Oleh RIZQI ZABIDI

Keputusan sama ada PAS akan tampil dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan menggunakan logo sendiri atau logo Perikatan Nasional (PN) bakal dibincangkan dalam mesyuarat PN.

Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, perbincangan berhubung perkara itu akan dibuat berikutan terdapat pandangan daripada pimpinan parti itu yang mahu PAS tampil dengan logo ‘bulan’ seperti sebelum ini.

Beliau yang baru pulang dari Kelantan semalam juga memaklumkan, pimpinan PAS di negeri Cik Siti Wan Kembang itu juga merasakan logo ‘bulan’ patut kekal digunakan di sana.

“Begitu pun di negeri-negeri lain termasuk di Kedah, rasanya tak ada masalah untuk kita gunakan mana-mana logo sama ada PN atau logo tradisi PAS.

“Apa pun kita akan bincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat PN nanti,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bagi membangunkan Fasa 2, Taman Perindustrian Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, setiap logo digunakan dalam pilihan raya memainkan peranan penting terhadap pengundi dan rakyat.

“Kalau logo itu menggambarkan kita dalam satu pakatan, ia akan beri lebih besar keyakinan kepada rakyat atau pengundi yang kita ini sememangnya berada di bawah satu pakatan.

“Dan jika gunakan logo yang menggambarkan parti sendirian, itu akan beri kesan lain dari segi psikologi kepada pengundi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here