Category: Politik

  • Rafizi jadi pilihan 26 cabang di Johor

    Rafizi jadi pilihan 26 cabang di Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MESKIPUN bersandarkan kapasiti sebagai Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ‘tidak berdaya’ apabila tewas di kesemua cabang negeri Johor dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti itu.

    Pengaruh bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di Johor khususnya menyaksikan beliau yang ‘meninggalkan’ seketika parti berkenaan dan arena politik menang besar dengan 4,022 undi.

    Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar baharu itu pula hanya memperoleh 1,062 undi jauh ketinggalan berbanding jumlah diterima Rafizi.

    Dalam proses pemilihan di Cabang Tebrau, Rafizi menerima 576 undi berbanding Saifuddin yang hanya mendapat 119 undi.

    Cabang Batu Pahat juga menyaksikan Saifuddin ketinggalan jauh apabila 412 undi memihak kepada Rafizi, sementara beliau memperoleh 197 undi.

    Hanya lima cabang yang dilihat Saifuddin ‘mampu’ memberi saingan apabila tewas dalam angka yang kecil kepada Mohd. Rafizi, berbanding baki 21 cabang lagi yang menyaksikan jurang besar kekalahan beliau.

    Sementara itu, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh akhirnya menang bagi jawatan Ketua Cabang Ledang selepas menewaskan lawannya, Muhammad Azhar Hafiz Mohd. Shafi’e dengan 127 undi berbanding 7 undi.

    Syed Ibrahim tewas perebutan jawatan itu pada 2018 apabila beliau dikalahkan penyandang jawatan itu, Dr. Chong Fat Full yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Ogos 2020.

    Dalam pada itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik yang menyertai PKR pada November tahun lalu menang sebagai Ketua Cabang Simpang Renggam setelah memperoleh 109 undi dalam pemilihan berkenaan.

    Seramai 62,404 ahli PKR layak memilih di negeri ini termasuk mereka yang dikategorikan sebagai Pemilih Atas Talian (PAT) sementara proses pengundian di Johor berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan.

  • Rauf nafi kepimpinan UMNO Melaka akan bertukar

    Rauf nafi kepimpinan UMNO Melaka akan bertukar

    PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan desas-desus mendakwa kepimpinan UMNO negeri berkenaan bakal bertukar dalam masa terdekat.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu berkata, tiada isu yang timbul berkaitan kepimpinan UMNO Melaka, ketika ini.

    “Tiada isu. Takde isu pun. Sehingga hari ini parti berada dalam keadaan yang terbaiklah,” kata Ab Rauf ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Badan Perhubungan UMNO Melaka di rumahnya di Kampung Pulau, Masjid Tanah malam tadi.

    Majlis yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam turut disertai Naib Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ab Rauf, yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri menganggap khabar angin yang timbul sebagai sebahagian daripada asam garam dunia politik.

    “Saya tak anggap benda (khabar angin) tu sebagai satu ancaman kepada kedudukan UMNO negeri pun. Masing-masing boleh meluahkan perasaan masing-masing,” katanya. – BERNAMA

  • Johari Abdul kalah perebutan jawatan Ketua Cabang Sungai Petani

    Johari Abdul kalah perebutan jawatan Ketua Cabang Sungai Petani

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Johari Abdul kalah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min bagi merebut jawatan Ketua Cabang PKR Sungai Petani dalam Pemilihan PKR 2022 yang diumumkan keputusannya semalam.

    Keputusan yang dipaparkan di laman web https://pemilihankeadilan2022.com menunjukkan Johari memperolehi 464 undi iaitu ketinggalan 103 undi di belakang Simon yang mendapat 567 undi.

    Seorang lagi pencabar, Mohd. Zaid Othman gagal memberi saingan apabila hanya memperolehi 142 undi.

    Selain memegang jawatan Pengerusi PH Kedah, Johari turut memegang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah.

    Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Sungai Petani dan Ahli Dewan Undangan Negeri Gurun.

    Anaknya, Mohd Firdaus Johari turut tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Jerai apabila sekadar meraih 141 undi berbanding 191 diperolehi pemenang jawatan itu, Nazri Abdullah.

    Di Pokok Sena, bekas Pengerusi PKR Kedah, Che Mat Dzaher Ahmad turut kalah dalam perebutan jawatan Ketua Cabang.

    Che Mat Dzaher yang juga Pengerusi PKR Kedah sekadar memperolehi 137 undi berbanding Mohd. Altab Pa Ibrahim yang mendapat 181 undi.

  • Perebutan ‘berakhir’, Saifuddin ucap tahniah kepada Rafizi

    Perebutan ‘berakhir’, Saifuddin ucap tahniah kepada Rafizi

    PEREBUTAN kerusi Timbalan Presiden PKR ‘berakhir secara tidak rasmi’ malam tadi apabila Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang bertarung dengan Rafizi Ramli mengucap tahniah kepada lawannya itu yang mendahului perolehan undi di seluruh negara.

    Melalui catatan dalam Facebookny, Saifuddin berkata, beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli PKR seluruh negara.

    “Jawatankuasa Pemilihan Parti telah paparkan keputusan pemilihan pada hari ini. Biarpun belum dikira keputusan rasmi, namun saya telah mengutus ucap tahniah kepada Rafizi Ramli, Nik Nazmi (Nik Ahmad), Chang Li Kang dan lain-lain pemenang.

      “Sikap saya mudah dan jelas. Hormat keputusan yang dibuat oleh anggota-anggota parti. Amalan demokrasi menentukan ada yang terpilih dan ada yang tidak. Jangan sesekali carikkan silaturrahmi. Sentiasa jaga perpaduan sesama anggota parti. Insya-Allah, PKR akan terus kuat,” katanya

    Saifuddin berkata, tugasnya sebagai Setiausaha Agung PKR akan berakhir sebaik sahaja selesai Kongres Nasional PKR yang akan berlangsung Jun nanti dan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) selesai dipilih.

    Keputusan tidak rasmi yang dipaparkan di laman sesawang Pemilihan PKR 2022 menyaksikan Mohd Rafizi jauh meninggalkan Saifuddin dalam persaingan merebut kerusi nombor dua PKR.

    Setakat pukul 8.30 malam tadi, keputusan tidak rasmi untuk 13 negeri melibatkan 190 cabang menyaksikan Mohd Rafizi memperolehi 64,423 undi.

    Saifuddin yang juga ahli parlimen Kulim Bandar Baru jauh di belakang dengan mendapat 47,140 undi ketinggalan 17,283 undi.

  • Rafizi hampir pasti menang jawatan Timbalan Presiden PKR

    Rafizi hampir pasti menang jawatan Timbalan Presiden PKR

    RAFIZI Ramli hampir pasti terpilih sebagai Timbalan Presiden PKR yang baharu selepas mendahului dengan kelebihan 10,839 undi daripada pencabarnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail

    Sehingga pukul 9 malam ini,  Rafizi mendahului di tujuh negeri selepas meraih 51,378 undi, mengatasi pesaingnya Saifuddin Nasution Ismail dengan kelebihan 10,839 undi.

    Data terkini proses pengiraan undi menunjukkan , Rafizi dilihat menguasai Selangor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang. Sehingga kini, Saifuddin hanya mendahului saingannya itu di Sabah sahaja. Saifuddin ketika ini meraih 40,539 daripada lapan negeri berkenaan.

    Rafizi juga dilaporkan menguasai Perak dan Wilayah Persekutuan. Kejayaan Rafizi di Selangor dianggap signifikan kerana negeri itu dan Sabah mempunyai keahlian tertinggi.

    Di Selangor mengumpul 25,449 undi, manakala Saifuddin 22,101 undi, manakala di Sabah bekas ahli Parlimen Pandan itu mendapat 7,167 undi, dengan Saifuddin mengumpul 7,957 undi iaitu kelebihan 790 undi.

    Di Kedah, Rafizi mendapat 4,761 undi manakala Saifuddin 2,724 undi. Di Kelantan, Rafizi (3,222 undi), Saifuddin (2,132 undi). Di Melaka, Rafizi (2,427 undi), Negeri Sembilan (5,522 undi). Di Johor, beliau memperoleh 3,967 undi manakala di Pahang 1,863 undi.

    Berdasarkan kedudukan semasa, Rafizi dijangka mencapai kemenangan selesa untuk menduduki kerusi nombor 2 PKR itu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding jawatan Presiden, Aktivis mahasiswa Adam Adli mendahului selepas memperoleh 7,545 undi di empat negeri berbanding pencabarnya iaitu

    Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Fahmi Zainol yang mendapat 7,001 undi.

  • Kalah pemilihan PKR, Farhash mahu audit forensik terhadap keputusan

    Kalah pemilihan PKR, Farhash mahu audit forensik terhadap keputusan

    SETELAH tewas dalam saingan Ketua PKR Cabang Gombak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menggesa agar audit forensik dijalankan terhadap keputusan pemilihan PKR.

    Memetik laporan FMT, bekas pegawai khas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mendakwa berlaku percanggahan antara jumlah undi dikira dan pengundi.

    Beliau kalah di tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

    Farhash Wafa Salvador akan membantah keputusan ‘tidak munasabah’ undian secara fizikal dan dalam talian di cabang Gombak.

    “Pihak saya mempunyai bukti dan dokumentasi kukuh untuk menyatakan bantahan rasmi, dengan gesaan untuk parti menjalankan audit forensik terhadap sistem keputusan dan kaedah pelaksanaannya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau mendakwa, berdasarkan keputusan yang disiarkan di laman sesawang PKR hari ini, jumlah undian dikira tidak sama dengan jumlah pengundi.

    Berdasarkan keputusan tidak rasmi dalam laman sesawang PKR, Amirudin menundukkan Farhash dengan 1,858 undi berbanding 1,215 undi.

    Farhash berharap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan pimpinan parti akan mengambil tindakan sewajarnya serta membetulkan keadaan sekiranya terbukti pemilihan dan keputusan dikompromi.

    Kebimbangan dibangkitkan bekas Ketua PKR Perak itu berhubung pemilihan parti adalah yang terbaharu dalam beberapa siri rungutan dilaporkan calon dan ahli.

    Selain dakwaan pengundi hantu dan ahli ‘meragukan’ yang layak mengundi, pemilihan PKR kali ini turut dicemari masalah teknikal yang mengganggu pengundian di lapan bahagian pada hujung minggu lalu.

    Pemilihan PKR kali ini juga dipecayai menyaksikan peratusan mengundi yang rendah, dengan kurang 13 peratus daripada 1.1 juta ahlinya mengundi secara fizikal atau dalam talian.

    Terdahulu, JPP dilaporkan berkata, pemilihan parti sudah berakhir dan keputusan rasmi akan diumumkan dalam Kongres PKR pada 25 serta 26 Jun ini, manakala keputusan tidak rasmi akan disiarkan di laman sesawang parti mulai hari ini.

  • Peratusan mengundi rendah: Fahmi nafi ahli PKR boikot

    Peratusan mengundi rendah: Fahmi nafi ahli PKR boikot

    JUMLAH ahli yang mengundi pada Pemilihan PKR 2022 meningkat kepada kira-kira 147,000 berbanding 140,000 pada tahun 2018 walaupun peratusan keluar mengundi hanya 13.5 peratus, kata Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil.

    Beliau berkata jumlah peratusan mengundi di cabang-cabang tertentu juga tinggi, contohnya di cabang Pensiangan yang mencecah 45 peratus.

    “Ia tidak boleh dilihat pada jumlah purata keluar mengundi, beberapa faktor juga dikenal pasti termasuk faktor logistik dan teknikal seperti capaian internet, ini semua akan kita perbaiki dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di Kuala Lumpur hari ini.

    Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata faktor lain ialah apabila terdapat 65 dari 222 cabang tidak mengadakan proses pemilihan, menyebabkan peratusan keluar mengundi rendah.

    Beliau turut menafikan peratusan rendah itu disebabkan oleh tindakan boikot ahli yang tidak berpuas hati terhadap pencapaian Pakatan Harapan (PH).

    Pemilihan PKR 2022 berakhir semalam setelah menyaksikan pengundian semula di 12 cabang melibatkan beberapa buah negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Sabah.

    Keputusan tidak rasmi cabang-cabang akan dipamerkan di laman sesawang ‘Pemilihan Keadilan 2022’ mulai hari ini.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata, keputusan yang bakal diumumkan tertakluk kepada keputusan aduan dan bantahan diterima JPP yang masih dalam proses siasatan oleh Panel Aduan JPP.

    “Pengumuman keputusan rasmi akan dibuat di Kongres Parti Keadilan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.

    “Keputusan yang akan diumumkan merupakan keputusan muktamad bagi Pemilihan Keadilan 2022,” katanya. – BERNAMA

  • Hans Isaac, Altimet tewas dalam saingan Ketua PKR Cabang Ampang

    Hans Isaac, Altimet tewas dalam saingan Ketua PKR Cabang Ampang

    POPULARITI tidak dapat menjamin kemenangan bagi pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac serta penyanyi rap, Altimet dalam pemilihan PKR.

    Kedua-keduanya tewas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua PKR Cabang Ampang.

    Memetik laporan Berita Harian, Hans atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac, 51, meraih 609 undi, manakala Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, hanya mendapat 589 undi.

    Mereka kalah kepada Daing Muhammad Reduan Bachok yang memperoleh 942 undi.

    Sementara itu, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memenangi jawatan ketua bahagian Pandan dengan 548 undi, menewaskan pencabarnya, Mohamad Rashidi Hasan menerima 373 undi.

    Di bahagian Gombak pula, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang meraih 1,858 undi berjaya menundukkan pencabarnya yang juga bekas pembantu Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sekadar memperoleh 1,215 undi.

    Setakat 1.45 petang tadi, tiga negeri sudah mengumumkan keputusan bagi pemilihan PKR, iaitu Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan.

  • Timbalan Presiden: Rafizi dahului di 5 negeri, sapu bersih di Melaka

    Timbalan Presiden: Rafizi dahului di 5 negeri, sapu bersih di Melaka

    SEMUA cabang PKR di Melaka memilih Rafizi Ramli untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti tersebut.

    Memetik laporan FMT, beliau yang beroleh 2,427 undi mendahului pesaingnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menerima 1,468 undi.

    Namun, Rafizi masih belum boleh menarik nafas lega kerana jumlah pengundi di Melaka adalah kurang daripada 4,000 orang.

    BH dan FMT melaporkan, beliau turut mendahului Saifuddin di Kedah, Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan.

    Secara keseluruhan, seramai 147,334 ahli PKR terlibat dalam pemilihan kali ini.

    Pemilihan di Melaka juga menyaksikan kejutan apabila Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin tewas di tangan Mohd Rafee Ibrahim bagi jawatan ketua cabang.

    Bagi persaingan jawatan ketua Pemuda PKR pula, Adam Adli memenangi empat cabang, manakala Fahmi Zainol, calon pasukan Rafizi, memenangi dua.

    Memetik laporan BH, Adam setakat ini beroleh 7,545 undi di empat negeri sekali gus mengatasi pesaingnya, Fahmi Zainol yang mendapat 7,001 undi.

    Pertembungan seorang lagi calon pasukan Rafizi, Rodziah Ismail dengan Fadhlina Sidek bagi jawatan ketua wanita pula lebih sengit, dengan masing-masing memenangi tiga cabang.

    Sementara itu, Halim Bachik menang di Masjid Tanah dengan hanya empat undi melebihi pencabarnya, Amran Othman, bagi jawatan ketua cabang.

    Di Alor Gajah, Ginie Lim, yang digugurkan sebagai calon oleh parti itu berhubung dakwaan kaitannya dengan Azmin Ali, menang dengan 594 undi.

    Pemilihan PKR secara rasminya telah berakhir, berikutan pemilihan semula di 12 cabang di Kedah, Terengganu, Sabah, Selangor dan Kelantan.

    Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataannya hari ini berkata, keputusan tidak rasmi akan diterbitkan di laman sesawang parti mulai hari ini, manakala keputusan rasmi akan diumumkan pada 25 dan 26 Jun.

    Sementara itu, Bernama melaporkan, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sekali lagi tewas pada pemilihan kali ini bagi jawatan Ketua Cabang Sungai Petani kepada Ooi Tze Min dengan perbezaan 103 undi.

    Sementara itu, Rafizi Ramli yang juga calon Timbalan Presiden PKR berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang Pandan dengan meraih 548 undi, mengatasi pencabarnya Mohamad Rashidi Hassan (373) dan Adnan Jaaffar (121).

    Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga mempertahankan jawatan Ketua Cabang Gombak apabila memperoleh 1,858 undi, menyingkirkan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (bekas Setiausaha Politik kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mendapat 1,215 undi.

    Di Negeri Sembilan, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang julung kali bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Port Dickson menang dengan memperoleh 1,129 undi menewaskan pencabar Ravi Munusamy (951) dan Sevalingam Birasami (477).

    Beliau pernah menyandang jawatan Ketua Cabang Tampin sejak 2018 dan Naib Ketua Cabang Seremban sebelum itu.

    Sementara itu, percubaan pertama Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik bertanding Ketua Cabang kawasan parlimen berkenaan membuahkan hasil apabila menang setelah meraih 109 undi menewaskan pencabarnya Faizul Abdul Ghani yang mendapat 66 undi.

    Setakat 5 petang ini, tujuh negeri sudah mengumumkan keputusan pemilihan PKR iaitu Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Sabah dan Johor.

  • Ke mana Khairy akan pergi pada PRU-15?

    Ke mana Khairy akan pergi pada PRU-15?

    HAMPIR dua tahun berlalu sejak Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan hasratnya bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-14).

    Lebih tepat lagi, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau membuat pengumuman yang menggemparkan dunia politik tanah air itu ketika berucap di hadapan para perwakilan Mesyuarat UMNO Cawangan Sri Kota pada 8 Ogos 2020.

    Persoalan yang timbul selepas itu dan masih lagi belum terjawab sehingga kini: Ke manakah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin akan pergi?

    Beliau telah menyandang kerusi tersebut sejak PRU-11 dan ini bermakna, Menteri Kesihatan itu perlu mencari kawasan Parlimen yang lain untuk bertanding kerana Tok Mat masih tidak berganjak daripada keputusannya.

    Seperti yang pernah dibayangkan oleh Mohamad, Khairy tidak perlu berasa bimbang kerana UMNO berkemungkinan meletakkan di kerusi yang ‘agak baik’ dan ‘bersebelahan dengan Rembau’.

    Terdapat kemungkinan kawasan Parlimen yang dimaksudkan adalah Tampin yang sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Shaziman Abu Mansor namun dengar khabar, orang UMNO di sana kurang setuju.

    Mungkin juga Port Dickson di mana Khairy bakal berdepan persaingan sengit di kerusi yang dikenali sebagai kubu kuat PKR sejak PRU-11 dan kini disandang oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Timbul juga desas-desus bekas Ketua Pemuda UMNO itu mungkin ditempatkan di Putrajaya namun dengarnya, ada pihak di UMNO bahagian yang kurang berkenan kerana sudah mempunyai calon yang ingin diketengahkan.

    Khairy boleh sahaja bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) malah beliau boleh memilih mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Rembau.

    Lebih molek lagi jika beliau bertanding di DUN Paroi untuk menjayakan misi merampas kembali kerusi yang kini disandang oleh pemimpin Amanah, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.

    Cuma tiada jaminan Khairy akan dilantik sebagai Menteri Besar sekiranya Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali negeri itu setelah jatuh ke tangan rejim Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

    Mahu tidak mahu, UMNO dan BN perlu mengakui bahawa Khairy adalah antara pemimpin pelapis terbaik yang mereka miliki dan mempunyai pengalaman yang luas sebagai menteri Kabinet.

    Satu kerugian yang besar sekiranya kerjaya politik Khairy ‘dimatikan’ dengan tidak menamakan beliau sebagai calon parti atau meletakannya di ‘kerusi maut’.

    Pada masa yang sama, Khairy seharusnya sedar bahawa situasi sekarang adalah jauh berbeza dengan PRU-11 di mana beliau bertanding di Rembau sebagai menantu Perdana Menteri.

    Kini, suasana adalah sangat jauh berbeza kerana UMNO dan BN bukan lagi parti yang dominan dalam pentas politik negara. Beliau juga beberapa kali menyuarakan pendirian berbeza dengan pucuk pimpinan UMNO dan perkara ini kurang disenangi oleh akar umbi.

    Pentas PRU-15 bakal menjadi medan pertempuran yang sangat mencabar untuk Khairy sekiranya dicalonkan mewakili parti kerana beliau akan bertanding atas kekuatan sendiri, tanpa ‘dipayungi’ oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO.

    Pokok-pangkalnya, Khairy perlu mengumumkan segera hasratnya untuk bertanding di kerusi mana memandangkan PRU-15 dijangka diadakan bila-bila masa sahaja.

    Gerak kerja perlu dimulakan sekarang untuk meyakinkan pengundi khususnya akar umbi UMNO di kawasan yang ingin ditandinginya.

    Sekiranya terlambat, tidak mustahil Khairy terpaksa berpuas hati sekadar duduk memanaskan bangku simpanan selepas PRU-15.