SEORANG pengarah syarikat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan menipu pelabur pertama di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB), membabitkan jumlah RM7.38 juta, tiga tahun lepas.

Teh Teng Cheng, 52, yang beralamat di Puchong, Selangor didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Jun 2019 di pejabat ASSB di MCKIP, Gebeng di sini dengan mengemukakan Manual Perubahan Akaun Penerimaan Pembayaran Projek, yang mendorong ASSB membuat bayaran RM7.38 juta kepada Sureland Industrial Fire Safety (M) Sdn Bhd, yang tidak akan dilakukan jika tidak diperdayakan.

Pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin menawarkan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin warga Malaysia.

Bagaimanapun, peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan merayu jumlah itu dikurangkan, atas alasan isteri tertuduh selaku penjamin hanya berkemampuan membayar RM30,000, dengan anak guamnya bersedia dikenakan syarat tambahan daripada mahkamah.

“Syarikat tertuduh kini dalam proses penggulungan dan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap sejak dua tahun lepas. Isteri tertuduh merupakan seorang peniaga namun perniagaannya juga terjejas akibat pandemik COVID-19, menyebabkan mereka tidak dapat mengumpulkan wang yang banyak.

“Tertuduh juga menghidap ‘sleep apnea’ dan memerlukan bantuan mesin pernafasan setiap malam. Selain itu, tertuduh turut menanggung tiga anak berusia antara lapan hingga 19 tahun serta seorang ibu berusia 74 tahun,” katanya.

Mohd Shahrullah Khan juga memaklumkan sejak ditangkap pada 15 Nov 2021, tertuduh telah memberikan kerjasama sepenuhnya, termasuk tidak pernah gagal melaporkan diri di pejabat SPRM di Putrajaya setiap bulan, menunjukkan dia tidak berisiko melarikan diri.

Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM750,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia, bersama syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Jun ini bagi serahan dokumen. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here