SEMUA cabang PKR di Melaka memilih Rafizi Ramli untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti tersebut.

Memetik laporan FMT, beliau yang beroleh 2,427 undi mendahului pesaingnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menerima 1,468 undi.

Namun, Rafizi masih belum boleh menarik nafas lega kerana jumlah pengundi di Melaka adalah kurang daripada 4,000 orang.

BH dan FMT melaporkan, beliau turut mendahului Saifuddin di Kedah, Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Secara keseluruhan, seramai 147,334 ahli PKR terlibat dalam pemilihan kali ini.

Pemilihan di Melaka juga menyaksikan kejutan apabila Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin tewas di tangan Mohd Rafee Ibrahim bagi jawatan ketua cabang.

Bagi persaingan jawatan ketua Pemuda PKR pula, Adam Adli memenangi empat cabang, manakala Fahmi Zainol, calon pasukan Rafizi, memenangi dua.

Memetik laporan BH, Adam setakat ini beroleh 7,545 undi di empat negeri sekali gus mengatasi pesaingnya, Fahmi Zainol yang mendapat 7,001 undi.

Pertembungan seorang lagi calon pasukan Rafizi, Rodziah Ismail dengan Fadhlina Sidek bagi jawatan ketua wanita pula lebih sengit, dengan masing-masing memenangi tiga cabang.

Sementara itu, Halim Bachik menang di Masjid Tanah dengan hanya empat undi melebihi pencabarnya, Amran Othman, bagi jawatan ketua cabang.

Di Alor Gajah, Ginie Lim, yang digugurkan sebagai calon oleh parti itu berhubung dakwaan kaitannya dengan Azmin Ali, menang dengan 594 undi.

Pemilihan PKR secara rasminya telah berakhir, berikutan pemilihan semula di 12 cabang di Kedah, Terengganu, Sabah, Selangor dan Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataannya hari ini berkata, keputusan tidak rasmi akan diterbitkan di laman sesawang parti mulai hari ini, manakala keputusan rasmi akan diumumkan pada 25 dan 26 Jun.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sekali lagi tewas pada pemilihan kali ini bagi jawatan Ketua Cabang Sungai Petani kepada Ooi Tze Min dengan perbezaan 103 undi.

Sementara itu, Rafizi Ramli yang juga calon Timbalan Presiden PKR berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang Pandan dengan meraih 548 undi, mengatasi pencabarnya Mohamad Rashidi Hassan (373) dan Adnan Jaaffar (121).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga mempertahankan jawatan Ketua Cabang Gombak apabila memperoleh 1,858 undi, menyingkirkan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (bekas Setiausaha Politik kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mendapat 1,215 undi.

Di Negeri Sembilan, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang julung kali bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Port Dickson menang dengan memperoleh 1,129 undi menewaskan pencabar Ravi Munusamy (951) dan Sevalingam Birasami (477).

Beliau pernah menyandang jawatan Ketua Cabang Tampin sejak 2018 dan Naib Ketua Cabang Seremban sebelum itu.

Sementara itu, percubaan pertama Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik bertanding Ketua Cabang kawasan parlimen berkenaan membuahkan hasil apabila menang setelah meraih 109 undi menewaskan pencabarnya Faizul Abdul Ghani yang mendapat 66 undi.

Setakat 5 petang ini, tujuh negeri sudah mengumumkan keputusan pemilihan PKR iaitu Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Sabah dan Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here