DASAR dan hala tuju sebenar Muafakat Nasional (MN) yang tersurat telah dirosakkan oleh pihak tertentu yang membawa agenda persendirian dengan matlamat mahu mengubah agenda perpaduan umat kepada tujuan yang tersirat.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara yang berlaku dalam gagasan yang dianggotai partinya dan UMNO itu telah terdedah.

“Walau bagaimanapun, PAS tetap berpegang kepada apa yang tersurat dan telah ditandatangani.

“Perkara ini diulang beberapa kali dalam tulisan yang lalu, bahawa PAS telah mengambil pendekatan politik ta‘awun yang diputuskan oleh al-Quran hasil Muzakarah Majlis Syura Ulama.

“Pendekatan ta’awun siyasi ini dilaksanakan oleh PAS menjadi konsep hubungan dengan semua pihak sebagai sempadan bagi menyelamatkan keadaan. PAS sekali-kali tidak boleh diheret keluar daripada landasannya,” katanya dalam Minda Presiden PAS hari ini.

Beliau menambah, PAS tetap tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat.

Malah, Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, PAS juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus.

“Meraikan kemungkaran semata-mata kerana menjaga hati dan kepentingan yang salah dengan meninggalkan prinsip, adalah konsep ta‘awun (kerjasama) yang salah dan berdosa.

“Justeru, PAS menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta‘awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran.

“Sekalipun ada perbezaan dan perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam sendiri, namun ada penyelesaiannya,” jelasnya.

Abdul Hadi berkata, PAS tetap istiqamah atas prinsip tersebut, walaupun kehilangan kerusi bahkan, pernah dikeluarkan daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Perjalanannya masih jauh, kerana wawasannya tidak tamat dalam kehidupan di dunia sahaja.

“PAS tidak hilang dengan matinya pemimpin, dan ahlinya tidak lemah dengan sebab terdapat kalangan yang menyeleweng atau berhenti di tengah perjalanan kerana niat yang salah masuk PAS sekadar menumpang bukan berjuang.

“PAS tidak rebah dengan sebab kekalahan dalam beberapa kali pilihan raya, kerana perjalanannya belum selesai dan belum sampai ke garisan penamat,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here