Category: Politik

  • Bubar Parlimen untuk selesai kes mahkamah-Anwar

    Bubar Parlimen untuk selesai kes mahkamah-Anwar

    DESAKAN untuk membubarkan parlimen supaya pilihan raya awal dapat diadakan adalah tindakan terdesak beberapa pemimpin UMNO untuk melepaskan diri masing-masing daripada kes mahkamah yang sedang dihadapi mereka.

    Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini susulan asakan demi asakan beberapa pemimpin yang berkeras mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) walaupun penggal tersebut berbaki lebih setahun lagi.

    “Sebab apa Parlimen nak bubar? Sebab kluster mahkamah nak settle (selesaikan) kes dia.

    “Ingat kalau dia menang PRU, dia boleh tutup kes. Jadi, rasional bubar itu kita pertikaikan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli partinya di Rawang, Selangor, lewat petang, semalam, lapor Malaysiakini hari ini.

    Sebelum ini, beberapa pemimpin-pemimpin UMNO berkata, mereka sedia menunggu untuk pilihan raya diadakan selepas memorandum persefahaman (MOU) kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tamat pada 31 Julai depan.

    Antara pemimpin yang terus memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Kedua-dua mereka sedang berdepan kes rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah dan sering dilabel sebagai ‘kluster mahkamah’.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata bahawa PH bersedia untuk menghadapi PRU-15, sekalipun jika parlimen dibubarkan lebih awal.

    “Walaubagaimanapun, kalau parlimen bubar kita bersedia.

    “Sebab sambutan rakyat sangat baik. Jadi kita bersedia,” katanya.

  • Kleptokrat dalam UMNO tolak perpaduan dalam MN

    Kleptokrat dalam UMNO tolak perpaduan dalam MN

    GOLONGAN kleptokrat dalam UMNO menjadi punca menyukarkan perpaduan yang cuba dibina antara parti Melayu menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN).

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, adakah itu merupakan pendirian UMNO secara bersama atau merupakan satu keputusan bersama yang dibuat antara parti dalam gabungan berkenaan.

    “Lengkap dengan alasan-alasan yang baru dicipta. Adakah ini pandangan rasmi Muafakat Nasional setelah dibawa bermesyuarat?

    “Atau pencinta kleptokrat memandai-mandai cipta alasan tanpa bermesyuarat? Kluster mahkamah UMNO memang terkenal dengan perangai Abang Long yang mendominasi keputusan, berlagak seperti suara mereka adalah suara semua.

    “Bila pula MN putuskan sedemikian, atau unilateral sahaja,” soalnya menerusi kenyataan yang dikongsi dalam Facebook beliau, lapor Sinar Harian hari ini.

    Dakwaan itu dibuat dipercayai susulan kenyataan terbaharu Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada 21 Jun lalu yang menegaskan bahawa parti itu menolak kerjasama dengan Bersatu termasuk menerusi MN.

    Dalam laporan sama pada 21 Jun lalu, Shahril berkata, terdapat beberapa asas jelas menyebabkan UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu antaranya adalah matlamat parti itu yang didapati berhasrat menggantikan UMNO.

    Katanya lagi, perkara itu dapat dilihat menerusi tindakan yang diambil Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila parti itu meletakkan calon di 17 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melawan calon Barisan Nasional (BN).

    Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, Shahril mencipta pelbagai alasan baharu bagi menyokong pendirian parti itu termasuk dalam isu berkaitan penubuhan Perikatan Nasional (PN).

    “Kononnya marah sebab tertubuhnya PN sehingga tak jadi bermuafakat. Padahal PN mula berfungsi sejak Februari 2020 dan didaftarkan pada 7 Ogos 2020. Surat jemputan masuk MN pula bertarikh 13 Ogos 2020.

    “Maksudnya jemputan tu selepas PN sudah pun ditubuhkan. Kalau betul tak setuju PN ditubuhkan, kenapa jemput masuk MN selepas PN tertubuh?

    “Masa boss kamu (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi tandatangan surat jemputan, dia terlupa bahawa dia sepatutnya marah ke,” soal beliau lagi.

  • 3 negeri bawah PH mungkin pilihan raya serentak dengan PRU-15

    3 negeri bawah PH mungkin pilihan raya serentak dengan PRU-15

    TIGA negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor mungkin mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika Parlimen dibubarkan selepas November ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Majlis Presiden PH.

    Sebelum ini, Majlis Presiden PH menetapkan pendirian agar ketiga-tiga negeri terbabit menghabiskan penggal pemerintahannya jika PRU-15 diadakan lebih awal.

    “Sebelum ini kita kita jangka dibuat pilihan raya mengejut tetapi kini kita lihat kebarangkaliannya rendah.

    “Ada banyak spekulasi mengatakan paling awal, pilihan raya umum hanya akan diadakan akhir tahun ini, selepas pembentangan belanjawan.

    “Jika ia diadakan akhir tahun, hanya tinggal beberapa bulan untuk tamat penggal (pentadbiran) engeri. Jadi jika PRU diadakan pada akhir tahun, saya berpandangan yang kita tidak patut buat pilihan raya berasingan,” katanya dalam sidang media di Seremban hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah berpandangan, jika jurang masa antara PRU-15 dan pilihan raya di negeri ditadbir PH terlalu kecil, kemungkinan ada beberapa perkara yang tidak berpihak kepada mereka.

    “Jika pilihan raya dibuat berasingan dan (perbezaan) tempoh masa tidak lama, mungkin ada pengundi rasa kita bazirkan sumber.

    “Saya akan cadangkan kepada Majlis Presiden PH agar kalau PRU diadakan selepas November, maka (pilihan raya di) Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang juga seharusnya dibuat serentak,” jelasnya lagi.

    Pada masa ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdepan tekanan yang amat hebat daripada UMNO untuk membubarkan Parlimen segera.

    Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan PH menetapkan bahawa Parlimen tidak akan dibubar sebelum 31 Julai 2022.

    Walau bagaimanapun, UMNO yang tidak terlibat dengan MoU tersebut secara langsung telah mencetuskan PRN Melaka dan Johor sehingga menimbulkan kebimbangan parti itu akan melakukan langkah yang serupa terhadap kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Naib Presiden parti itu sendiri.

  • PRU-15: PAS Kelantan mahu logo bulan, Kedah belum pasti

    PRU-15: PAS Kelantan mahu logo bulan, Kedah belum pasti

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Keputusan sama ada PAS akan tampil dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan menggunakan logo sendiri atau logo Perikatan Nasional (PN) bakal dibincangkan dalam mesyuarat PN.

    Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, perbincangan berhubung perkara itu akan dibuat berikutan terdapat pandangan daripada pimpinan parti itu yang mahu PAS tampil dengan logo ‘bulan’ seperti sebelum ini.

    Beliau yang baru pulang dari Kelantan semalam juga memaklumkan, pimpinan PAS di negeri Cik Siti Wan Kembang itu juga merasakan logo ‘bulan’ patut kekal digunakan di sana.

    “Begitu pun di negeri-negeri lain termasuk di Kedah, rasanya tak ada masalah untuk kita gunakan mana-mana logo sama ada PN atau logo tradisi PAS.

    “Apa pun kita akan bincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat PN nanti,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bagi membangunkan Fasa 2, Taman Perindustrian Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, setiap logo digunakan dalam pilihan raya memainkan peranan penting terhadap pengundi dan rakyat.

    “Kalau logo itu menggambarkan kita dalam satu pakatan, ia akan beri lebih besar keyakinan kepada rakyat atau pengundi yang kita ini sememangnya berada di bawah satu pakatan.

    “Dan jika gunakan logo yang menggambarkan parti sendirian, itu akan beri kesan lain dari segi psikologi kepada pengundi,” katanya.

  • Nazri tak mahu jadi Luncai macam Nur Jazlan

    Nazri tak mahu jadi Luncai macam Nur Jazlan

    AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan sikap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed seperti ‘Si Luncai’.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain agar tidak mempedulikan Nur Jazlan yang dikatakan cuba meraih simpati setelah kalah teruk sehingga gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Dia umpama Luncai yang terjun dengan labu-labunya. Jadi tidak perlu peduli, biarkan… biarkan.

    “Saya tidak mahu jadi Luncai macam Nur Jazlan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Sebelum ini, Nur Jazlan mempelawa Mohamed Nazri serta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk bertanding di kerusi Parlimen Pulai.

    Beliau yang kalah teruk dengan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub telah mengumumkan tidak akan bertanding di Pulai pada PRU-15.

    Mohamed Nazri juga yakin boleh menang jika bertanding di kerusi Parlimen Pulai kerana beliau sentiasa bercakap benar dan perkara itu diterima dengan baik oleh pengundi pelbagai kaum.

    “Saya bukan seorang yang menyombong tetapi selalu bercakap benar berdasarkan fakta.

    “Jika bertanding di Parlimen Pulai, saya boleh menang di situ kerana rakyat suka saya bercakap benar dan tidak menyombong.

    “Di Padang Rengas itu memang kerusi UMNO yang tidak pernah kalah sejak dulu lagi.

    “Ada tsunami pun tetap UMNO menang dengan selesa dan saya sudah maklumkan saya akan serah kepada pengganti saya,” jelasnya.

    Beliau turut mengingatkan Nur Jazlan agar tidak bersifat perkauman dengan menyalahkan pengundi bukan Melayu yang didakwa tidak menyokongnya.

    “Sudah lah, jangan lah nak salahkan kaum lain bila kalah. Bila kalah nak salahkan pengundi Cina dan India yang tidak memberi sokongan.

    “Jangan main isu kaum kerana nak mempertahankan kelemahan kamu,” ujarnya.

  • Takiyuddin mungkin bertanding kerusi Parlimen Sik?

    Takiyuddin mungkin bertanding kerusi Parlimen Sik?

    BENARKAH Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan bertanding di kawasan Parlimen Sik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

    Jika desas-desus itu benar, ia bermakna beliau akan meninggalkan kerusi Parlimen Kota Bharu yang disandangnya ketika ini.

    Bagaimana pula dengan penyandang kerusi tersebut, Ahmad Tarmizi Sulaiman?

    Namun, Takiyuddin mengesahkan perkara itu hanyalah khabar angin.

    Memetik laporan Sinar Online, Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu apabila ditanya pihak media.

    “Nama pun ura-ura (bertanding di Parlimen Sik) jadi ura-ura,” katanya kepada media ketika hadir dalam Program Kesedaran Sistem Amaran Awal Aliran Puing bersama Komuniti Jerai Geopark di Titi Hayun, di sini pada Ahad.

    Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan beliau bakal mewakili PAS dan Perikatan Nasional (PN) bertanding di Sik yang merupakan tempat kelahirannya.

  • Tajuddin tuduh Nur Jazlan biadab kritik PM secara terbuka

    Tajuddin tuduh Nur Jazlan biadab kritik PM secara terbuka

    KETUA UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman menyifatkan Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai biadab kerana mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara terbuka.

    Memetik laporan FMT hari ini, Ahmad Tajuddin berkata, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu tidak layak mengkritik keputusan Ismail Sabri berhubung isu jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang disandang Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Menurut beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Lepar, Nur Jazlan sendiri tidak diterima pengundi apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Lewat atau tidak (menggugurkan Zuraida daripada Jemaah Menteri) adalah budi bicara yang bergantung kepada keperluan dan kewajaran, yang mana perdana menteri saja memahaminya.

    “Kenyataan dia (Nur Jazlan) langsung tidak wajar malah biadap. Nur Jazlan tidak layak buat kenyataan sebegitu sedangnya dirinya kalah pada PRU lepas,” katanya kepada FMT.

    Beliau berkata demikian selepas Nur Jazlan menggelar Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana berlengah berhubung kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu walaupun sudah meninggalkan Bersatu sejak 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Pada 22 Jun lalu, Nur Jazlan yang juga ketua UMNO Bahagian Pulai mendakwa Ismail Sabri menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu ekoran lewat membuat keputusan mengenai kedudukan Zuraida dalam Kabinet.

    Pada PRU-14, Nur Jazlan gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pulai apabila tewas kepada Datuk Seri Salahuddin Ayub mewakili Pakatan Harapan (PH) dengan perbezaan undi besar sebanyak 28,924.

    Tajuddin menambah, tindakan Nur Jazlan membuat kenyataan terbuka mengkiritik kepimpinan Ismail Sabri hanya akan mengeruhkan keadaan, malah memperlihatkan UMNO sebagai parti tidak bermaruah.

    “Perdana Menteri mempunyai budi bicara penuh terhadap apa jua keputusan yang perlu dibuat dan di sini, UMNO juga mempunyai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bertanggungjawab bersama perdana menteri memutuskan sebarang perkara penting.

    “Membuat kenyataan terbuka seperti ini hanya mengeruhkan keadaan dan tidak sedikit pun membantu agar parti dilihat bermaruah,” jelasnya.

  • Pas mungkin dibenar guna logo sendiri dalam PRU-15

    Pas mungkin dibenar guna logo sendiri dalam PRU-15

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Pas mungkin dibenar menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai antara strategi meraih sokongan.

    Menurut beliau, perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat tertinggi PN, lapor Berita Harian.

    “Hasil perbincangan akan diumumkan kemudian,” katanya kepada pemberita pada majlis kenduri kampung Anak Kurau di Larut, hari ini.

    Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, memberi bayangan parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRU-15.

    Katanya, penggunaan logo itu dijangka memberi kelebihan kepada Pas yang sinonim dengan logo digunakan sejak 70 tahun lalu.

    Hamzah bagaimanapun enggan mengulas mengenai tawaran Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, mempelawa Tajuddin bertanding atas tiket PN mewakili Pas sekiranya kerusi Parlimen Pasir Salak diperuntukkan kepada parti itu.

    “Semua orang boleh buat pandangan atau membuat tawaran begitu dan itu hanya cadangan.

    “Segala keputusan muktamad terletak kepada pucuk pimpinan, jadi saya tak perlu membuat mengulasnya,” katanya.

  • RUU dana politik: Tak perlu bincang terlalu lama – Wan Saiful

    RUU dana politik: Tak perlu bincang terlalu lama – Wan Saiful

    KERAJAAN diminta menyegerakan konsultasi dengan parti-parti politik mengenai akta pendanaan politik.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, usaha itu perlu supaya draf akta tersebut boleh dikongsi dengan semua pemegang taruh agar ia dapat dimuktamadkan untuk dibawa ke Parlimen.

    Menerusi satu kenyataan hari ini, Wan Saiful berkata, pendanaan politik tanpa peraturan dan kawalan mewujudkan risiko tinggi berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.

    “Kita semua maklum dakwaan dana politik dalam jumlah yang tidak masuk akal telah diagihkan oleh (bekas perdana menteri) Datuk Najib Razak kepada ramai pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Ahmad Maslan, Tan Sri Shahrir Samad dan lain-lain lagi,” katanya, lapor Satu Berita.

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju secara dasar dengan cadangan pelaksanaan dasar penggubalan RUU sumbangan politik.

    Bagaimanapun katanya, cadangan itu masih perlu dibincangkan dengan ahli Jemaah Menteri sebelum sesi libat urus dengan parti politik.

    Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, kawal selia pendanaan politik itu tidak perlu perbincangan terlalu panjang kerana proses perbincangan telah lama dilaksanakan dengan idea-idea penting mengenainya telah dibahaskan sebelum ini.

    “Isu yang tinggal ialah, adakah kerajaan ada kesungguhan politik atau tidak untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan,” jelasnya.

    Katanya, beliau juga sebelum ini telah terlibat dengan pelbagai usaha untuk mewujudkan Akta berkaitan pendanaan politik dan merupakan ahli jawatankuasa ‘Electoral Reform Committee’ di bawah Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2018-2020.

    “Laporan yang kami sediakan adalah terperinci dan mengandungi banyak idea yang boleh disalin sahaja untuk pelaksanaan,” katanya.

  • PN tak bincang tawar Tajuddin bertanding PRU-15, kata Ahmad Faizal

    PN tak bincang tawar Tajuddin bertanding PRU-15, kata Ahmad Faizal

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak tidak pernah berbincang untuk menawarkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menjadi calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ketetapan itu merupakan hak pucuk pimpinan gabungan tersebut dan keputusan Pas menawarkan Tajuddin merupakan pandangan parti tersebut dan tidak melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Saya tak boleh komen perkara yang tidak melibatkan saya. Itu hak pucuk pimpinan, kami tidak berbincang tentang perkara itu (tawaran kepada Tajuddin).

    “Kita tidak terlibat dalam parti orang lain. Ia terpulang kepada Pas, itu hak mereka untuk bagi pandangan. Bagi pihak Bersatu kita tak bincang pun tentang perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Temasya Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan di Ipoh, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, kerjasama parti-parti PN di Perak kekal utuh dan kuat.

    Beliau berkata, biarpun tiada perbincangan lanjut mengenai pembahagian kerusi pada PRU-15, kesemua parti bersepakat untuk bertanding atas nama PN.

    Sebelum ini, media melaporkan Pas Perak mempelawa Tajuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak untuk bertanding atas tiket PN pada PRU-15.

    Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria dilaporkan berkata, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu boleh mempertimbangkan pelawaan berkenaan sekiranya beliau tidak diberikan tempat oleh Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Pasir Salak pada PRU-15.

    Media kelmarin melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MKT UMNO berkuat kuasa 21 Jun lalu atas alasan sikap beliau yang mengkritik parti.

    Sebelum ini Tajuddin turut digugurkan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan beliau juga dilihat kerap kali bercanggah pandangan dengan kepimpinan tertinggi parti dalam beberapa isu termasuk masa sesuai untuk PRU15 diadakan.