitnah sebaliknya cuma mohon penjelasan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor saja berkaitan perkara itu.

    “Jadi sekiranya perkara ini tersebar dan rosakkan nama baik saya, saya ada barisan peguam untuk ambil tindakan terhadap mereka sekiranya terdapat prima facie,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas keluar dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bagi mengadakan pertemuan bersama pegawai suruhanjaya tersebut untuk membincangkan mengenai isu berkenaan.

    Salmee hadir dengan ditemani Setiausaha Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris serta peguam, Nashitoh Kassim.

    Dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Rabu lalu, Muhammad Sanusi mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti berlaku salah laku rasuah membabitkan universiti berkenaan, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Cabaran tersebut dikemukakan Muhammad Sanusi setelah Salmee mendakwa, dia menerima maklumat daripada kontraktor mengenai tindakan konsultan yang dikatakan meminta wang sehingga RM4 juta berkaitan pembinaan asrama tersebut.

    Mengulas lanjut Salmee berkata, kehadirannya ke situ bukanlah kerana dipanggil SPRM untuk memberi penjelasan berhubung kes tersebut.

    “Sebaliknya kami mengadakan pertemuan dengan SPRM hanya untuk membincangkan mengenai isu yang timbul. Sudah tentu SPRM lebih arif berkaitan mengenai konsultan dalaman dan luaran mengenai isu terbabit dan kami difahamkan mereka juga sebelum ini sudah memiliki maklumat berkenaan isu berkenaan,” katanya.

    Dalam pada itu Salmee menyifatkan tindakan Muhammad Sanusi yang meninggikan suara terhadapnya ketika sesi penggulungan itu sebagai sesuatu yang tidak patut dilakukan.

    “Saya masuk ke Sidang DUN untuk mohon penjelasan dari beliau. Yang Menteri Besar nak terpekik terlolong marah saya itu pasal apa?” soalnya.

  • Bahang semakin terasa…Fahmi Zainol tanding Ketua Pemuda PKR

    Bahang semakin terasa…Fahmi Zainol tanding Ketua Pemuda PKR

    BEKAS aktivis pelajar, Fahmi Zainol mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Pemuda PKR dalam pemilihan parti Mei ini.

    Pada sidang media hari ini, Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang itu turut memperkenalkan pasukannya yang akan bertanding dalam pemilihan berkenaan.

    Mereka termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat dan Ketua Pemuda PKR Melaka, Prasanth Kumar yang masing-masing akan merebut jawatan Timbalan Ketua Pemuda dan Naib Ketua sayap itu.

    Selain itu, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran juga menyertai barisan diketuai Fahmi dan akan bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Eksekutif Pemuda PKR.

    Fahmi berkata, beliau yakin dengan barisan pimpinannya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti ADUN, pelajar, aktivis politik dan profesional.

    “Saya yakin kepelbagaian ini mampu menambat hati akar umbi dan juga belia Malaysia daripada pelbagai latar belakang,’’ katanya lapor FMT.

    Katanya, beliau akan menumpukan tiga dasar utama – meraih sokongan pengundi muda dan pengundi kali pertama, meningkatkan penyertaan belia dan sayap Pemuda dalam pilihan raya umum ke-15 serta mengukuhkan Pemuda PKR.

    Berhubung calon lain yang mungkin bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda, Fahmi berkata, beliau mengalu-alukan penyertaan bekas aktivis pelajar, Adam Adli dan berharap persaingan sihat antara mereka.

  • Kerajaan negeri Sabah kini dikenali sebagai GRS-BN

    Kerajaan negeri Sabah kini dikenali sebagai GRS-BN

    KERAJAAN Negeri Sabah kini dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN), kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

    Hajiji berkata, beliau bersetuju dengan cadangan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini untuk merujuk kerajaan Sabah sebagai GRS-BN susulan kerjasama kedua-dua gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada September 2020.

    “Walaupun BN dalam satu gabungan lain dan tidak dalam GRS, tetapi kerajaan negeri yang ada pada hari ini ialah GRS dan BN juga. Ini sudah dipersetujui, sebelum pilihan raya (negeri) pun kita ada kerjasama dengan BN.

    “Apabila kita menang keputusan pilihan raya, kita sama-sama bentuk kerajaan negeri dengan BN. Jadi, cadangan itu memang bagus tetapi kadang-kadang kita panggil GRS, tetapi mulai sekarang, kita panggil (kerajaan) GRS-BN,” katanya kepada pemberita di Tuaran, Sabah, hari ini.

    Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri yang ingin kerajaan Sabah dikenali sebagai GRS-BN memandangkan parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan ditubuhkan pada PRN Sabah yang lepas.

    Terdahulu, Hajiji mengadakan lawatan kerja ke Tamparuli yang antara lain menyaksikan persembahan kebudayaan dan mural di Jambatan Tamparuli, merasmikan pusat pelancongan dan aktiviti pendakian Bukit Perahu serta majlis pecah tanah Mahkamah Anak Negeri Tamparuli. – BERNAMA

  • ‘Paling kurang saya ada formula’, Rafizi pertahan diri

    ‘Paling kurang saya ada formula’, Rafizi pertahan diri

    RAFIZI Ramli bangkit mempertahankan ‘formula’ yang pernah dicanangnya satu ketika dahulu selepas disindir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Pada 23 Mac lalu, Najib melabelkan bekas Ahli Parlimen Pandan itu sebagai ‘raja formula songsang’.

    Dalam majlis perasmian Ayuh Malaysia yang disiarkan melalui Facebook malam tadi, Rafizi berkata, formula adalah penting kerana langkah itu dapat mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah.

    “Paling kurang saya ada formula, ini kamu ada menteri berlambak ni, satu formula pun tak ada.

    “Kenapa formula penting sebab apabila kita bentangkan sesuatu idea, UMNO tak faham idea, dia cuma tahu formula sahaja,” katanya seperti dipetik daripada laporan FMT.

    Selain Najib, bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak juga menyindir Rafizi berkaitan ‘formula’ susulan tindakannya untuk kembali aktif dalam politik dan merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu Mei ini.

    Farhash berkata, Rafizi sebelum ini tidak menjalankan tugas sebagai Naib Presiden serta menghilangkan diri ketika parti memerlukannya.

    Rafizi mula menyepikan diri selepas rejim Pakatan Harapan (PH) berkuasa dan tiba-tiba membuat penampilan semula dalam politik.

    Beliau terkenal dengan julukan ‘raja formula’ ekoran pembentangan terperincinya ketika menentang pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta kenaikan harga petrol dan subsidi.

    Walau bagaimanapun, Rafizi ditempelak dengan hebat oleh orang ramai ekoran kegagalan rejim PH menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Harga barang masih tidak turun walaupun selepas rejim PH memansuhkan GST dan mengembalikan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

    Selain itu, harga minyak juga tidak turun sedangkan Rafizi mempunyai formula yang didakwa boleh mengawal kenaikan harga minyak.

    Rafizi pernah mendakwa bahawa janji untuk menurunkan harga minyak kepada RM1.50 seliter dibuat oleh PAS.

    Namun, beliau terpaksa menelan ludah sendiri apabila tular video kempen PRU-14 yang memaparkan beliau antara lain berkata:

    “Saya akan huraikan bagaimana GST boleh dimansuhkan dan sumber-sumber pendapatan untuk menggantikan GST serta kaedah menetapkan harga minyak yang boleh menetapkan harga minyak serendah RM1.50 seliter.”

  • Pemilihan: 4 pemimpin PKR dijangka masuk pasukan Rafizi

    Pemilihan: 4 pemimpin PKR dijangka masuk pasukan Rafizi

    EMPAT pemimpin PKR dijangka membarisi pasukan Rafizi Ramli dalam usahanya merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan Mei ini.

    Memetik laporan FMT, sumber memberitahu, Rafizi membayangkan gandingannya yang akan bertanding jawatan Naib Presiden PKR iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan.

    Andaian pasukan Rafizi itu adalah berdasarkan kepada kehadiran mereka pada Majlis Pelancaran Ayuh Malaysia semalam.

    “Ya, mereka yang tampil di pentas bersama Rafizi adalah ‘line up’ yang akan bertanding pada pemilihan PKR Mei ini.

    “Usaha Ayuh Malaysia sebagai salah satu kempen Rafizi untuk pemilihan ini selain usaha menuju pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” kata sumber itu kepada FMT.

    Dalam pentas tersebut, Nik Nazmi tidak hadir kerana berada di luar negara, namun beliau dalam kenyataannya menyambut baik kempen tersebut yang mengajak rakyat bergerak ke hadapan terutamanya berkaitan isu pendidikan.

    Rafizi dan Nurul Izzah pernah menyepi seketika daripada arena politik susulan pertelingkahan dalaman yang melanda PKR sebelum ini.

    Pada Disember 2018, Nurul Izzah mengundurkan diri daripada jawatan Naib Presiden PKR yang dimenanginya dengan undian tertinggi dalam pemilihan parti.

    Manakala pada 2019, Rafizi yang dilantik sebagai Naib Presiden PKR pula memilih untuk berehat daripada politik sebelum membuat kemunculan semula untuk bertanding Timbalan Presiden PKR Mei ini.

    Kempen anjuran Rafizi malam tadi dilancarkan bagi menarik sokongan pengundi atas pagar ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan pelbagai isu dikupas dalam sesi tiga jam itu antaranya berkaitan perumahan rakyat, isu pertanian dan pendidikan.

    Mereka juga berikrar untuk membawa isu-isu rakyat menerusi aplikasi CISTA yang dibangunkan bagi membolehkan setiap rakyat Malaysia menjadi sukarelawan untuk berkhidmat membawa mesej perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.

    Kempen itu dibuat selepas mengambil kira keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor dan pandangan pelbagai pihak dalam PKR.

  • PRN Melaka,Johor: Ku Li ingatkan pemimpin BN jangan seronok sangat

    PRN Melaka,Johor: Ku Li ingatkan pemimpin BN jangan seronok sangat

    KEMENANGAN berturut-turut Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor tidak boleh dijadikan indikator utama bahawa parti akan meneruskan momentum kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kemenangan dua pertiga kerusi dalam PRN terbabit juga tidak melambangkan kekuatan parti itu di mata rakyat.

    “Banyak tidak keluar mengundi….bukan jumlah sedikit dan orang muda pun tidak keluar mengundi. Jadi, jangan kita fikir dapat dua pertiga di PRN Melaka dan Johor kita kuat.. (sebenarnya) tak kuat.

    “Kita tidak mendapat sokongan rakyat, ia (kemenangan) hanya delusi (kita) fikir dapat (sokongan), tetapi sebenarnya tidak dapat,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-9 Gagasan Melayu Perak (GMP) di Dewan Komuniti Taman Cempaka, di Ipoh hari inio, lapor Berita Harian.

    Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang turut melahirkan kebimbangan melihat pemimpin parti begitu seronok dengan kemenangan besar dalam dua PRN terbabit sedangkan hakikatnya rakyat tidak bersama dengan parti.

    “PRN Melaka dan Johor lebih banyak membincangkan isu setempat berbanding isu negara. Ramai rakyat hanya fikir soal parit, jalan luar bandar dan tidak fikir pasal dasar luar dan dasar dalam negeri.

    “Banyak perkara tidak dibicara semasa PRN negeri, jadi cuma isu setempat sahaja. Saya bimbang mereka (pengundi) akan menyokong sebaliknya (dalam PRU-15).

    “Ini kerisauan saya. Walaupun pemimpin seronok – patut seronok dah menang besar (dalam PRN Johor dan Melaka) – tetapi hakikatnya tiada sokongan daripada rakyat,” katanya yang juga bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO.

    Ditanya apakah beliau mengharapkan UMNO menjadi parti politik utama memerintah untuk membuat perubahan selepas momentum ditunjukkan pada PRN Melaka dan Johor, katanya ia bukan mudah kerana terpulang kepada ahli.

    “Ahli sudah dapat melihat apa yang sudah berlaku dan perubahan yang perlu untuk memperbaiki keadaan.

    “Saya berpendapat berdasarkan sikap ditunjukkan (ketika ini), saya rasa tidak ada satu parti yang boleh menubuhkan kerajaan selepas PRU-15,” katanya.

    Dalam PRN Melaka berlangsung November lalu, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala di Johor parti itu meraih kemenangan selesa apabila memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.

  • Tindakan Yew Aik mencerminkan politik tidak matang

    Tindakan Yew Aik mencerminkan politik tidak matang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN calon MCA, Ng Yew Aik yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, marah apabila pengundi tidak memilih beliau walaupun sudah banyak berkhidmat disifatkan sebagai politik tidak matang.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz berkata, tindakan tersebut tidak sewajarnya berlaku kerana pengundi sudah membuat pilihan pada PRN itu yang berlangsung 12 Mac lalu.

    “Saya rasa komen ini (marah pengundi tidak mengundinya) amat tidak wajar dan tidak mencerminkan politik matang. Tak perlu marah pada pengundi. Mereka ada hak untuk memilih wakil mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Yew Aik yang membuat kenyataan kepada sebuah akhbar berbahasa Cina, walaupun tewas pejabat beliau menerima lebih banyak aduan rakyat berbanding dahulu.

    Difahamkan menerusi kenyataan dalam akhbar itu juga, Yew Aik dikatakan marah dengan pengundi kerana tidak memilih beliau pada PRN Johor walaupun sudah berkhidmat, sebaliknya memilih caon lain.

    Mengulas lanjut, Amira Aisya berkata, sekiranya Yew Aik tidak selesa menerima aduan rakyat boleh menyalurkannya ke bilik gerakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang masih lagi beroperasi.

    Setiausaha Agung Muda itu berkata, sebarang aduan berkenaan akan dipanjangkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.

    “Berkhidmat ini tidak bergantung pada menang atau kalah. Walaupun Muda hanya menang satu kerusi di Johor, Muda Johor tetap teruskan khidmat termasuklah di kerusi yang kami tak bertanding.

    “Saya juga suka dan berbesar hati sekiranya saudara Ng ingin bersama-sama berkhidmat rakyat di DUN Puteri Wangsa. Kita sama-sama buktikan di Puteri Wangsa kita boleh laksanakan politik matang,” ujarnya.