Oleh RAHIMI MOHAMAD

MESKIPUN bersandarkan kapasiti sebagai Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ‘tidak berdaya’ apabila tewas di kesemua cabang negeri Johor dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Pengaruh bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di Johor khususnya menyaksikan beliau yang ‘meninggalkan’ seketika parti berkenaan dan arena politik menang besar dengan 4,022 undi.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar baharu itu pula hanya memperoleh 1,062 undi jauh ketinggalan berbanding jumlah diterima Rafizi.

Dalam proses pemilihan di Cabang Tebrau, Rafizi menerima 576 undi berbanding Saifuddin yang hanya mendapat 119 undi.

Cabang Batu Pahat juga menyaksikan Saifuddin ketinggalan jauh apabila 412 undi memihak kepada Rafizi, sementara beliau memperoleh 197 undi.

Hanya lima cabang yang dilihat Saifuddin ‘mampu’ memberi saingan apabila tewas dalam angka yang kecil kepada Mohd. Rafizi, berbanding baki 21 cabang lagi yang menyaksikan jurang besar kekalahan beliau.

Sementara itu, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh akhirnya menang bagi jawatan Ketua Cabang Ledang selepas menewaskan lawannya, Muhammad Azhar Hafiz Mohd. Shafi’e dengan 127 undi berbanding 7 undi.

Syed Ibrahim tewas perebutan jawatan itu pada 2018 apabila beliau dikalahkan penyandang jawatan itu, Dr. Chong Fat Full yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Ogos 2020.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik yang menyertai PKR pada November tahun lalu menang sebagai Ketua Cabang Simpang Renggam setelah memperoleh 109 undi dalam pemilihan berkenaan.

Seramai 62,404 ahli PKR layak memilih di negeri ini termasuk mereka yang dikategorikan sebagai Pemilih Atas Talian (PAT) sementara proses pengundian di Johor berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here