KERAJAAN diminta menyegerakan konsultasi dengan parti-parti politik mengenai akta pendanaan politik.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, usaha itu perlu supaya draf akta tersebut boleh dikongsi dengan semua pemegang taruh agar ia dapat dimuktamadkan untuk dibawa ke Parlimen.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Wan Saiful berkata, pendanaan politik tanpa peraturan dan kawalan mewujudkan risiko tinggi berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita semua maklum dakwaan dana politik dalam jumlah yang tidak masuk akal telah diagihkan oleh (bekas perdana menteri) Datuk Najib Razak kepada ramai pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Ahmad Maslan, Tan Sri Shahrir Samad dan lain-lain lagi,” katanya, lapor Satu Berita.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju secara dasar dengan cadangan pelaksanaan dasar penggubalan RUU sumbangan politik.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu masih perlu dibincangkan dengan ahli Jemaah Menteri sebelum sesi libat urus dengan parti politik.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, kawal selia pendanaan politik itu tidak perlu perbincangan terlalu panjang kerana proses perbincangan telah lama dilaksanakan dengan idea-idea penting mengenainya telah dibahaskan sebelum ini.

“Isu yang tinggal ialah, adakah kerajaan ada kesungguhan politik atau tidak untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan,” jelasnya.

Katanya, beliau juga sebelum ini telah terlibat dengan pelbagai usaha untuk mewujudkan Akta berkaitan pendanaan politik dan merupakan ahli jawatankuasa ‘Electoral Reform Committee’ di bawah Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2018-2020.

“Laporan yang kami sediakan adalah terperinci dan mengandungi banyak idea yang boleh disalin sahaja untuk pelaksanaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here