GOLONGAN kleptokrat dalam UMNO menjadi punca menyukarkan perpaduan yang cuba dibina antara parti Melayu menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, adakah itu merupakan pendirian UMNO secara bersama atau merupakan satu keputusan bersama yang dibuat antara parti dalam gabungan berkenaan.

“Lengkap dengan alasan-alasan yang baru dicipta. Adakah ini pandangan rasmi Muafakat Nasional setelah dibawa bermesyuarat?

“Atau pencinta kleptokrat memandai-mandai cipta alasan tanpa bermesyuarat? Kluster mahkamah UMNO memang terkenal dengan perangai Abang Long yang mendominasi keputusan, berlagak seperti suara mereka adalah suara semua.

“Bila pula MN putuskan sedemikian, atau unilateral sahaja,” soalnya menerusi kenyataan yang dikongsi dalam Facebook beliau, lapor Sinar Harian hari ini.

Dakwaan itu dibuat dipercayai susulan kenyataan terbaharu Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada 21 Jun lalu yang menegaskan bahawa parti itu menolak kerjasama dengan Bersatu termasuk menerusi MN.

Dalam laporan sama pada 21 Jun lalu, Shahril berkata, terdapat beberapa asas jelas menyebabkan UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu antaranya adalah matlamat parti itu yang didapati berhasrat menggantikan UMNO.

Katanya lagi, perkara itu dapat dilihat menerusi tindakan yang diambil Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila parti itu meletakkan calon di 17 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melawan calon Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, Shahril mencipta pelbagai alasan baharu bagi menyokong pendirian parti itu termasuk dalam isu berkaitan penubuhan Perikatan Nasional (PN).

“Kononnya marah sebab tertubuhnya PN sehingga tak jadi bermuafakat. Padahal PN mula berfungsi sejak Februari 2020 dan didaftarkan pada 7 Ogos 2020. Surat jemputan masuk MN pula bertarikh 13 Ogos 2020.

“Maksudnya jemputan tu selepas PN sudah pun ditubuhkan. Kalau betul tak setuju PN ditubuhkan, kenapa jemput masuk MN selepas PN tertubuh?

“Masa boss kamu (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi tandatangan surat jemputan, dia terlupa bahawa dia sepatutnya marah ke,” soal beliau lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here